Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aplikasi dating buka peluang cinta buat dua wanita S’pura

Feb 23, 2025 | 5:30 AM
Cik Putri Mardhiyah Yazid menemui jodoh melalui aplikasi janji temu atau dating yang lebih dikenali sebagai Muzz. Muzz merupakan antara satu aplikasi temu janji khas buat golongan Islam.
Cik Putri Mardhiyah Yazid menemui jodoh melalui aplikasi janji temu atau dating yang lebih dikenali sebagai Muzz. Muzz merupakan antara satu aplikasi temu janji khas buat golongan Islam. - Foto ihsan TAUFIK YOHANIS

Bagi golongan anak muda Singapura, berjumpa pasangan dalam talian atau aplikasi dating menjadi cara biasa untuk mencari cinta.

Dua wanita setempat, Cik Putri Mardhiyah Yazid dan Cik Nur Amalina Alwi, adalah contoh bagaimana wadah seperti aplikasi temu janji Muslim, Muzz, boleh meluaskan kemungkinan untuk mencari pasangan.

Cik Mardhiyah, seorang pendidik prasekolah berusia 28 tahun, menyertai Muzz pada 2019, digalak rakan-rakan yang mencadangkannya sebagai cara untuk mencari pasangan hidup.

Tetapi tidak sehingga 2022 – selepas menamatkan pengajiannya – barulah beliau mengambil proses itu dengan lebih serius.

“Bila saya lihat orang lain sudah berpunya, terdetik dalam hati ini... nak juga ada teman hidup,” katanya.

Namun, beliau turut menghadapi banyak perbualan ‘sesia’ dan temu janji yang tidak sesuai sepanjang menggunakan aplikasi itu.

“Ketika saya berada dalam aplikasi tersebut, saya temui ramai calon, malah pernah bertemu dan keluar dating. Tetapi kebanyakannya tidak sesuai.

“Jadi, saya kadang rasa macam putus asa dan pernah terfikir yang aplikasi ini sebenarnya scam (satu penipuan) sebab dah lama gunakannya tetapi masih tak ada yang melekat,” luah Cik Mardhiyah.

Bagaimanapun, ketabahannya akhirnya membuahkan hasil pada 2023 apabila Cik Mardhiyah berjumpa dengan suaminya. Pasangan itu turut mendirikan rumah tangga pada Januari 2025.

Beliau mendapati mempunyai profil terperinci dan gambar yang jelas memberikan kelebihan dalam aplikasi dating seperti Muzz.

“Pada saya, tulisan panjang lebar itu lebih menarik sebenarnya... sebab dengan cara dia menulis sahaja, saya sudah boleh kenali ciri-cirinya,” ceritanya.

Bagi Cik Amalina, seorang lagi pendidik prasekolah, juga menemui suaminya di wadah Muzz, namun kisahnya datang dengan cabaran berbeza – hubungan jarak jauh.

Suaminya berasal dari Maghribi dan pasangan itu menghabiskan banyak masa untuk berkomunikasi merentasi sempadan.

“Saya pada mulanya tidak mencari cinta pada aplikasi temu janji. Ia hanya cadangan biasa daripada seorang kawan.”

Walaupun jarak fizikal yang jauh, Cik Amalina dan pasangannya dapat menjalin hubungan rapat melalui komunikasi yang konsisten.

“Kami bercakap sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sehari walaupun kami berdua berada dalam zon waktu yang berbeza. Kepercayaan, komunikasi dan persefahaman adalah kunci kepada hubungan kami,” kata Cik Amalina.

“Pada mulanya, kedua ibu bapa kami ragu-ragu tentang bagaimana hubungan kami dapat bertahan. Tetapi lama-kelamaan, mereka menerima keputusan kami,” tambahnya.

“Bagi generasi hari ini, bertemu orang dalam talian bukan perkara luar biasa lagi. Kami terbuka untuk bertemu orang lain melalui media sosial atau aplikasi dating. Alhamdulillah, saya ketemui pilihan hati yang mempunyai nilai yang sama,” kata Cik Amalina lagi.

Kedua-dua wanita juga akur aplikasi dating dalam talian membawa stigma dalam masyarakat yang lebih tradisional tetapi mereka menekankan pentingnya untuk mengatasi halangan ini.

“Saya rasa aplikasi dating ini sebenarnya baik jika ia tidak disalahgunakan. Ramai yang telah temui jodoh mereka menerusi aplikasi seperti ini.

“Kadang kita nak berjumpa dengan orang baru, dan tak mahu terus melihat pada persekitaran sama sahaja, jadi bagus dengan adanya aplikasi sebegini,” kata Cik Mardhiyah sambil menekankan aspek kepercayaan dalam proses menjalin hubungan yang bermakna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg