Mulai 13 Mei, penjual flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan ejen hartanah mereka boleh menyenaraikan rumah yang mahu dijual secara langsung di Portal Flat HDB.
Pembeli flat pula boleh mengakses penyenaraian itu dan mula berurus niaga dengan penjual, apabila perkhidmatan itu dilancarkan secara rasmi pada akhir Mei.
Berikut adalah panduan perkhidmatan penyenaraian flat jualan semula untuk penjual, pembeli dan ejen hartanah.
Penjual mesti ada niat untuk menjual flat berdaftar dengan HDB untuk senaraikan flat mereka sendiri. Mereka juga boleh melantik ejen hartanah untuk menguruskan penyenaraian itu bagi pihak mereka.
Apabila mereka menyenarai flat, butiran seperti alamat rumah, jenis flat, keluasan lantai dan pelan lantai akan diambil daripada data HDB dan diisi secara automatik.
Penjual hanya perlu memuat naik gambar dan penerangan flat mereka.
Mereka juga boleh memilih untuk memanjangkan tempoh penetapan di flat itu dan kontra, iaitu proses yang berlaku apabila pemilik flat mahu kedua-dua urus niaga penjualan flatnya dan pembelian hartanah lain berlaku pada masa yang sama.
Penjual akan diingatkan jika harga penyenaraian itu lebih daripada 10 peratus harga tertinggi flat yang telah dijual pada enam bulan terakhir.
Setelah disenaraikan, penjual boleh membuat janji temu melihat flat itu, hanya dengan pembeli yang berminat yang memiliki surat Kelayakan Flat HDB (HFE) yang sah.
Setiap penjual boleh menyenaraikan satu flat sahaja, untuk mengelakkan sebarang duplikasi kepada penyenaraian flat.
Pembeli flat mesti menyerahkan permintaan untuk nilai flat yang disenaraikan sehari selepas menerima pilihan pembelian. Dengan itu, penyenaraian flat itu akan dimansuhkan.
Bakal pembeli flat boleh menyemak penyenaraian flat jualan semula di portal flat HDB, tetapi mereka yang memiliki surat HFE yang sah sahaja dibenarkan mengambil butiran kenalan penjual dan membuat temu janji untuk melihat flat yang diminati.
Surat HFE itu menunjukkan kelayakan pembeli untuk membeli flat, menerima geran dan mengambil pinjaman untuk pembelian flat.
Pembeli boleh menyaring pencarian mereka menggunakan lokasi, jenis flat, tempoh baki pajakan, ataupun dengan etnik dan kerakyatan di bawah Dasar Integrasi Etnik dan kuota penduduk tetap Singapura.
Penyenaraian flat jualan semula itu akan menunjukkan harga penjualan terbaru pada flat berdekatan, kemudahan di kawasan itu dan kuota etnik dan kewarganegaraan.
Portal itu juga akan menunjukkan pembeli informasi pelancaran flat terkini dan akan datang seperti Bina Ikut Tempahan (BTO) dan Jualan Baki Flat (SBF).
Pembeli juga boleh membandingkan sebanyak tiga flat dengan sifat-sifat seperti tempoh baki pajakan pelan pembayaran awal seperti jumlah bayaran balik pinjaman bulanan dan bayaran tunai.
Pembeli dengan surat HFE boleh melihat pelan pembayaran peribadi berdasarkan geran perumahan yang diluluskan dan jumlah pinjaman HDB untuk menilai dengan lebih tepat sama ada flat yang diminati berada dalam belanjawan mereka, menurut HDB.
Selepas pembeli memilih untuk membeli, mereka boleh menyerahkan aplikasi jualan semula ke Portal Flat HDB.
Ejen hartanah akan mempunyai papan pemuka peribadi pada Portal Flat HDB, yang memberikan mereka gambaran keseluruhan tentang pelanggan mereka – kedua-dua pembeli dan penjual.
HDB berkata ini akan membantu mereka menyediakan “perkhidmatan nilai tambah” untuk pelanggan mereka, seperti belanjawan dan menasihati mereka mengenai langkah seterusnya.
Mereka boleh membuat penyenaraian dan temu janji untuk penjual, dan membantu pembeli mencari, menyenarai dan membandingkan flat.
Perkhidmatan portal HDB ini akan diberikan secara percuma buat masa ini. Portal hartanah seperti PropertyGuru dan 99.co mengenakan yuran langganan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg