Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arahan Pofma dikenakan kepada rangkaian antihukuman mati Asia

Oct 10, 2024 | 2:15 PM
Dalam kenyataannya pada 9 Oktober, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata arahan Pofma adalah untuk menangani dua kenyataan palsu.
Dalam kenyataannya pada 9 Oktober, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata arahan Pofma adalah untuk menangani dua kenyataan palsu. - Foto SPH

Rangkaian Anti-Hukuman Mati Asia (Adpan), rangkaian organisasi dan individu yang diasaskan di Hong Kong yang menyokong hukuman mati dimansuhkan di Asia-Pasifik, telah dikenakan perintah pembetulan di bawah undang-undang berita palsu Singapura.

Ia mengenai kepalsuan yang terkandung dalam hantaran mereka di laman sosial Facebook, Instagram dan LinkedIn pada 3 Oktober mengenai proses undang-undang Singapura bagi banduan yang dikenakan hukuman mati dan layanan terhadap aktivis yang menentang hukuman mati.

Hantaran itu dimuat naik sehari sebelum banduan pengedaran dadah, Mohammad Azwan Bohari dijadualkan untuk hukuman mati.

Azwan disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati pada 11 Februari 2019, kerana memiliki tidak kurang daripada 26.5 gram heroin tulen.

Hantaran media sosial oleh Adpan mendakwa, bahawa hukuman yang dikenakan ke atas Azwan adalah tidak adil, hukuman di Singapura dijatuhkan sewenang-wenangnya, dan bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah mengabaikan proses undang-undang yang berterusan dengan meneruskan hukuman mati, lapor The Straits Times (ST).

Hantaran itu juga menyatakan bahawa salah seorang anggota organisasi Adpan, kumpulan aktivis Transformative Justice Collective (TJC) yang berpangkalan di Singapura menjadi sasaran pihak berkuasa kerana bersuara menentang hukuman mati.

Dalam kenyataannya pada 9 Oktober, MHA berkata perintah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) adalah untuk menangani dua kenyataan palsu.

Ini adalah bahawa negara melaksanakan hukuman mati tanpa mengambil kira proses undang-undang sewajarnya, dan bahawa pemerintah mengganggu dan menutup mulut TJC dan individu lain kerana menentang hukuman mati.

Dalam menangani dakwaan pertama, MHA berkata Azwan telah melalui proses undang-undang sewajarnya “pada semua peringkat”.

Ia juga menyenaraikan semua rayuan dan permohonan undang-undang berkaitan kesnya, bermula dengan rayuan berikutan sabitannya yang ditolak Mahkamah Rayuan pada 24 Oktober 2019.

Selepas dua cubaan pengampunannya gagal, Azwan diberi notis pada 12 April 2024, bahawa hukuman matinya akan dijadualkan pada 19 April.

Namun, Azwan memfailkan usul jenayah kepada Mahkamah Rayuan memohon penangguhan pelaksanaan pada 16 April.

Rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 September.

Pada 19 September, Azwan dan 30 banduan lain yang dikenakan hukuman mati memfailkan permohonan mencabar kesesuaian perlembagaan peruntukan tertentu yang diperkenalkan di bawah permohonan pascarayuan dalam Akta Kes Modal 2022.

Namun MHA menegaskan permohonan itu tiada kaitan dengan sabitan atau hukuman Azwan.

Permohonan itu juga tidak meminta penangguhan pelaksanaan.

Azwan diberi notis pada 30 September bahawa hukuman matinya dijadualkan pada 4 Oktober.

Mengenai dakwaan bahawa ia tidak membenarkan perbezaan pendapat mengenai hukuman mati, MHA berkata demi kepentingan awam, tindakan harus diambil terhadap organisasi dan individu yang menyebarkan maklumat palsu mengenai hukuman mati.

Inilah yang telah dilakukan dalam kes TJC.

Dengan perintah Pofma, Adpan kini dikehendaki memuat naik notis pembetulan pada akaun media sosial Facebook, Instagram dan LinkedInnya. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg