Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Video 3D bantu pembeli BTO bayang rumah baru

May 2, 2025 | 6:24 PM
BTO, 3D
Bakal pembeli flat boleh mendapatkan gambaran video tiga dimensi (3D) rupa unit flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka daripada pasukan BTO Viewer, pada harga $18. - Foto ihsan CIK GOH

Bayangkan anda berada di laluan masuk bakal rumah baru anda, berjalan-jalan di ruang tamu, kemudian menjenguk dapur dan ruang lain, semuanya melalui sebuah video interaktif tiga dimensi (3D).

Video yang memaparkan gambaran unit Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) itu boleh didapatkan dengan harga hanya sekitar $18.

Dihasilkan dan dijual pasukan BTO Viewer, video itu merupakan antara khidmat yang ditawarkan beberapa penyedia bagi membantu pembeli memilih unit BTO.

Harga perkhidmatan itu bermula daripada $14.90 untuk model 3D digital, hingga $620 bagi khidmat perundingan, lapor The Straits Times (ST).

Video BTO Viewer – yang dihasilkan pasukan lima anggota, terdiri daripada individu kreatif dan profesional – dibangunkan berdasarkan pelan lantai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), peta tapak, imej satelit dan ilustrasi reka bentuk.

Salah seorang anggota pasukan itu, yang ingin dikenali sebagai Cik Goh, 25 tahun, berkata beliau memulakan khidmat tersebut selepas melalui kesukaran membayangkan rupa unit yang ditempahnya pada Disember 2024.

Sejak khidmat itu dimulakan pada Januari, beliau telah menjual lebih 50 video.

Pasukan itu mempromosikan khidmat video 3D mereka di wadah media sosial seperti TikTok dan Instagram, yang membolehkan pelanggan menghubungi mereka di platform itu atau melalui kumpulan sembang.

Memandangkan keputusan pemilihan flat boleh “menimbulkan tekanan dan memberi kesan besar”, video itu membantu pembeli membayangkan unit pilihan mereka sebelum membuat tempahan, kata Cik Goh.

Pada Mac, Encik Jake Chua, 42 tahun, yang mempunyai ijazah dalam teknologi dan reka bentuk, melancarkan khidmat BTOmyhome, yang menawarkan model 3D susun atur asas flat menggunakan program SketchUp, pada harga $14.90 setiap satu.

Pelanggan boleh menggunakan fail tersebut untuk membayangkan dan mereka bentuk bakal rumah mereka, contohnya dengan menyusun perabot, kata Encik Chua, yang telah menjual 21 fail model setakat ini.

Seorang arkitek bersekutu yang ingin dikenali sebagai Encik Boon, 30 tahun, memulakan akaun Instagram bernama BTO Select, pada Februari untuk menawarkan khidmat rundingan bernilai $620 bagi membantu pembeli membuat pilihan unit.

Walaupun unit di tingkat tinggi dan tidak menghadap matahari, sudah ditempah pembeli lain, bakal pembeli masih boleh mendapatkan unit yang sesuai, kata Encik Boon.

Ini dilakukan dengan meneliti pelan pembangunan di kawasan sekitar dan susun atur unit sebelum beliau memberi cadangan kepada bakal pembeli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg