Apakah Projek Long Island?

Projek ‘Long Island’ merupakan satu strategi perlindungan kritikal berskala besar.

Kepentingannya

Ia bertujuan melindungi Taman East Coast yang berada pada paras yang rendah, dengan kebanyakan kawasannya secara purata berada pada kurang daripada lima meter di atas paras air laut.

Dari Tanah Merah ke Marina East

Ia dibentuk oleh tiga kawasan tanah tambak, yang buat sementara ini dikenali sebagai Long Island. Ia akan meliputi kawasan dari Tanah Merah hingga ke Marina East.

Keluasan sekitar seganda berbanding Marina Bay

Apabila siap dalam dekad-dekad mendatang, projek ini bakal mewujudkan kira-kira 800 hektar tanah untuk perumahan, takungan air serta sekitar 20 kilometer taman pesisiran pantai yang baru.

Perkembangan Long Island

Gagasan bagi Long Island kali pertama didedahkan dalam Rancangan Konsep Singapura 1991, iaitu satu rancangan bagi penggunaan tanah yang strategik dan pengangkutan bagi memacu pembangunan Singapura bagi tempoh 40 hingga 50 tahun akan datang.

Pada 2023, Menteri Pembangunan Negara ketika itu, Encik Desmond Lee, mengumumkan bahawa kajian teknikal bagi projek tersebut akan bermula dari awal 2024 dan dijangka mengambil masa selama lima tahun.

Sejak November 2023, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan agensi lain juga telah mendekati lebih 14,000 orang untuk meneliti aspirasi, ilham dan kebimbangan mereka terhadap projek Long Island.

Kerja persediaan untuk mempersiapkan landasan yang kukuh bagi projek itu bakal bermula pada akhir 2026.

Satu kajian persekitaran turut ditugaskan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Februari 2025 untuk meneliti kesan kerja persediaan dan tambakan tanah terhadap masyarakat dan persekitaran di kawasan East Coast.

Kajian tersebut dilakukan syarikat konsultasi, DHI Water and Environment (S) Pte. Ltd., melalui dua peringkat.

Peringkat pertama kajian persekitaran itu meneliti kesan kerja persediaan, dan telah diterbitkan pada 30 Jun untuk mengumpul maklum balas awam.

Peringkat kedua kajian persekitaran itu akan menilai kesan daripada kerja penambakan tanah pula.

Menurut HDB dan URA, peringkat ini sedang dijalankan dan dijangka selesai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.