Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aplikasi dating ‘bukan untuk semua’, apa cara lain gen muda cari jodoh?

Feb 23, 2025 | 5:30 AM
Menurut tinjauan rambang BM ke atas 10 individu yang berusia awal 20-an tahun, hanya satu yang akan menggunakan aplikasi dating untuk mencari jodoh, sementara yang lain akan menggunakannya sama ada untuk tujuan suka-suka sahaja atau sekiranya itulah pilihan terakhir. 
Menurut tinjauan rambang BM ke atas 10 individu yang berusia awal 20-an tahun, hanya satu yang akan menggunakan aplikasi dating untuk mencari jodoh, sementara yang lain akan menggunakannya sama ada untuk tujuan suka-suka sahaja atau sekiranya itulah pilihan terakhir.  - GRAFIK BM oleh MOHD SAMAD AFANDIE

Aplikasi dating – kaedah moden mencari jodoh – pernah menjadi pilihan popular si bujang dan dara untuk bertemu pasangan hidup.

Namun sejak kebelakangan ini, terdapat peralihan dalam sikap anak muda yang mendambakan hubungan lebih serius yang membawa kepada perkahwinan.

Ini kerana sesetengah anak muda, termasuk yang dihubungi Berita Minggu (BM), mendapati aplikasi dating sukar memenuhi cita rasa mereka, malah gagal menemukan mereka dengan pasangan yang serasi.

Antara mereka ialah Cik Sarah (bukan nama sebenar), 29 tahun, yang setelah tiga tahun, putus asa ‘swipe’ kanan dan kiri kerana mendapati ia benar-benar memerah tenaga dan emosinya.

Sebaliknya, teknisyen makmal itu memutuskan menyertai acara sosial yang dianjurkan khas buat golongan bujang dengan harapan dapat bertemu seseorang yang berkongsi minat yang sama dengannya.

“Saya rasa hubungan yang dijalin apabila kita bersua muka dahulu lebih bermakna dan tulen. Lagi pun, sekitarannya lebih santai dan bersahaja, jadi tidak ada tekanan untuk mencari jodoh.

“Bagi dating dalam talian, kekok sekiranya kita tidak tahu cara terbaik menjawab pesanan seseorang itu, dan perbualan akan terkubur begitu sahaja,” ujarnya.

Cik Yana (bukan nama sebenar), 29 tahun, juga beralih daripada aplikasi dating kepada agensi cari jodoh.

Walaupun terpaksa membelanjakan lebih $4,000 bagi khidmat tersebut, juruaudit itu berjaya bertemu pasangan hidupnya dan mereka membina rumah tangga pada 2024.

“Jika anda ketepikan stigma sosial, ia benar-benar menjimatkan masa. Anda tidak perlu menghadapi kekecewaan seperti kisah kecelakaan yang kita dengar tentang aplikasi dating. Agensi cari jodoh adalah barisan pertama yang menapis calon buat anda, dan mereka mempunyai kumpulan calon yang memenuhi ‘standard’ lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam satu tinjauan rambang BM ke atas 10 individu lebih muda pula – berusia awal 20-an tahun – hanya seorang akan menggunakan aplikasi dating untuk mencari jodoh, sementara yang lain akan menggunakannya sama ada untuk tujuan suka-suka sahaja atau sebagai pilihan terakhir.

Bagaimanapun, aplikasi dating masih mendapat permintaan besar, dengan sesetengah pengguna juga berjaya mencari peneman hidup setelah ‘swipe’ kanan.

Antara mereka ialah Cik Putri Mardhiyah Yazid, 28 tahun, yang bertemu suaminya di aplikasi Muzz setelah menggunakannya selama beberapa tahun.

Mengakui bahawa aplikasi dating bukan untuk semua orang, beliau berkata adalah penting untuk terus tekun dan tidak berputus asa, selain membuang perasaan malu memandangkan profil seseorang itu boleh dilihat orang awam.

“Saya rasa aplikasi dating sebenarnya baik jika ia tidak disalah guna. Ramai yang dah bertemu jodoh mereka menerusi aplikasi ini.

“Kadang-kadang kita nak berjumpa orang baru dan tak mahu terus melihat persekitaran yang sama sahaja, jadi bagus apabila ada aplikasi itu,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg