Sebuah arena tertutup baru bakal dibangunkan dan menggantikan Stadium Tertutup Singapura (SIS), yang telah beroperasi selama 35 tahun.
Arena itu akan dibina bersebelahan tapak semasa SIS dan dijangka menjadi antara “yang terbaik di dunia”, umum Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, ketika berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementerian itu di Parlimen pada 7 Mac.
Memandangkan perancangan masih di peringkat awal, SIS akan terus beroperasi buat masa kini bagi mengurangkan gangguan pada jadual acara dan pengaturcaraan sepanjang tempoh pembinaan arena baru.
Encik Tong berkata: “Pesaing kita tidak duduk diam dan kita, begitu juga, mesti terus berinovasi dan berkembang jika ingin terus menarik acara peringkat tinggi.
“Kami percaya bahawa ia kini adalah masa sesuai untuk membangunkan arena tertutup baru yang akan menjadi antara yang terbaik di dunia. Kami telah pergi sekeliling untuk mengkaji beberapa arena terbaik di dunia, untuk belajar daripada mereka.”
Beliau menambah arena baru itu akan sekurang-kurangnya mempunyai kapasiti sama seperti SIS dan “kalis masa depan”.
Pemerintah sedang mempertimbangkan arena yang boleh menganjurkan acara yang lebih canggih, boleh menampung pelbagai jenis acara secara fleksibel serta mempunyai masa pusing balik yang lebih cepat.
Ia turut menawarkan nilai lebih besar kepada penonton dengan kemudahan layanan lebih pelbagai, tempat duduk dan pengalaman keseluruhan yang lebih baik, kongsi Encik Tong.
Butiran lanjut akan dikongsi kemudian, ujar beliau.
Encik Tong turut mengumumkan pelaburan $165 juta pemerintah ke dalam Dana Acara Sukan Utama (MSEF) bagi mempromosikan Singapura sebagai destinasi pilihan untuk acara hiburan dan sukan dalam empat tahun seterusnya.
Beliau maklum penganjuran acara sebegitu akan memberi atlet Singapura lebih banyak peluang untuk “bertanding dan mengukur diri mereka berbanding dengan yang terbaik dunia di laman sendiri”.
Pada 2023, Singapura telah menjadi tuan rumah kepada edisi pertama Minggu Sukan-E Sukan Olimpik, Terbuka Asia Pertubuhan Triatlet Profesional (PTO), Ragbi Tujuh Sepasuk Singapura HSBC dan Grand Prix Formula Satu Singapura.
“Warga Singapura akan dapat menonton lebih ramai atlet terbaik dunia beraksi, menambah kepada kalendar sukan yang sudah meriah.
“Ia juga merangsang pertumbuhan ekonomi dan pengiktirafan sejagat, kemungkinan membuka potensi terpendam dalam menganjurkan acara hiburan dan sukan, dan pada masa yang sama mengukuhkan reputasi Singapura sebagai destinasi pilihan untuk acara antarabangsa yang terkenal.”
Pada 2024, empat kemudahan baru juga akan dibuka. Mereka adalah Hab Tenis Kallang, Hab Bola Sepak Kallang, gelanggang bola keranjang baru di bekas Kompleks Renang Bedok dan kemudahan sofbal dan besbol di Jurong East.
Sebanyak 10 projek Sukan dalam Kawasan (SIP) telah selesai dibina sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Kemudahan Sukan (SFMP), termasuk Bukit Canberra dan ActiveSG Sport Village @ Jurong Town yang baru dibuka. Kemudahan sukan baru di Clementi, Toa Payoh dan Punggol juga sedang dalam perancangan.
Pelan Induk Sukan Orang Kurang Upaya (DSMP) juga akan dikemas kini, dengan cadangan akan diumumkan kemudian pada 2024. Seramai 20,000 orang kurang upaya telah menyertai program Majlis Sukan Singapura (SportSG) sejak 2016 dan badan pentadbir nasional itu berada di landasan yang betul untuk menjadikan semua gimnasium ActiveSG yang terangkum menjelang 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg