Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis popular sokong usaha peningkatan masjid

May 31, 2024 | 10:29 AM
Masjid yang terletak di kawasan bukit ini telah dibina 37 tahun dahulu dan sedang ditutup sepenuhnya untuk menjalani projek peningkatan.
Masjid yang terletak di kawasan bukit ini telah dibina 37 tahun dahulu dan sedang ditutup sepenuhnya untuk menjalani projek peningkatan. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Laungan azan yang memecah kesunyian berkumandang pada waktu subuh sudah menjadi kebiasaan mereka yang beriadah awal pagi, khususnya di kawasan Yishun Park.

Malah, setelah selesai bersenam, kelihatan juga ada yang menggunakan alat pendingin air (water cooler) yang disediakan di pintu masuk Masjid Darul Makmur untuk diminum atau mengisi botol air setelah selesai bersenam.

Ini adalah antara ciri mesra masyarakat yang disediakan oleh masjid demi menabur ihsan kepada semua.

Masjid Darul Makmur sedang mengumpulkan dana bagi kerja peningkatan yang telah bermula sejak April 2023 ini. Warga kerja masjid terus mengharapkan sokongan dan juga sumbangan derma daripada masyarakat setempat.

Pengurus Masjid Darul Makmur, Ustaz Ruhaizan Abdullah, menjelaskan:

“Setakat ini hampir $11 juta telah terkumpul, dan kami sedang mencari baki dana $4 juta lagi untuk projek peningkatan yang menelan belanja sekitar $15 juta ini.

“Kami menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat dan usaha pengumpulan dana yang sedang dijalankan buat masa ini perlu dipertingkatkan lagi, agar jumlah dana yang kami sasarkan dapat dicapai pada hujung tahun ini.”

Masjid Darul Makmur yang sudah dibangunkan selama 37 tahun perlu dinaik taraf berskala besar agar ia dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah. Ini lebih utama lagi kerana banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun dan juga Canberra.

Buat masa ini, masjid dapat menampung sekitar 3,000 jemaah setiap waktu, dan ia merancang mahu menambah kapasiti ruang solat untuk lebih daripada 4,600 jemaah. Buat masa ini, juga terdapat 1,000 pelajar madrasah aLIVE yang mengikuti program madrasah secara mingguan. Ini adalah tumpuan utama sewaktu peningkatan selain memastikan ruang masjid kondusif, kelas pengajian yang lebih selesa dan ruang yang mudah digunakan oleh warga emas.

Selain itu, masjid ini juga bakal mengadakan acara Jamuan Amal. Acara ini akan diadakan pada 14 Julai 2024 dan merupakan salah satu usaha masjid mencari dana.

“Kami menyasarkan sebanyak $400,000 hasil daripada acara ini, dan buat masa ini sambutan menggalakkan,” ujar Ustaz Ruhaizan.

Acara Jamuan Amal yang akan diadakan di Hotel Fairmont itu turut menerima sokongan daripada artis-artis tempatan dengan sama-sama menjayakan dan menghiburkan hadirin. Selebriti tempatan dan juara Singapore Idol 2004, Taufik Batisah, antara artis yang akan menyerikan acara tersebut.

“Alhamdulillah, Taufik sangat berbesar hati dapat bersama-sama dalam menyokong usaha peningkatan Masjid Darul Makmur dalam acara Jamuan Amal ini. Taufik harap orang ramai dapat bantu dalam pengumpulan dana dengan mendapatkan tiket dan menghadiri acara amal ini yang akan diadakan nanti, insya-Allah,” kata selebriti terkenal ini lagi.

Acara Jamuan Amal ini juga akan diserikan dengan deklamasi sajak oleh penggiat seni tanah air Rafaat Hamzah, nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni Singapura yang merupakan juga seorang pelakon, penulis, penyair dan pengarah.

Seorang lagi artis tempatan yang akan bersama pada acara tersebut ialah juara Gegar Vaganza Musim ke-6, Hady Mirza.

Hady Mirza berkata:

“Hady dan rakan artis lain yang akan membuat persembahan pada acara Jamual Amal ini amat mengharapkan agar semua dapat memberikan derma untuk Projek Peningkatan Masjid yang sedang berjalan dan masih memerlukan $4 juta lagi. Dapatkan tiket anda agar sasaran acara ini berjalan lancar.”

Turut bersama menjayakan acara ini ialah Datuk Ramli Sarip, bersama pengacara yang tidak asing lagi, AB Shaik dan Mariam Mas’od.

“Kami amat mengharapkan juga sokongan daripada masjid-masjid, badan pertubuhan Melayu/Islam, Kumpulan Akar Umbi dan syarikat-syarikat korporat bagi acara ini dengan menjadi penaja Jamuan Amal ini,” ujar Ustaz Ruhaizan.

Masjid Darul Makmur masih mengalu-alukan tajaan dan sumbangan orang ramai untuk menjayakan acara Jamuan Amal ini agar baki kos peningkatan sebanyak $4 juta dapat dipenuhi.

Tiket boleh dibeli di kaunter sementara di Masjid Assyafaah di Sembawang atau secara online di laman: https://darulmakmur.mimbar.sg/event/3086

SUMBANGAN DERMA

Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf/Infak).

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf/Infak).

3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir di pejabat sementara di Masjid Assyafaah (pada waktu pejabat) di 1 Admiralty Lane, Singapura 757620.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg