USTAZ MD ISKANDAR MD SABERY
Sebagai seorang Muslim, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan, seperti yang telah diterangkan di dalam Al-Quran dan hadis.
Dengan ilmu, manusia mampu meningkatkan kemampuan diri dan dapat mengetahui perkara yang tidak diketahui sebelumnya.
“Bacalah Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat (memberi bantuan) kepada pembacanya.” (Sahih Muslim)
Al-Quran akan menjadi syafaat bagi pembacanya.
Oleh itu, Rasulullah saw sangat menganjurkan umatnya supaya rajin membaca, menghafal dan sekali gus mengamalkan isi kandungan yang terdapat di dalam Al-Quran agar mereka beroleh keuntungan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI), program Ihya’ Al-Quran adalah antara program yang melibatkan pelajar melatih diri mereka agar sentiasa mencintai Al-Quran.
Program tersebut bukan sahaja memberikan tumpuan kepada bacaan malah juga menghidupkan kembali penghayatan, penelitian (tadabur) dan amalan ajaran Al-Quran dalam kehidupan umat Islam harian khususnya buat pelajar di MAI.
Pelajar juga didedahkan kepada program seperti pertandingan musabaqah, hafalan dan bacaan Al-Quran serta pertandingan azan.
Mereka diuji dan dilatih melaungkan azan, memimpin solat fardu zuhur setiap hari, menyampaikan khutbah Jumaat serta memimpin bacaan Al-Quran pada awal pagi setiap hari secara berjemaah sebagai rutin harian mereka di madrasah.
Pelajar yang mahir dalam bacaan dan hafalan Al-Quran pula akan dipilih untuk mewakili MAI dalam pertandingan Musabaqah Al-Quran dan Tahfiz (MTTQ) pada peringkat kebangsaan atau madrasah.
Kesemua pelajar yang terlibat akan melalui proses latihan intensif bersama asatizah MAI dan pelatih yang dipilih khas untuk membimbing peserta Musabaqah Al-Quran dan Tahfiz MAI.
Alhamdulillah, pelajar MAI memperoleh pencapaian cemerlang dalam pertandingan Musabaqah Al-Quran dan Tahfiz 2024 peringkat kebangsaan anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
* Farah Inaaya Bajal Mohamed (Menengah 4) – Tempat ketiga kategori belia tahfiz.
* Asilah Shyma Imam Fadhilah (Menengah 3) – Tempat ketiga kategori belia tahfiz.
* Muhammad Irham Suhaimi (Menengah 2) – Tempat ketiga kategori belia tilawah.
Pencapaian MAI di MUQNAN 2024 (Musabaqah Al-Quran Nur Ala Nur) yang dianjurkan oleh Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah bagi peringkat madrasah sepenuh masa adalah seperti berikut:
* Muhammad Salahuddin Damanhuri (Menengah 3) – Tempat kedua kategori B tahfiz.
Ketua Jabatan Bahasa Arab dan Pembelajaran Islam (ALIS), Ustaz Abu Bakar Sidik Hassan, berkata pihaknya juga menghantar pelajar terpilih ke Darul Quran Singapura, sebagai salah satu program tahunan wajib untuk diuji hafalan mereka.
Pada Jun 2024, sebanyak 90 peratus daripada kalangan pelajar MAI yang menduduki ujian tersebut berjaya lulus dengan cemerlang.
MAI menawarkan mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ termasuk Sains dan Matematik Tambahan bagi memperkukuhkan kurikulum Pengajian Islam.
Kurikulum yang luas itu membolehkan lulusan MAI maju dalam bidang pilihan mereka bukan sahaja dalam aliran akademik malah ukhrawi juga.
MAI akan mengadakan ‘Karnival Sains-Rumah Terbuka’ pada 9 November 2024, dari 9 pagi hingga 12 tengah hari. Pelajar Darjah 6 (2024) dan ibu bapa serta waris dipersilakan hadir.
MAI turut mengalu-alukan bantuan derma orang ramai untuk meneruskan perjuangan mendidik generasi Singapura yang baru.
Sila lungsuri laman https://www.mai.edu.sg/giving-to-mai/.
Penulis merupakan guru ukhrawi bagi pembelajaran Al-Quran dan Ilmu Agama Islam (IRK) di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg