Dua kuda ‘ambil angin’ di jalan raya Pasir Ris
Dua kuda dilihat di jalan raya Pasir Ris pada 3 Mac, iaitu hari ke-15 Tahun Kuda, sekali gus menyebabkan lalu lintas di situ terganggu sekitar tengah hari.
Dalam rakaman video yang tersebar luas di media sosial, seekor kuda berwarna coklat kekuningan dan seekor kuda putih dilihat menderap di jalan berhampiran Pasir Ris Drive 3.
Dalam satu klip video lain, kuda coklat kekuningan itu dilihat sedang memakan rumput di tepi jalan.
Dua kuda itu juga dilihat menderap di tengah jalan menuju lampu isyarat, sementara motosikal dan kereta mengikuti dari belakang dengan jarak selamat.
Kira-kira dua jam selepas ‘melarikan diri’, kuda berkenaan berjaya dibawa pulang ke kandang, kata pihak polis.
“Pegawai bertindak dengan pantas dan bekerjasama dengan kakitangan kandang untuk memastikan kuda berkenaan selamat.
“Kuda itu kemudian dikembalikan ke kandang tanpa sebarang kejadian,” tambah kenyataan polis.
Tarikh 3 Mac adalah hari Cap Goh Mei, iaitu hari ke-15 Tahun Baru Cina yang juga Tahun Kuda dalam zodiak Cina.
Penduduk Pasir Ris, Encik Ken Ku, 35 tahun, sedang dalam perjalanan apabila beliau terdengar bunyi kuda menderap.
Apabila beliau kemudian ternampak dua kuda itu, beliau menyangka mereka sedang menjalani latihan.
“Tetapi ia kelihatan sedikit keliru, ia terus berjalan ke depan dan kemudian berpusing kembali ke tempat asal,” tambahnya.
Encik Ku, yang merupakan ketua eksekutif sebuah firma yang menyediakan nasihat pelaburan, berkata kuda itu menuju ke Elias Road sebelum berpatah balik, dan juga menderap ke lorong berhampiran beberapa flat.
Dua kuda itu dipercayai dari Gallop Stable yang terletak di Pasir Ris Park.
Kandang tersebut, yang beroperasi di Pasir Ris sejak 2003, menawarkan kegiatan berkaitan kuda seperti kelas menunggang, memberi makan kuda, tunggangan berpandu, dan kem menunggang kuda.
Ia juga mengendalikan satu lagi kandang di Horsecity, Bukit Timah.
Gallop Stable tidak memberi respons terhadap pertanyaan yang diaju.
Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) telah dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pada 2016, laman web kewartawanan warga Stomp melaporkan kejadian tiga kuda yang menderap di jalan raya Pasir Ris.

