Raikan Tahun Kuda dengan sesi fotografi di Bukit Timah Saddle Club
Raikan Tahun Kuda dengan sesi fotografi di Bukit Timah Saddle Club
Kelab tawar penyewaan kuda dan sokongan penjaga khas
Dalam menyambut Tahun Kuda, Bukit Timah Saddle Club menawarkan sesi fotografi eksklusif di perkarangannya di Kranji dan menjemput orang ramai untuk meraikan musim perayaan bersama kuda di kelab tersebut.
Dengan berlatarbelakangkan kehijauan yang subur dan suasana kandang seperti di desa, lokasi kelab itu menjadi pilihan lain bagi keluarga yang inginkan sesuatu selain potret studio tradisional untuk sambutan Tahun Baru Cina.
Sesi bermula pada harga $280 untuk satu jam pertama.
Ia merangkumi penyewaan kuda dan sokongan penjaga khas untuk menyediakan dan menguruskan kuda tersebut sepanjang sesi fotografi.
Setiap jam seterusnya dikenakan bayaran $100.
Tiada jurugambar disediakan dan pelanggan boleh menggunakan jurugambar mereka sendiri.
Inisiatif tersebut diadakan sebagai cara untuk menghormati haiwan zodiak tahun ini (2026) bagi masyarakat Cina, sambil membuka ruang berkuda kepada lebih ramai orang, kata eksekutif acara di Bukit Timah Saddle Club, Cik Pavethra Maya, 25 tahun.
“Kami mahu orang ramai tahu bahawa ruang berkuda seperti ini masih wujud,” katanya, sambil menepis tanggapan umum bahawa tidak ada lagi kuda di Singapura selepas perlumbaan terakhir di Singapore Turf Club pada Oktober 2024.
Kesejahteraan haiwan menjadi keutamaan.
Setiap sesi turut disertai penjaga kuda dan Cik Pavethra sendiri akan hadir sepanjang sesi itu untuk memantau interaksi, mengurus pergerakan kuda itu dan memastikan keselamatan.
Sesi-sesi disusun dengan jarak yang cukup untuk mengelakkan keletihan haiwan itu, dan hanya kuda yang paling tenang dipilih.
Bagi eksekutif penyewaan kanan di PetroChina International, Cik Zann Chin, 33 tahun, peluang meraikan tahun zodiak ini dengan cara yang lebih bermakna telah menarik keluarganya untuk menyertainya.
Beliau telah mengupah jurugambar amatur, Encik Teo Pok Zin, untuk sesi fotografi keluarganya dan membayar $188, yang didermakan kepada badan kebajikan.
Anak perempuannya yang berusia lima tahun, Zaelyn Ting, yang ingin belajar menunggang kuda, sangat teruja dengan pengalaman itu.
Walaupun Cik Chin berkata beliau agak gementar berada dekat dengan kuda, anak perempuannya pula kelihatan tenang, dan dengan penuh semangat mencapai tali kekang kuda dan mengusap haiwan itu setiap kali ada kesempatan.
“Saya mahu ini menjadi kenangan yang boleh dia ingat kembali, untuk mengingatkannya supaya menjadi berani,” kata Cik Chin.
Sesi fotografi itu menggabungkan sambutan budaya dengan peluang yang jarang ditemui untuk berinteraksi dengan kuda.
Cik Pavethra berharap sesi fotografi tersebut dapat membangkitkan rasa ingin tahu dan penghargaan terhadap kuda, di luar arena menunggang.
“Saya rasa ramai orang tidak tahu bahawa pengalaman seperti ini wujud di Singapura.
“Jika perkongsian daripada keluarga yang turut serta ini dapat membangkitkan rasa ingin tahu tentang kuda, kami amat menghargainya,” kata Cik Pavethra.
Sesi fotografi itu tersedia sepanjang tahun.
Tempahan dan permintaan khusus boleh dibuat dengan menghubungi Bukit Timah Saddle Club di events@btsc.org.sg, dengan slot tertakluk kepada ketersediaan.
Selain sesi fotografi, orang ramai juga boleh mempelajari cara menunggang kuda di kelab itu.

