SOALAN (S): Apakah itu Fica?
JAWAPAN (J): Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica ialah undang-undang untuk mengukuhkan keupayaan Pemerintah mencegah, mengesan dan mengganggu percubaan terselindung oleh entiti asing untuk campur tangan dalam politik Singapura.
Ini termasuk secara palsu menguatkan pandangan tertentu untuk memanipulasi pendapat umum mengenai isu-isu hangat, mencetuskan perbalahan, atau menjejas keyakinan terhadap institusi awam.
Undang-undang itu juga bertujuan mengatasi subversi dan mempengaruhi operasi melalui penggunaan proksi tempatan.
Diluluskan di Parlimen pada Oktober 2021, peruntukan Fica berkuat kuasa sepenuhnya pada 29 Disember 2023.
S: Siapakah yang dipengaruhi undang-undang itu?
J: Undang-undang itu bertujuan menentang entiti asing yang dipercayai menjalankan kempen maklumat musuh di sini.
Ia tidak menyasarkan rakyat Singapura atau entiti tempatan lain yang menyatakan pandangan mereka, melainkan mereka digunakan oleh entiti asing sebagai proksi untuk campur tangan, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Untuk melindungi politik Singapura, undang-undang diterapkan kepada dua kategori orang dan organisasi: PSP (Individu Penting Dari Segi Politik) yang ditakrifkan dan PSP yang ditetapkan.
S: Siapakah PSP yang “ditakrifkan” atau “ditetapkan”?
J: Memandangkan mereka terlibat secara langsung dalam proses politik Singapura, parti politik, pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP) – termasuk Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) – berada di bawah kategori PSP yang ditakrifkan.
Kumpulan ini juga termasuk Ketua Pembangkang, calon pilihan raya dan ejen pilihan raya mereka, dan ahli jawatankuasa eksekutif pusat parti politik.
Seseorang atau kumpulan boleh menjadi PSP yang ditetapkan jika pihak berkuasa menilai bahawa kegiatan mereka menjurus ke arah tujuan politik, dan demi kepentingan awam mereka tertakluk kepada langkah Fica untuk mengurangkan risiko campur tangan asing.
S: Mengapakah kumpulan tertentu ini?
J: Terdapat banyak contoh dalam beberapa tahun kebelakangan ini, apabila negara yang cuba menumbangkan negara lain, dibantu oleh teknologi moden dan alat komunikasi, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K.Shanmugam, di Parlimen pada 4 Oktober 2021.
Contoh yang beliau sebutkan mengenai operasi pengaruh termasuk seorang bekas senator Australia yang didapati menerima sumbangan derma daripada sumber yang ada hubungan dengan pemerintah China pada 2017.
Dia kemudian menyokong kedudukan China di Laut China Selatan.
Dalam kes lain, seorang pengerusi kumpulan persahabatan asing Kesatuan Eropah (EU) menerima sogokan daripada pemerintah asing dan kemudian menyuarakan sokongan terhadap dasarnya.
Encik Shanmugam menyatakan ini juga berlaku di Singapura, menonjolkan kes ahli akademik, Dr Huang Jing.
Pada 2017, pemastautin tetap Dr Huang dibatalkan kerana bekerjasama dengan ejen perisikan asing.
“Ia percubaan untuk mempengaruhi penggubal dasar kanan dalam pemerintah,” kata Encik Shanmugam.
S: PSP yang ditetapkan dan ditakrifkan tertakluk kepada apa?
J: PSP yang ditakrifkan menghadapi tindakan balas yang lebih ketat.
Ini termasuk dikehendaki melaporkan sumbangan derma tunggal sebanyak $10,000 dan dilarang menerima sumbangan daripada warga asing.
PSP yang ditakrifkan juga mesti mengekalkan akaun bank yang berasingan untuk menerima derma politik dan dilarang menerima sebarang tenaga kerja atau perkhidmatan sukarela yang disediakan oleh warga asing.
PSP yang ditetapkan hanya perlu mendedahkan derma politik dan kaitan asing.
Bagaimanapun, pihak berkuasa boleh mengenakan ke atas mereka keperluan sama seperti yang dihadapi oleh PSP yang ditakrifkan, jika terdapat risiko campur tangan asing yang lebih tinggi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg