Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP gesa wacana lebih berhemah, adil tentang Gaza

Zhulkarnain, Syed Harun kritik kenyataan Critical Spectator terhadap Puan Halimah, sifatkan tidak wajar, perlekeh semangat kemanusiaan
May 24, 2025 | 5:39 PM
Zhulkarnain Abdul Rahim, GRC Chua Chu Kang
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata kenyataan Critical Spectator memperlekeh mesej kemanusiaan yang disampaikan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, berhubung isu yang amat penting bagi ramai warga Singapura. - Foto BH oleh MUHAIMIN SUZAINI

Kenyataan yang dibuat oleh halaman Facebook, Critical Spectator, terhadap mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, disifatkan sebagai tidak menghormati dan memperlekeh mesej kemanusiaan, pada saat nyawa orang awam yang tidak bersalah terus menjadi korban di Gaza, kata dua Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam pada 24 Mei.

AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dan AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, menyertai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, menolak kenyataan tersebut, yang antara lain mempertikai keprihatinan Puan Halimah terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, kononnya dengan mengabaikan krisis lain di peringkat global.

Halaman Critical Spectator – yang dikendalikan oleh warga Poland, Encik Michael Petraeus – mendakwa Puan Halimah bersubahat dalam beberapa bencana kemanusiaan lain kerana menyeru tindakan terhadap penderitaan rakyat Palestin di Gaza, tetapi dikatakan berdiam diri terhadap krisis lain seperti di Sudan, Libya, Yaman dan Myanmar.

Encik Zhulkarnain berkata kenyataan Critical Spectator terhadap Puan Halimah bukan sahaja tidak wajar, malah tiada rasa hormat.

“Ia memperlekeh mesej kemanusiaan yang beliau sampaikan dalam isu yang amat penting bagi ramai warga Singapura,” ujar beliau, yang diumumkan pada 21 Mei dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026.

Dalam kenyataannya di Facebook, Critical Spectator turut menyifatkan penderitaan rakyat Palestin sebagai berpunca daripada tindakan sendiri, serta berhujah bahawa krisis kemanusiaan lain lebih layak menerima perhatian berbanding Gaza.

Sedang pandangan yang berbeza wajar disuarakan, Dr Harun berkata adalah lebih penting bagi wacana yang bertanggungjawab dan berhemah.

“Pandangan yang berbeza boleh disuarakan tetapi lebih penting untuk kita mendekatinya dengan nuansa, memahami konteks dengan mendalam dan berwacana dengan niat memperbaiki keadaan, menyelamatkan nyawa dan membawa perubahan positif.

“Pada masa sama, adalah penting juga kita bersikap jujur dalam menghargai dan mengiktiraf apa yang adil, saksama dan berpatutan,” kata beliau, yang turut diumum pada 21 Mei dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) mulai 1 Oktober 2025.

Menyifatkan krisis di Gaza sebagai bencana kemanusiaan yang tidak masuk akal, Dr Harun berkata penggunaan generalisasi, retorik yang menolak pandangan berbeza, kata-kata yang memecahbelahkan dan pertelingkahan yang bersifat permusuhan tidak membawa sebarang manfaat, malah hanya memburukkan lagi polarisasi.

Walaupun wajar untuk memberi perhatian kepada penderitaan yang berlaku di bahagian lain dunia, Dr Faishal menarik perhatian perlunya menolak sebarang kenyataan yang meremehkan penderitaan rakyat Palestin.

Dr Faishal turut menyatakan bahawa ramai dalam masyarakat Islam Singapura, termasuk rakyat Singapura daripada segenap lapisan masyarakat, masih sangat terkesan dengan tragedi yang berlaku di Palestin.

“Itu termasuk mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, yang pandangannya dihormati luas merentas masyarakat.

“Dalam saat-saat seperti ini, kita perlukan lebih banyak persefahaman, bukan perpecahan.

“Kita tidak boleh membenarkan retorik yang meremehkan atau memecahbelahkan – sama ada dari dalam atau luar negara – menghakis rasa hormat dan perpaduan yang telah kita bina dengan penuh usaha dalam masyarakat majmuk kita,” ujar beliau.

“Walaupun wajar untuk memberi perhatian kepada penderitaan yang berlaku di bahagian lain dunia, kita harus menolak sebarang kenyataan yang meremehkan penderitaan rakyat Palestin. Dalam masa seperti ini, kita memerlukan lebih banyak persefahaman, bukannya perpecahan. Kita tidak boleh membenarkan retorik yang menolak atau memecahbelahkan – sama ada dari dalam atau luar negara – menjejaskan rasa saling menghormati dan perpaduan yang telah kita bina dengan penuh usaha dalam masyarakat majmuk kita.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

“Kenyataan tidak wajar terhadap mantan Presiden (Puan Halimah Yacob) bukan sahaja tidak sepatutnya berlaku, malah tiada rasa hormat. Ia memperlekeh mesej kemanusiaan yang beliau sampaikan berhubung isu yang amat penting bagi ramai warga Singapura.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

“Pandangan yang berbeza wajar disuarakan, namun adalah lebih penting untuk kita mendekatinya dengan nuansa, memahami konteks dengan mendalam dan berwacana dengan niat untuk memperbaiki keadaan, menyelamatkan nyawa dan membawa perubahan yang positif.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg