Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NCSS perkukuh peranan, keanggotaan tumpu pada perkhidmatan sosial

Lembaga NCSS diganti dengan majlis, semua ahli dilantik oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga
Jan 13, 2026 | 8:18 PM
Masagos Zulkifli, MSF, NCSS
Menjelaskan mengenai keperluan rang undang-undang (Pindaan) Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata pada hari ini, keperluan sosial semakin kompleks dan ekosistem yang lebih luas yang menyokong perkhidmatan sosial turut berkembang. - Foto MDDI

Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) kini akan memainkan peranan yang lebih besar dalam memperkukuh penyediaan perkhidmatan sosial dan membina keupayaan sektor.

Hal tersebut selaras dengan peranan NCSS yang semakin berkembang sebagai pemaju sektor atau sector developer sepanjang tahun-tahun ini.

Sejajar dengan itu, rangka kerja keanggotaan baru akan diperkenalkan.

Hanya organisasi yang menyediakan perkhidmatan sosial, atau menyokong secara langsung penyediaan perkhidmatan tersebut, akan menjadi anggota sektor NCSS.

Selain itu, lembaga 23 anggota NCSS juga akan digantikan dengan sebuah majlis – seramai 15 hingga 27 anggota – yang dilantik sepenuhnya oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Rang Undang-Undang (Pindaan) NCSS, yang diketengahkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Parlimen pada 13 Januari, telah diluluskan pada hari tersebut.

Menjelaskan tujuan pindaan itu, Encik Masagos berkata:

“Pada hari ini, keperluan sosial semakin kompleks dan merangkumi pelbagai bidang, seperti ekonomi dan kesihatan.

“Justeru, penyelarasan serta kerjasama yang lebih erat diperlukan merentas sektor.

“Bagi memberi sokongan lebih menyeluruh kepada golongan yang dibantu, agensi perkhidmatan sosial (SSA) juga telah berkembang daripada hanya usaha menangani satu-satu isu sahaja.

“Ekosistem lebih luas yang menyokong perkhidmatan sosial turut berkembang.”

Selain agensi perkhidmatan sosial, kini terdapat juga perusahaan sosial, syarikat korporat dan pertubuhan dermawan, katanya.

Encik Masagos menambah, pemerintah dan NCSS telah bekerjasama dengan lebih erat sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menyokong sektor tersebut, dengan masing-masing memainkan peranan yang berbeza tetapi saling melengkapi.

Beliau turut berkata, sementara Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengetuai pembangunan dasar sosial, NCSS telah mengambil peranan yang lebih besar sebagai pemaju sektor.

Bagi memenuhi peranan yang diperluaskan ini, lembaga berkanun tersebut telah menerima pembiayaan penuh daripada pemerintah bagi fungsi utamanya sejak 2022, kata Encik Masagos.

“Akta NCSS, yang memperkasa NCSS untuk melaksanakan peranannya, kebanyakannya kekal tidak berubah sejak ia digubal pada 1992.

“Memandangkan perubahan ketara dalam landskap perkhidmatan sosial kita, MSF dan NCSS telah menilai bagaimana NCSS wajar diposisikan dengan sebaiknya untuk terus berkhidmat secara berkesan kepada sektor tersebut.

“Rang Undang-Undang ini ialah hasil daripada semakan tersebut dan mencerminkan cadangan daripada kedua-dua NCSS dan sektor,” ujar beliau.

NCSS akan diberikan fungsi dan kuasa di bawah Akta bagi mencapai tiga matlamat utama.

Ini termasuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan sosial, membina keupayaan sektor, serta membangunkan ekosistem perkhidmatan sosial yang lebih luas.

“Skop objektif dan fungsi NCSS yang dikemas kini turut memperjelaskan mandatnya untuk membangunkan sektor perkhidmatan sosial yang lebih luas, menjangkau tumpuan kepada pihak berkepentingan tertentu,” ujar Encik Masagos.

Ini antara lain cadangan dalam Rang Undang-Undang (Pindaan) NCSS, yang dibacakan untuk kali kedua di Parlimen pada 13 Januari.

Selepas diluluskan, akta yang dipinda itu dijangka berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026.

Bagi rangka kerja keanggotaan, ia akan diubah kepada keanggotaan satu peringkat atau single-tier membership.

Ia akan menggantikan tiga jenis keanggotaan – ‘penuh’, ‘bersekutu’ dan ‘kehormat’ – kata Encik Masagos.

