Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal tolak komen laman Facebook yang remehkan derita rakyat Palestin

Turut gesa warga tolak kenyataan yang cuba pecah belah masyarakat
May 24, 2025 | 12:49 PM
Dr Faishal berkata pemerintah juga tidak berdiam diri tentang konflik itu, sebaliknya secara konsisten menyeru agar gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan, nyawa orang awam dilindungi dan hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air diiktiraf.
Dr Faishal berkata pemerintah juga tidak berdiam diri tentang konflik itu, sebaliknya secara konsisten menyeru agar gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan, nyawa orang awam dilindungi dan hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air diiktiraf. - Foto ZAOBAO

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, menyuarakan kebimbangan serius terhadap kenyataan yang dimuat naik oleh laman Facebook, Critical Spectator, yang meremehkan penderitaan rakyat Palestin.

Kenyataan oleh laman Facebook Critical Spectator itu turut mendakwa mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, bersubahat dalam beberapa bencana kemanusiaan.

“Walaupun wajar untuk memberi perhatian kepada penderitaan yang berlaku di bahagian lain dunia, kita harus menolak sebarang kenyataan yang meremehkan penderitaan rakyat Palestin,” ujar Dr Faishal menerusi laman Facebook beliau pada 23 Mei.

Awal dari itu, menerusi laman Facebook beliau, Puan Halimah menyatakan bahawa berdiam diri terhadap bencana kemanusiaan di Gaza “menjadikan kita bersubahat” dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau menambah bahawa bantuan kemanusiaan yang kini dibenarkan masuk ke Gaza selepas sekatan selama tiga bulan adalah jauh daripada mencukupi untuk menghentikan kebuluran yang sedang berlaku.

Tambahnya, lebih 14,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh akibat tindakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata 14,000 bayi akan meninggal dunia tanpa akses kepada makanan.

Sebagai respons, laman Critical Spectator – yang dikendalikan oleh warga Poland, Encik Michael Petraeus – mendakwa Puan Halimah bersubahat dalam beberapa bencana kemanusiaan lain.

Dalam catatannya di Facebook, laman itu menyatakan bahawa jika berdiam diri terhadap Gaza dianggap sebagai bersubahat, maka berdiam diri terhadap krisis lain seperti di Sudan, Libya, Yaman dan Myanmar juga bermaksud bersubahat.

“Jika berpandukan kenyataan beliau (Puan Halimah) sendiri, maka mantan Presiden Singapura bersubahat dalam kebuluran yang menjejas hingga 3.2 juta kanak-kanak di Sudan, termasuk hampir 800,000 yang mengalami kekurangan zat makanan yang serius,” ujar laman itu.

Mengulas isu tersebut, Dr Faishal berkata bahawa seperti ramai rakyat Singapura, beliau mengikuti perkembangan terkini di Gaza dengan hati yang berat.

Beliau antara lain menarik perhatian penderitaan besar yang menimpa orang awam yang tidak bersalah, khususnya wanita dan kanak-kanak, yang amat meruntun jiwa.

Tambahnya, beliau berkongsi sepenuhnya sentimen Puan Halimah dan telah secara terbuka menyatakan pandangannya bahawa tindakan Israel di Gaza adalah satu bentuk penindasan yang tidak boleh diterima.

“Puan Halimah ialah seorang tokoh negara yang amat dihormati.

“Keprihatinan beliau mencerminkan sifat belas kasihan dan keberanian moral yang kita kenali tentangnya – dan yang turut dikongsi ramai dalam masyarakat kita.

“Dalam saat-saat krisis seperti ini, kita tidak boleh hilang arah daripada nilai-nilai kemanusiaan bersama,” kata Dr Faishal.

Tambahnya, pemerintah juga tidak berdiam diri tentang konflik itu, sebaliknya secara konsisten menyeru agar gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan, nyawa orang awam dilindungi dan hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air diiktiraf.

Dr Faishal berkata Singapura secara konsisten menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak penempatan Israel di Tebing Barat.

Singapura dan rakyatnya juga telah menyumbang lebih $19 juta dalam bentuk bantuan kepada Gaza.

Menerusi Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP), Singapura terus menyokong Penguasa Palestin dalam usaha membina keupayaan ke arah penubuhan sebuah negara, ujarnya.

Dalam keadaan sekarang, Dr Faishal turut menarik perhatian perlunya bagi lebih banyak persefahaman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg