Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP Murali Pillai, Shawn Huang naik pangkat jadi penjawat politik

May 13, 2024 | 8:35 PM
Encik Murali Pillai akan menjadi Menteri Negara di Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pengangkutan.
Encik Murali Pillai akan menjadi Menteri Negara di Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pengangkutan. - Foto LAMAN WEB PARLIMEN

Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok, Encik Murali Pillai, dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pengangkutan mulai 1 Julai.

Beliau, 56 tahun, antara dua AP yang akan menjadi penjawat politik dalam Kabinet yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di satu sidang media di Istana pada 13 Mei.

AP GRC Jurong, Encik Shawn Huang, 42 tahun, akan dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Parlimen Kanan di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan.

Selain itu, dua Menteri Negara – Cik Low Yen Ling dan Encik Desmond Tan – akan dinaikkan pangkat menjadi Menteri Negara Kanan.

Cik Low akan berkhidmat di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan. Beliau akan terus berkhidmat sebagai Mayor CDC South West.

Encik Tan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC, akan kekal di Pejabat Perdana Menteri. 

Setiausaha Parlimen Kanan, Cik Rahayu Mahzam, pula akan dinaikkan pangkat menjadi Menteri Negara di Kementerian Perhubungan dan Penerangan. Beliau kekal di Kementerian Kesihatan, tetapi melepaskan jawatannya di Kementerian Undang-undang. 

Kabinet baru akan mengangkat sumpah bersama Encik Wong, 51 tahun, apabila beliau menjadi perdana menteri keempat Singapura pada 15 Mei.

Setiausaha parlimen kanan akan mengangkat sumpah pada 24 Mei. Bagaimanapun, Encik Murali akan berbuat demikian pada 1 Julai.

Encik Wong berkata beliau perlu terus memperbaharui pasukannya kerana sebahagian menteri kanan akan bersara. Selain melantik orang baru, beliau akan memperkukuh pasukannya dengan menaikkan pangkat individu berpotensi, seperti Encik Murali dan Encik Huang.

Ditanya mengapa beliau tidak menaikkan pangkat menteri negara kanan yang sebahagiannya telah berkhidmat dalam jawatan itu agak lama, Encik Wong berkata beliau belum berpeluang berinteraksi dengan mereka sebagai perdana menteri dan menilai kerja mereka sepenuhnya.

“Saya memerlukan masa untuk menilai dan berinteraksi dengan mereka dalam peranan saya yang baru sebelum membuat keputusan untuk menaikkan pangkat sesiapa,” kata beliau.

Encik Wong berkata kenaikan pangkat kali ini dibincangkan bersama Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

“Seseorang penjawat politik dinaikkan pangkat kerana beliau telah berprestasi baik dalam peranannya dan boleh menambah sumbangan dalam kapasiti lebih tinggi,” kata Encik Wong.

“Kenaikan pangkat kali ini tidak bermakna pangkat akan dinaikkan lagi secara automatik pada masa depan. Maksud saya, pada akhirnya, keupayaan seseorang melakukan tugas dalam kapasiti lebih besar, dalam peranan lebih besar, bergantung pada individu dan bagaimana mereka melaksanakan tugas,” kata beliau.

“Justeru, kami akan terus menilai setiap anggota pasukan, tanpa mengambil kira peranan mereka… setiap anggota pasukan amat berharga.

“Dan untuk kami semua, ia adalah untuk menyelaraskan usaha bersama setiap individu supaya hasil yang diraih pasukan lebih baik daripada hasil yang diraih secara individu,” kata Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg