Topik diikuti
Pergi ke BHkuApabila warga S’pura menua lebih cepat daripada usia
Pengerusi NHG Health kongsi keprihatinan mengenai sikap warga Singapura terhadap penjagaan kesihatan sendiri, kesihatan mental dan menggunakan teknologi untuk menyepadukan perkhidmatan dalam wawancara bersama media setempat.
Apabila warga S’pura menua lebih cepat daripada usia
Sungguhpun rakyat Singapura kian mengamalkan tabiat atau gaya hidup yang lebih sihat, jumlahnya masih tidak mencukupi, kata Pengerusi NHG Health, Encik Tan Tee How.
Menurut beliau, hal ini membimbangkan, terutamanya memandangkan rakyat Singapura dijangka menghabiskan lebih sedekad daripada hayat mereka dengan menghidap penyakit atau hilang daya keupayaan.
Encik Tan sedang merujuk kepada jurang tempoh kesihatan atau healthspan gap bagi penduduk di Utara dan Tengah Singapura iaitu sekitar 11 tahun.
Jurang tempoh kesihatan mengukur tempoh seseorang perlu menjalani hidup dengan penyakit kronik atau selepas kehilangan sebahagian daya keupayaan.
Jurang sekitar 11 tahun bagi penduduk di Utara dan Tengah Singapura ini lebih tinggi berbanding purata sejagat iaitu 9.6 hingga 10.7 tahun, berdasarkan statistik terkini daripada Institut Kesihatan Negara (NIH) – pusat kajian perubatan peringkat global yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Beliau berkata jangka hayat purata bagi penduduk Utara dan Tengah Singapura adalah 85.4 tahun. Golongan ini juga mempunyai tempoh usia sihat iaitu 74.1 tahun, sekali gus meletakkan jurang tempoh kesihatan sekitar 11 tahun.
“Tiada tanda atau petunjuk awal bahawa jurang ini semakin mengecil. Inilah yang menjadi kebimbangan kami,” katanya.
Beliau memberi contoh usaha mendapatkan vaksinasi influenza, khususnya dalam kalangan warga emas, sebagai tabiat mudah yang boleh diterapkan.
Dengan hampir separuh (49.5 peratus) daripada rakyat Singapura berusia 65 tahun dan ke atas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin tersebut pada 2025, ia satu penanda yang menggalakkan, ujarnya.
Namun, ini bermakna ada lebih kurang separuh lagi daripada golongan tersebut masih belum mengambil vaksin sedemikian, menukil data terkini terbitan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).
Beliau berkata tabiat sebegini menjadi semakin penting bagi memastikan penduduk dapat meniti usia tua dengan sihat, lebih-lebih lagi dengan Singapura kini mencapai status masyarakat sangat tua atau super-aged.
Ini memandangkan lebih kurang 1 dalam 5 warga (21.4 peratus) Singapura kini berusia 65 tahun dan ke atas, dengan jumlah ini dijangka mencecah sekitar 25 peratus atau 1 dalam 4 warga menjelang 2030, menurut banci penduduk terkini.
Encik Tan berkata: “Kami perlukan lebih ramai individu untuk terapkan tabiat seperti ini dan memberikan komitmen mereka.
“Jika setiap daripada kita berusaha untuk lakukan perubahan… saya percaya secara keseluruhannya ia akan membawa perubahan.
“Kita mungkin dapat lihat jurang yang mengecil antara jangka hayat keseluruhan dengan tempoh hidup secara sihat (jika perubahan ini dapat dilakukan). Itulah yang kami mahukan, dan itulah sebabnya usaha ini masih lagi dalam dipergiat.”
Encik Tan, 67 tahun, berkata demikian baru-baru ini dalam wawancara bersama Berita Harian, The Straits Times dan Zaobao di pejabat kumpulan NHG Health di Pusat Kulit Nasional, Novena.
Beliau bersara pada 2018 selepas 34 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam – beliau antara lain pernah menjadi ketua setiausaha sulit kepada mantan Perdana Menteri, Encik Goh Chok Tong, dari 1997 hingga 2000; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Negara (MND) dari 2004 hingga 2011; dan Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dari 2011 hingga 2014.
Beliau juga pernah menggalas jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Pengasas National Healthcare Group, sebelum ia bertukar nama kepada NHG Health pada 2025, dari 2000 hingga 2004.
Beliau kini bertanggungjawab ke atas pengawasan strategik dan tadbir urus korporat NHG Health, dengan Encik Tan memulakan khidmatnya pada April 2019 sebagai Timbalan Pengerusi, sebelum menyandang jawatan Pengerusi pada April 2021.
Buat masa ini, NHG Health mengurus jagaan kesihatan 1.5 juta penduduk di kawasan Utara dan Tengah Singapura menerusi rangkaian penjagaan kesihatan termasuk tiga hospital utama iaitu Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), Hospital Woodlands, 10 poliklinik dan Pusat Kulit Nasional.
Selain keprihatinan mengenai jurang tempoh kesihatan, wawancara itu turut menyaksikan Encik Tan menyentuh berkenaan cara NHG Health sedang membawa jagaan kesihatan lebih dekat kepada penduduk dan bagaimana penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi membantu kakitangan memberi perkhidmatan secara lebih berkesan.
Ini di samping usaha penyepaduan demi mempercepat akses kepada rawatan dan keprihatinan tentang isu kesihatan mental dalam kalangan warga.
Penjagaan kesihatan lebih dekat dengan penduduk
Sebagai sebahagian daripada usaha merapatkan jurang tempoh kesihatan dan menggalak warga SIngapura menjadi lebih proaktif dalam menjaga kesihatan masing-masing, Encik Tan berkata NHG Health telah mula membawa perkhidmatan lebih dekat kepada penduduk.
Usaha ini, katanya, sejajar dengan matlamat badan itu ke arah menambah lebih banyak tahun bermakna bagi kehidupan sihat.
Beliau menukil contoh inisiatif klinik mata masyarakat kendalian Institut Mata NHG dan diselenggara oleh TTSH, dengan khidmat pemeriksaan kini dapat dilakukan oleh ahli optik jika dibandingkan dengan doktor pakar mata.
Ini sekali gus mengurangkan keperluan bagi pesakit melakukan perjalanan ke institut mata di Novena untuk mendapatkan pemeriksaan.
Sebaliknya, mereka boleh membuat pemeriksaan di tiga klinik mata masyarakat di Ang Mo Kio, Hougang dan Geylang.
“Apabila kami menghimpunkan kepakaran, kami dapat melakukan lebih banyak (untuk penduduk atau pesakit)... seperti mencari cara untuk menjadi lebih berguna dan produktif, tanpa menjejaskan mutu penjagaan,” ujarnya.
Perkhidmatan lebih berkesan dipacu teknologi
Menyentuh berkenaan penggunaan teknologi dan AI, Encik Tan berkata institusi perubatan di bawah rangkaian NHG Health sudah menerapkan penggunaan alat tersebut demi memudahkan kerja kakitangan.
Antara yang digunakan pada masa ini ialah fungsi merakam nota yang digunakan oleh doktor untuk menilai keadaan pesakit dengan lebih jelas, tanpa perlu mereka menulis catatan secara langsung.
Namun, tahap selanjutnya adalah penggunaan AI dalam membuat keputusan klinikal, yang dapat memberi kesan ketara dalam rutin kakitangan.
Beliau memberi contoh radiologi – bidang perubatan yang menggunakan teknologi pengimejan seperti X-ray untuk melihat keadaan bahagian dalam tubuh manusia bagi membantu doktor mengesan penyakit atau kecederaan – sebagai satu bidang yang AI dapat bantu “beri perbezaan sangat bermakna”.
“(Penggunaan teknologi) dapat membebaskan tugasan rutin daripada kakitangan kami.
“Dengan ini, mereka dapat melaksanakan kerja yang memang menjadi bidang kepakaran mereka, agar mereka dapat memberikan impak lebih besar,” kata Encik Tan, sambil menambah penerapan teknologi dan AI satu hala tuju yang diambil NHG Health memandang ke hadapan.
Percepat akses kepada rawatan
Berhubung penyepaduan perkhidmatan merentasi rangkaian institut penjagaan kesihatan NHG Health, beliau berkata adalah penting proses ini dilakukan tanpa menjejas pengalaman penduduk atau pesakit.
Sama ada aspek mendapatkan janji temu pakar perubatan mahupun pemeriksaan darah, proses ini sepatutnya dilalui “tanpa ada sebarang kelopongan”, ujarnya.
Beliau menukil kaedah load balancing atau pengimbangan beban terhadap penyaluran pesakit yang harus mendapatkan khidmat pakar perubatan di hospital atau institut perubatan.
Pada September 2026, NHG Health mengumumkan ia telah meluaskan program akses terbuka endoskopi dengan menghubungkan ketiga-tiga hospital di bawah rangkaiannya dan klinik perubatan umum (GP) di bawah rangkaian Rangkaian Penjagaan Utama Tengah-Utara (CN-PCN) serta 10 poliklinik.
Ini agar pesakit dapat memperoleh prosedur tersebut melalui GP, tanpa perlu menghadiri pemeriksaan dengan pakar pesakit luar.
Endoskopi merupakan prosedur memasukkan tiub kecil dengan kamera ke dalam esofagus untuk melihat keadaan saluran pencernaan dan mengambil contoh tisu jika diperlukan.
Menurut NHG Health, ini mengurangkan tempoh menunggu median daripada sekitar 60 hari kepada kurang dari sebulan.
Encik Tan berkata: “Dengan cara ini, pesakit akan dapat meraih manfaat kerana tidak perlu menunggu terlalu lama untuk berjumpa dengan pakar.
“Biasanya, semasa tempoh menunggu, seseorang itu akan rass keresahan jadi dengan pendekatan ini, ia dapat mengurangkan keresahan dan tekanan tersebut.”
Pertajam keupayaan tangani isu kesihatan mental
Sebagai pengendali satu-satunya hospital psikiatri Singapura iaitu Institut Kesihatan Mental (IMH), Encik Tan menegaskan kesihatan mental sentiasa menjadi antara tumpuan utama NHG Health.
Ini lebih-lebih lagi memandangkan sebahagian besar individu yang mengalami episod kesihatan mental masih tidak mendapatkan bantuan profesional disebabkan antara lain stigma atau tidak dapat mengenal pasti simptom, berdasarkan dapatan Kajian Kesihatan Mental Singapura pada 2016.
Oleh itu, beliau menyifatkan penamaan semula IMH kepada Pusat Nasional bagi Kesihatan Mental Singapura (NCMHS) pada 2027 “bukan sekadar penjenamaan semula” tetapi sebagai pusat yang memainkan peranan dalam apa jua terkait dengan kesihatan mental.
Penamaan semula itu diumumkan pada Oktober dan menandakan peralihan daripada peranan IMH sebagai institusi penjagaan jangka panjang bagi ramai pesakit psikiatri, seiring dengan peningkatan penjagaan jangka panjang di kemudahan berasaskan masyarakat.
Pemerintah akan membangunkan semula dan memperluas IMH di Buangkok untuk menjadi hospital lebih besar dan moden menjelang 2040 bagi menangani peningkatan kes kesihatan mental.
Encik Tan berkata: “Terdapat anjakan... dengan kesihatan mental tidak lagi dilihat sekadar sebagai isu psikologi peribadi semata-mata.
“Terdapat faktor pendorong lebih luas yang memainkan peranan. Oleh itu, kita memerlukan pendekatan yang menyeluruh.
“Melalui pusat kebangsaan ini, kami akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan lain untuk memperkukuh aspek pencegahan, pengesanan awal, sokongan komuniti, dan pemulihan.”