Sekitar 80,000 nombor telefon yang dipercayai digunakan dalam penipuan telah disekat oleh aplikasi ScamShield pemerintah sejak Mac 2022, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, di Parlimen pada Rabu.
Sekitar 5 juta SMS juga telah ditandai dengan amaran penipuan oleh aplikasi itu yang mengenal pasti dan menapis mesej penipuan serta menyekat panggilan daripada nombor telefon yang disahkan sebagai berkaitan penipuan.
Aplikasi tersebut, yang dilancarkan dalam versi iOS pada November 2020 dan versi Android pada September 2022, telah dimuat turun sekitar 750,000 kali hingga Oktober 2023.
Cik Sun berkata demikian ketika menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen tentang keberkesanan aplikasi ScamShield yang dibangunkan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC), GovTech dan Pasukan Polis Singapura (SPF) itu.
“ScamShield telah berkesan dalam melindungi pengguna daripada SMS dan panggilan penipuan,” katanya.
Beliau menambah, selain panggilan telefon yang disekat oleh ScamShield, polis juga bekerjasama rapat dengan syarikat telekomunikasi untuk menyekat nombor telefon yang disyaki terlibat dalam penipuan.
Dalam separuh pertama 2023, lebih 3,700 nombor telefon yang dipercayai digunakan dalam penipuan telah ditandai polis untuk ditamatkan.
Di samping itu, syarikat telekomunikasi menyekat sekitar 180 juta panggilan yang disyaki penipuan di peringkat rangkaian dalam tempoh sama.
Cik Sun berkata pasukan GovTech sedang membuat penambahbaikan kepada aplikasi ScamShield supaya pengguna boleh melaporkan penipuan dengan lebih mudah.
Ia juga sedang berusaha untuk meningkatkan ketepatan pengesanan SMS penipuan dan untuk membantu pengguna menetapkan izin yang betul dengan lebih mudah, tambahnya.
Menjawab pertanyaan Encik Yip Hon Weng (SMC Yio Chu Kang) dan Encik Derrick Goh (GRC Nee Soon) tentang peratusan penduduk yang telah memuat turun aplikasi itu, Cik Sun berkata MHA tidak menjejak bilangan orang yang menggunakan aplikasi itu dan seorang pengguna mungkin memuat turun aplikasi itu di beberapa peranti.
Encik Yip juga bertanya sama ada aplikasi ScamShield atau langkah serupa akan diperkenalkan untuk mengenal pasti dan menyekat penipu daripada menggunakan wadah media sosial dan e-dagang.
Menurut Cik Sun, ScamShield tidak direka untuk menyekat penipu di wadah sedemikian, ia berfungsi sebagai lapisan pertahanan tambahan, dan mempunyai fungsi pelaporan yang membolehkan pengguna memberitahu pihak berkuasa tentang panggilan dan mesej penipuan yang mereka terima.
Ia juga melengkapi usaha pemerintah untuk menentang penipuan.
“Sebagai contoh, Polis, sebaik mengesan atau menerima laporan daripada orang ramai mengenai penipu yang menggunakan media sosial, e-dagang atau aplikasi mesej, akan meminta pengendali wadah mengeluarkan akaun itu. Dalam separuh pertama 2023, lebih 10,000 talian WhatsApp dan 1,500 nama samaran dan iklan dalam talian yang dipercayai digunakan dalam penipuan telah ditandai oleh oleh Polis untuk ditamatkan,” katanya.
Beliau menambah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian yang akan mula beroperasi secara berperingkat mulai suku pertama 2024 akan membolehkan polis menangani kegiatan penipuan dalam talian dengan lebih berkesan.
Encik Yip dalam soalan tambahannya bertanya sama ada aplikasi ScamShield boleh dimuat turun terlebih dahulu ke dalam telefon bijak baru bagi menggalak penggunaannya.
Cik Sun berkata, pemerintah pernah mempertimbangkan langkah itu tetapi memutuskan untuk tidak meneruskannya atas beberapa sebab termasuk tidak semua pengguna mungkin memberi keizinan untuk aplikasi itu dimuat turun terlebih dahulu ke dalam telefon bijak mereka.
“Kami memutuskan untuk tidak memuat turun terlebih dahulu aplikasi ScamShield, tetapi kami akan membiarkan pilihan ini terbuka sekiranya usaha kami untuk menggalak lagi aplikasi ScamShield dimuat turun tidak menunjuk peningkatan,” kata Cik Sun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg