Apa kata AP di hari kedua bahas Belanjawan…
Perbahasan Belanjawan berlarutan ke hari kedua di Parlimen pada 25 Februari, dengan para Anggota Parlimen (AP) menyentuh tentang pelbagai isu.
Ini termasuk keprihatinan tentang impak kecerdasan buatan (AI) ke atas perniagaan dan pekerja, lebihan belanjawan yang diraih Singapura, sokongan bagi menggalak rakyat Singapura menjadi ibu bapa dan kos sara hidup.
Berikut sekilas perkara yang diutarakan para AP.
Guna AI dan metafora pokok, Xie Yao Quan berpantun
Dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) generatif, Timbalan Speaker, Encik Xie Yao Quan (Jurong Central), melafazkan serangkap pantun empat baris dalam bahasa Melayu di Parlimen.
Mengakhiri ucapannya di hari kedua bahas Belanjawan, Encik Xie yang meminati pantun Melayu berkata beliau telah meminta bantuan AI generatif untuk mencipta pantun tentang keseimbangan, perbelanjaan dan simpanan di tengah-tengah kekayaan, dengan menggunakan metafora pokok buah.
Dalam ucapannya, Encik Xie, antara lain, telah menyentuh tentang lebihan belanjawan yang diraih negara ini, sambil menyarankan agar lebihan itu disalurkan bagi bantuan cukai dan pelaburan dalam prasarana, termasuk modal insan.
“Saya minta bantuan AI generatif…dan dalam satu saat, ia memberi saya ini:
“Pohon rimbun emas citranya,
Gugur sebiji di celah dahan;
Ambil sekadar perlu sahaja,
Selebihnya rezeki alam Tuhan,” kata beliau.
Gesa pemerintah perkukuh ‘infrastruktur kesuburan yang tidak ketara’
Langkah menyelaraskan cuti penjagaan anak yang setara dengan bilangan anak dan menambah baik skim kerja fleksibel, akan menawarkan jaminan penting kepada mereka yang merancang untuk menjadi ibu bapa, kata Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio).
Seiring dengan perubahan minda mengenai tanggungjawab bersama, membiasakan langkah berehat seketika dari kerjaya dan meningkatkan peluang untuk akses perumahan, ia membentuk “infrastruktur kesuburan yang tidak ketara”, tambah beliau.
“Apabila ibu bapa yakin pada sistem, kegelisahan tentang keibubapaan akan berkurangan, dan mungkin ada keinginan yang lebih besar untuk mencubanya,” kata beliau.
Dengan masyarakat Singapura yang kian menua, setiap anak bukan sahaja amat berharga, malah memainkan peranan penting dalam menjamin kedudukan Singapura di persada dunia.
Justeru, usaha membina keyakinan kepada rakyat untuk memiliki cahaya mata semakin mendesak, tambah beliau.
Saranan bagi Baucar CDC diberikan secara bertingkat, individu dalam rumah diketengah
Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) boleh diberikan secara bertingkat dan diagihkan mengikut bilangan individu dalam sesebuah rumah bagi menangani tekanan kos sara hidup dengan lebih tepat untuk isi rumah berbilang generasi dan keluarga, saran Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast).
Beliau antara beberapa AP yang mengemukakan cadangan untuk menyesuaikan skim tersebut, yang kali pertama diperkenalkan pada 2020 bagi membantu rakyat Singapura menangani kos sara hidup.
“Fleksibiliti lebih besar tentang cara dan di mana ia boleh digunakan boleh meningkatkan nilainya kepada isi rumah dan menyokong lebih banyak perniagaan setempat.
“Contohnya, di estet kediaman privet atau kejiranan baru di mana pasar atau pusat makanan terletak beberapa kawasan atau zon jauhnya, langkah membenarkan baucar CDC digunakan di perusahaan milik tempatan di bangunan atau pusat beli-belah privet akan meluaskan bantuan untuk keluarga,” kata beliau.
“Tambahan, mengagihkan baucar CDC secara individu berbanding isi rumah mungkin akan dapat menangani tekanan kos sara hidup dalam isi rumah berbilang generasi dan keluarga dengan lebih tepat,” tambah Cik Hazlina.
Sokongan Belanjawan 2026 akan bantu firma pemula S’pura teroka pasaran luar negara
Singapura sebuah pasaran kecil, menuntut syarikat pemula, atau start-up, berfikir secara global dari awal untuk mencapai kejayaan, kata Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash.
Beliau juga peneraju bersama jawatankuasa mengenai keusahawanan di bawah Semakan Strategi Ekonomi (ESR).
Langkah-langkah Belanjawan 2026, yang menyokong syarikat Singapura meneroka pasaran antarabangsa, amat relevan. Ini kerana langkah tersebut memperkukuh akses ekosistem syarikat pemula kepada pembiayaan dan sokongan untuk menembusi pasaran baharu, jelas beliau.
“Kami berharap dapat mewujudkan persekitaran di mana idea-idea yang baik dapat berkembang maju dan syarikat, termasuk syarikat kecil dan sederhana (SME) kami, dapat berkembang dan bersaing,” tambah Encik Dinesh.