Anggota ‘penuh’ menyediakan perkhidmatan sosial secara langsung, manakala anggota ‘bersekutu’ mempunyai minat aktif dalam perkhidmatan sosial tetapi tidak menyediakan perkhidmatan tersebut secara langsung.

Anggota ‘kehormat’ ialah mereka yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkhidmatan sosial.

Yuran keanggotaan – yang disifatkan “sangat kecil” oleh Encik Masagos – juga akan dimansuhkan.

Menjelaskan mengenai kelayakan bagi keanggotaan itu, Encik Masagos berkata:

“Organisasi yang fungsi utamanya ialah menyediakan perkhidmatan sosial di Singapura atau secara langsung menyokong penyediaan perkhidmatan sosial di Singapura boleh memohon untuk menjadi anggota sektor.

“Yang dimaksudkan dengan perkhidmatan sosial ialah, khususnya, intervensi atau program yang meningkatkan kebajikan golongan rentan atau kurang bernasib baik di Singapura, atau yang menyokong kesejahteraan emosi dan psikologi masyarakat setempat.

“Sebagai contoh, ini termasuk perkhidmatan seperti kaunseling keluarga dan bantuan kewangan.”

Beliau menambah bahawa semua anggota penuh, yang merangkumi majoriti keanggotaan NCSS pada masa ini, akan layak menjadi anggota sektor.

Kumpulan yang secara langsung menyokong penyediaan perkhidmatan sosial, termasuk badan profesional bagi pekerja perkhidmatan sosial atau organisasi yang mengumpulkan sumber, juga layak, katanya.

Encik Masagos menambah sebagai pemaju sektor, NCSS juga akan terus berinteraksi serta menyokong pihak berkepentingan dalam ekosistem yang lebih luas, tidak terhad kepada anggota sektor sahaja.

“Geran atau sokongan lain daripada NCSS juga boleh diakses oleh agensi yang kerjanya sejajar dengan keutamaan NCSS, walaupun mereka bukan anggota sektor,” tambah Encik Masagos.

Selain itu, mengenai anggota majlis yang akan dilantik oleh Menteri, sekurang-kurangnya separuh daripada 15 hingga 27 anggotanya mesti dicalonkan oleh anggota sektor.

Ini di samping setiap penggal berlangsung selama tiga tahun berbanding dua tahun sekarang ini.

Dengan menetapkan lingkungan saiz majlis itu, Encik Masagos berkata ia akan mempunyai fleksibiliti yang lebih besar untuk menentukan saiz yang optimum bagi setiap penggal, berdasarkan keperluan sektor.

Penetapan tempoh maksimum jawatan majlis itu selama tiga tahun, juga bermakna, anggotanya akan mempunyai jangka masa lebih panjang untuk menyumbang dengan bermakna kepada kerja NCSS, katanya.

Setakat ini, separuh daripada lembaga NCSS dipilih oleh organisasi ahli, manakala separuh lagi dilantik oleh presidennya.

Dengan perubahan pada Akta itu, pemimpin dan kakitangan anggota sektor juga boleh menyertai majlis tersebut, berbeza dengan sekarang ini di mana mereka tidak boleh menyertai lembaga.

Encik Masagos berkata ia bertujuan untuk memastikan kepelbagaian, semangat, dan suara sektor dapat dilihat dalam majlis itu.

Ini beserta gabungan kemahiran, pengalaman, dan pengetahuan yang optimum untuk membimbing kerja NCSS.

“Sebuah majlis yang dilantik sepenuhnya, dengan pencalonan daripada anggota sektor, akan membolehkan kami mencapai matlamat ini,” katanya.

Sekilas Rang Undang-Undang (Pindaan) NCSS:

– NCSS berkembang menjadi pemaju sektor.

– Memperbaharui objektif, fungsi, dan kuasa NCSS dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan sosial, membina keupayaan sektor, serta membangunkan ekosistem perkhidmatan sosial yang lebih luas.

– Keanggotaan NCSS akan diubah kepada keanggotaan satu peringkat atau single-tier membership.

– Anggota sektor NCSS mesti mempunyai fungsi utama menyediakan atau menyokong secara langsung penyediaan perkhidmatan sosial di Singapura.

– Tiada yuran keanggotaan.

– Jumlah anggota majlis akan diubah daripada 23 kepada 15 hingga 27 anggota, dengan sekurang-kurangnya separuh daripadanya mesti dicalonkan oleh anggota sektor, sebelum dilantik Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

– Keanggotaan akan berlangsung selama tiga tahun.

– Pekerja organisasi yang merupakan anggota sektor kini dibenarkan menyertai majlis tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg