Dalam masyarakat Singapura yang didorong oleh tekanan untuk berkahwin dan membina rumah tangga dengan cepat, boleh membentuk cara orang muda mendekati perihal dating atau proses berkenalan.
Namun, ahli psikoterapi Cik Maimunah Mosli dan pengasas dan penulis platform dalam talian Shy & Curious, Cik Noorindah Iskandar, menggesa golongan bujang untuk tidak terikat dengan jadual atau masa yang ditetapkan masyarakat, sebaliknya mendekati isu perhubungan dengan kesedaran emosi dan niat.
“Orang ramai sering bertanya ‘Adakah orang ini sesuai untuk saya sekarang?’ tetapi soalan yang lebih baik ialah ‘Bolehkah kita melalui perubahan bersama-sama?’,” kata Cik Maimunah, Psikoterapi Keluarga Sistemik dan Perunding Klinikal di Hayya’ Network.
Beliau menekankan bahawa pasangan yang benar-benar menyokong bukan hanya seseorang yang menepati ciri-ciri idaman, bahkan seseorang yang boleh menyesuaikan diri dan berkembang bersama untuk mengharungi ketidakpastian hidup.
Keupayaan ini, yang dikenali sebagai relational flexibility’, menurut Cik Maimunah, sering diabaikan dalam budaya yang mementingkan keserasian praktikal seperti kestabilan kewangan dan rancangan perumahan berbanding kematangan emosi.
Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan jangka panjang bergantung kepada membina keselamatan emosi dalam hubungan yang akan membolehkan kedua-dua pasangan meluahkan perasaan sebenar mereka tanpa rasa takut akan penolakan.
“Ini bukan tentang mengelakkan konflik tetapi mengetahui bahawa anda boleh show up fully (bertanggungjawab sepenuhnya) walaupun dalam saat-saat sukar, dan masih berasa dihargai,” jelasnya.
Cik Maimunah menasihati pasangan agar mengamalkan penyesuaian iaitu merasakan apabila pasangan jauh dari segi emosi, bertindak balaslah dengan rasa ingin tahu dan bukannya menghakimi.
Keletihan perhubungan juga menjadi keluhan yang kerap didengar dalam kalangan golongan bujang di Singapura.
Cik Noorindah, yang menyediakan wadah selamat untuk membincangkan isu perhubungan dan keyakinan diri Shy & Curious, mengaitkan ini dengan gamifaction of dating application atau proses menjadikan aplikasi janji temu atau dating ibarat satu permainan.
“Anda meletakkan diri anda di sana dengan penuh harapan, tetapi aplikasi temu janji boleh membuatkan anda berasa seperti pasangan masa depan anda dapat diperolehi dengan satu swipe.
“Ia menarik pada mulanya tetapi ia makin meletihkan apabila anda menghadapi isu seperti ghosting, catfishing atau orang yang hanya berminat dengan hubungan tidak serius,” katanya.
Ghosting adalah apabila seseorang tiba-tiba menghilang tanpa berita manakala catfishing di aplikasi dating merujuk pada orang yang menyamar sebagai orang lain.
Cik Noorindah mendapati keinginan semakin meningkat bagi hubungan di luar talian demi mencapai keserasian yang lebih bermakna.
“Kian ramai memilih untuk bertemu dalam kehidupan sebenar, sama ada melalui makan malam, melalui kelab larian atau pertemuan berasaskan hobi.
“Melalui acara sebegini, anda mungkin tidak menemui cinta dalam hidup dengan segera, tetapi anda mungkin membina persahabatan yang membawa anda lebih dekat dengan tujuan anda iaitu mendapatkan jodoh,” jelas Cik Noorindah.
Di sebalik pencarian pasangan, kedua-dua pakar bersetuju bahawa golongan muda mesti terlebih dahulu memupuk kesedaran diri.
“Berkenalan pasangan dengan sengaja bermula dengan rasa ingin tahu tentang diri anda. Apakah kisah yang anda jalani dalam hubungan anda? Adakah anda tergesa-gesa membuat komitmen kerana dicengkam ketakutan atau adakah anda mencari hubungan yang benar-benar memanfaatkan anda?,” tambah Cik Maimunah.
Cik Noorindah berkongsi sentimen yang sama.
“Kita sudah terbiasa bahawa kejayaan bermakna mendapatkan pasangan hidup dan memulakan keluarga. Tetapi kehidupan tidak selalu mengikut jadual yang ditetapkan oleh masyarakat.
“Adalah penting untuk bertanya kepada diri sendiri, ‘apakah nilai dan minat saya?’ ‘Apakah jenis hubungan yang sejajar dengan siapa saya sekarang?’,” tambah Cik Noorindah.
Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi pasangan muda, menurut pemerhatian kedua-dua pakar itu, adalah penolakan emosi atau emotional avoidance.
“Ia lebih mudah untuk terlibat dalam perbualan serius tentang kerjaya dan perumahan, manakala keintiman emosi mengambil a back seat (diketepikan dahulu),” kata Cik Maimunah.
Beliau menggalakkan pasangan menjadualkan masa untuk membincangkan perasaan dan kelemahan masing-masing, bukan sekadar membincangkan rancangan masa depan.
Cik Noorindah turut menekankan cabaran yang dihadapi sesetengah lelaki untuk meluahkan perasaan disebabkan jangkaan budaya.
“Keterbukaan emosi masih menjadi tabu bagi kebanyakan lelaki. Saya sering mendengar wanita mengatakan pasangan mereka menjauhkan diri semasa perbualan yang sukar. Tetapi orang ramai bersikap defensif kerana mereka takut tidak ‘cukup baik’,” luah Cik Noorindah.
Cik Noorindah, turut berkongsi pengalamannya sendiri tentang kebergantungan emosi atau codependancy.
Ia merujuk kepada pergantungan emosi, yang mana satu pasangan terlalu bergantung pada pasangannya untuk mendapatkan pengesahan, sokongan atau nilai diri.
“Saya terpaksa belajar untuk menetapkan sempadan dan memahami emosi saya. Sekarang, apabila saya berasa cemas dalam perhubungan, saya bertanya: ‘Adakah ini tentang pasangan saya sekarang, atau adakah ia luka lama yang timbul semula?’.”
Kedua-dua pakar bersetuju bahawa asas perhubungan yang berkekalan tidak dibina secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan ‘perkongsian’ di mana kedua-dua individu boleh berkembang bersama dan secara individu.
“Cinta bukanlah sesuatu yang anda temui dan simpan. Ia adalah sesuatu yang anda cipta dan cipta semula, lagi dan lagi,” nasihat Cik Maimunah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg