NTUC gesa semak had pendapatan skim sokongan pencari kerja SkillsFuture
NTUC gesa semak had pendapatan skim sokongan pencari kerja SkillsFuture
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, menggesa agar had pendapatan untuk layak bagi Skim Bantuan Pencari Kerja (JSS) SkillsFuture disemak semula sedang lebih ramai karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) menghadapi pemberhentian kerja.
Gesaan itu dibuat di tengah-tengah panggilan usaha untuk memperkukuh sokongan buat pekerja yang mudah terjejas oleh gangguan kecerdasan buatan (AI) dan perubahan teknologi yang pesat.
Bercakap semasa hari kedua perbahasan Belanjawan di Parlimen pada 25 Februari, Encik Ng menyarankan agar had pendapatan bagi JSS dinaikkan kepada pendapatan bulanan median karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) – iaitu sekitar $7,600 pada 2025.
Ini supaya lebih ramai PME yang hilang pekerjaan boleh mendapat manfaat daripada skim tersebut.
Pada masa ini, hanya pekerja yang membawa pulang gaji $5,000 atau lebih rendah setiap bulan layak bagi skim tersebut.
Skim tersebut – kali pertama diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024 – menyediakan bantuan kewangan sementara sehingga $6,000 dalam tempoh enam bulan kepada mereka yang menganggur tanpa pilihan.
Berdasarkan jawapan bertulis kepada soalan Parlimen berkenaan skim tersebut pada September 2025, sekitar 4,300 daripada lebih 7,200 permohonan, atau 60 peratus, bagi JSS telah ditolak sehingga 31 Ogos 2025.
Antara sebab mengapa permohonan ditolak adalah kerana purata pendapatan bulanan lalu pemohon melebihi had pendapatan $5,000 sebulan.
“Sedang lebih ramai PME mungkin mengalami kehilangan pekerjaan, adalah tepat pada masanya bagi pemerintah menyemak semula had pendapatan ini, supaya JSS boleh memberikan jaminan asas kepada PME berpendapatan pertengahan kita semasa pemberhentian kerja,” kata Encik Ng, yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Jalan Kayu.
Encik Ng turut menyentuh tentang kejadian pemberhentian kerja berprofil tinggi sejak beberapa tahun lalu yang menjadi tajuk utama berita.
Beliau berkata insiden tersebut dapat dielakkan sekiranya syarikat bekerjasama dengan kesatuan yang terlibat dan jika NTUC dimaklumkan lebih awal.
Justeru, beliau menggesa agar notis pemberhentian kerja mandatori yang diberikan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) oleh syarikat apabila ia memberhentikan pekerja, dapat dilakukan lebih awal berbanding lima hari seperti sekarang.
“Notis pemberhentian kerja yang lebih awal menyokong keupayaan kami untuk bekerjasama dengan syarikat bagi menyediakan sokongan yang tepat pada masanya dan ketara kepada pekerja yang terjejas sebelum pemberhentian kerja, bukan lima hari selepas (pemberhentian kerja) di mana ramai pekerja mungkin telah meninggalkan syarikat dan tidak lagi boleh dihubungi,” kata beliau.
“Tujuan gerakan pekerja bukanlah untuk mengekang fleksibiliti syarikat.
“Ia adalah untuk menggunakan kerjasama tiga pihak kami dalam menegakkan pemberhentian kerja yang bertanggungjawab dan memberikan sokongan yang lebih terselaras untuk pekerja, termasuk PME di tengah-tengah era gangguan ini,” tambah beliau.
Turut menggesa notis pemberhentian kerja yang lebih awal ialah Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay (Pioneer), yang juga mencadangkan agar penalti lebih kukuh dikenakan terhadap majikan yang tidak mematuhi syarat notis tersebut.
“Pemerintah boleh mempertimbangkan untuk berkongsi maklumat dengan NTUC dan kesatuan tentang sektor dan syarikat yang mungkin terganggu akibat penyusunan semula ekonomi, termasuk skala impak dan garis masa yang dijangkakan, kejadian pemberhentian kerja yang lalu, dan tahap faedah pemberhentian kerja yang lalu,” kata beliau.
Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, kemudian bertanya Encik Tay apakah Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) telah bersetuju dengan gesaan NTUC bagi notis pemberhentian kerja yang lebih awal.
Encik Pritam merujuk kepada surat yang ditulis ketua eksekutif Snef, Encik Hao Shuo, pada awal Februari di mana pertubuhan itu melahirkan keraguan terhadap saranan itu.
Memberi respons, Encik Tay berkata perbincangan tiga pihak kini sedang dijalankan, dan NTUC serta Snef telah membentuk sebuah kumpulan kerja bagi isu tersebut.

