Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arahan Pofma kedua dikenakan kepada kumpulan antihukuman mati

Aug 11, 2024 | 6:55 PM
(gambar hiasan) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengeluarkan arah pembetulan buat kali kedua dalam tempoh seminggu kepada kumpulan aktivis anti-hukuman mati Transformative Justice Collective (TJC) kerana telah membuat kenyataan palsu berhubung hukuman mati.
(gambar hiasan) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengeluarkan arah pembetulan buat kali kedua dalam tempoh seminggu kepada kumpulan aktivis anti-hukuman mati Transformative Justice Collective (TJC) kerana telah membuat kenyataan palsu berhubung hukuman mati. - Foto ZAOBAO

Sebuah kumpulan aktivis berpangkalan di Singapura yang mendesak supaya hukuman mati dimansuhkan di sini telah diberikan arahan pembetulan buat kali kedua dalam tempoh seminggu kerana membuat kenyataan palsu mengenai layanan banduan yang menanti hukuman mati.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataannya pada 11 Ogos berkata kumpulan itu, Transformative Justice Collective (TJC), dalam hantaran mereka di laman media sosial Facebook, Instagram dan X pada 6 Ogos, telah membuat dua kenyataan palsu berhubung hukuman mati.

Ini termasuk bahawa pelaksanaan hukuman mati dua banduan warga Singapura pada 2 dan 7 Ogos 2024, “dijadualkan tanpa mengambil kira proses undang-undang yang sewajarnya”, dan negara ini “menggunakan hukuman mati sewenang-wenangnya untuk memutuskan sama ada orang itu akan terus hidup atau mati”.

TJC telah meletakkan notis pembetulan pada ketiga-tiga platform media sosial mereka.

Awal sebelum itu pada 8 Ogos, arahan pembetulan telah dikeluarkan terhadap kumpulan itu menyusuli penerbitan laporan di laman webnya pada 1 Ogos, dan juga hantaran media sosial pada hari yang sama di akaun Facebook, Instagram dan X mereka.

Dalam pada itu, MHA pada 11 Ogos juga mengeluarkan arahan pembetulan yang disasarkan kepada LinkedIn ke atas hantaran yang dibuat seseorang bernama ‘Julie O’Connor’ pada 6 Ogos.

Ini bermakna LinkedIn dikehendaki oleh undang-undang untuk menyertakan notis pembetulan pada hantaran asal, dengan pautan kepada penjelasan pemerintah.

Memberi butiran fakta dalam kenyataannya pada 11 Ogos, MHA berkata kenyataan media pada 8 Ogos sebelum ini telah menjelaskan bahawa pelaksanaan hukuman mati hanya dijadualkan setelah banduan yang menunggu hukuman mati (PACP) kehabisan semua hak rayuan dan proses pengampunan.

“Ini halnya bagi semua PACP, termasuk PACP yang dirujuk dalam kiriman TJC,” kata MHA.

Berhubung banduan yang menjalani hukuman mati pada 2 Ogos, kementerian itu berkata ia telah memberikan perincian fakta relevan yang berkaitan dengan individu itu, khususnya bahawa dia telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.

PACP kedua, yang hukuman matinya dijalankan pada 7 Ogos, juga telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.

Lelaki itu didapati memiliki 35.85 gram diamorphine, atau heroin tulen, bagi tujuan pengedaran.

Dia telah ditangkap pada 24 Oktober 2017 dan menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada 2019 dan 2021.

“Mahkamah Tinggi mempertimbangkan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan dan hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwa dan peguam PACP kedua.

“Dia disabitkan kesalahan selepas perbicaraan dan dijatuhkan hukuman mati pada 10 Ogos 2021.

“Rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2022,” jelas MHA.

Permohonan pengampunan PACP itu ditolak dua kali oleh mantan Presiden Halimah Yacob pada 14 Oktober 2022 dan 22 November 2022.

Pada 3 Disember 2022, dia memfailkan permohonan undang-undang bagi keizinan menyemak keputusan CA untuk menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya, namun permohonan ini ditolak CA pada 28 Februari 2023.

Dia bersama dengan PACP lain sebagai pemohon bersama juga telah membuat satu lagi permohonan undang-undang, tetapi ini juga ditolak CA pada 27 Mac 2024, dengan CA mendapati permohonan itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 31 Julai 2024, lelaki itu dimaklumkan bahawa hukuman matinya akan dilaksanakan pada 7 Ogos 2024.

MHA berkata sehingga tarikh notis pelaksanaan hukuman mati, lelaki itu mempunyai satu rayuan sivil yang belum selesai (bersama dengan PACP lain).

Enam hari kemudian pada 5 Ogos 2024, dia memfailkan Notis Penarikan Balik Rayuan berkenaan rayuan sivil itu, yang diterima pada hari yang sama oleh mahkamah.

“Oleh itu, tidak ada prosiding undang-undang melibatkan PACP kedua itu tatkala pelaksanaan hukuman matinya dijalankan pada 7 Ogos 2024.

“Justeru, adalah palsu dan mengelirukan untuk menyarankan bahawa pelaksanaan hukuman mati dua banduan warga Singapura yang menunggu hukuman mati pada 2 dan 7 Ogos 2024 itu dijadualkan tanpa mengambil kira proses undang-undang yang sewajarnya,” kata MHA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg