Arkitek yang membentuk landskap Singapura moden, Dr Liu Thai Ker, yang meninggal dunia pada usia 87 tahun, telah membantu mereka dan membina bandar baru negara ini dengan pusat kejiranan, ruang hijau dan kemudahan masyarakat secara bersepadu dari awal.
Menyatakan demikian dalam satu catatan Facebook pada 18 Januari, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong berkata sebagai Ketua Perancang pertama Singapura, mendiang Dr Liu memainkan peranan penting dalam membentuk Pelan Konsep 1991 dan memajukan usaha pemuliharaan – meletakkan asas struktur yang terus membimbing cara negara ini merancang dan membina bandar hari ini.
Encik Wong, yang melahirkan rasa sedih yang mendalam di atas pemergian Dr Liu, berkata:
“Di HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan), beliau bukan sekadar mereka flat baru.
“Beliau membantu mereka bentuk dan membina bandar baru yang lengkap dengan pusat kejiranan, ruang hijau dan kemudahan masyarakat disepadukan dengan teliti dari awal.
“Saya menghargai perbualan saya dengannya semasa saya di MND (Kementerian Pembangunan Negara).
“Beliau sering mengatakan bahawa untuk membina sebuah bandar, seseorang mesti mempunyai hati seorang humanis, minda seorang saintis, dan mata seorang artis.
“Cita-cita ini mengalir melalui kerja hidupnya. Bangunan, rumah dan ruang awam yang digunakan rakyat Singapura setiap hari sebagai bukti yang tenang terhadap dedikasi dan visi beliau.”
Beliau menambah bahawa Singapura lebih baik kerana perkhidmatan Dr Liu.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga dan orang tersayang beliau,” tambah Encik Wong.
Mendiang Dr Liu meninggal dunia akibat komplikasi yang dialami selepas terjatuh seminggu sebelum ini.
Mendiang yang sepatutnya berusia 88 tahun pada Februari dikelilingi anggota keluarga dan orang tersayang semasa kematiannya pada pagi 18 Januari.
Dalam catatan berasingan, Presiden Tharman Shanmugaratnam menyatakan bahawa Dr Liu juga merupakan perintis dalam memulihara daerah lama yang unik di sebelah pusat perniagaan dan kewangan pusat bandar.
Tuan Presiden berkata beliau mengagumi bagaimana Dr Liu kekal aktif pada usia 70-an dan 80-an tahun, menyumbang kepada perancangan bandar di lebih 50 bandar di luar negara seperti China, Arab Saudi dan Russia.
“Sehingga akhirnya, beliau tetap yakin bahawa menjadikan bandar itu lebih baik akan meningkatkan kualiti kehidupan dan semangat rakyat. Itu akan kekal sebagai warisan Dr Liu Thai Ker,” tambahnya.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata dalam catatan Facebook bahawa Dr Liu menyelia pembangunan kira-kira separuh daripada lebih satu juta perumahan awam di Singapura, memegang peranan seperti ketua eksekutif pengasas HDB serta ketua eksekutif pertama Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Encik Chee berkata beliau kali terakhir bertemu dengan Dr Liu kira-kira dua minggu lalu.
“Seperti biasa, beliau bercakap dengan jelas dan yakin tentang masa depan bandar Singapura, dengan murah hati berkongsi idea dan renungan beliau tentang bagaimana kita boleh terus bermimpi dengan berani dan membina bandar kita dengan lebih baik. Ini adalah bukti dedikasi sepanjang hayatnya kepada perkhidmatan awam dan negara yang sangat beliau sayangi,” katanya.
“Warisan Dr Liu Thai Ker akan terus hidup di kawasan kejiranan yang indah yang kami panggil rumah, bandar taman dinamik yang kami banggakan ini, dan generasi orang yang telah beliau beri inspirasi selama ini.”
Dikenali secara meluas sebagai perancang induk pertama Singapura dan bapa perancangan bandar di sini, beliau menyelia pembangunan kira-kira separuh daripada lebih satu juta flat perumahan awam, membantu merancang 20 daripada 24 bandar HDB.
Dr Liu menyertai HDB sebagai ketua unit reka bentuk dan penyelidikan pada 1969 sebelum menjadi ketua eksekutif dan perancang URA pada 1989.
Beliau meninggalkan perkhidmatan awam pada 1992 selepas 24 tahun tetapi meneruskan kerjanya, melakukan perancangan bandar untuk lebih daripada 50 bandar dan mereka bentuk beberapa projek terkenal termasuk Pusat Kapal Persiaran Marina Bay.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg