Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsah bahasa Melayu menerusi bangsawan, berpeluang buat persembahan di Korea
Ibu: Penat lelah dan komitmen kewangan berbaloi demi beri ruang kepada anak-anak teroka potensi diri secara seimbang
Asah bahasa Melayu menerusi bangsawan, berpeluang buat persembahan di Korea
Demi mengembangkan minat anaknya dalam seni persembahan sambil memperkukuh penguasaan bahasa Melayu, Cik Noor Atiqah Ab Halim, 45 tahun, memilih kelas Bangsawan sebagai kelas pengayaan untuk anak keduanya.
Ibu tiga anak itu berpendapat program di Opera Academy (OA) itu bukan sahaja mengasah bakat berlakon anaknya, Dani Ihsan Suhardi, 12 tahun, malah membolehkannya berlatih menggunakan bahasa Melayu di luar bilik darjah, memandangkan bahasa Inggeris merupakan bahasa perbualan utama di rumah.
“Bahasa Melayu anak-anak saya sebenarnya tidak begitu kukuh kerana kami jarang berbahasa Melayu di rumah.
“Jadi saya fikir, jika Dani menyertai kelas teater berbahasa Melayu, ia dapat membantu. Malah kelas madrasah anak-anak pun saya pilih dalam bahasa Melayu supaya mereka ada platform tambahan untuk belajar,” kata pengarah itu kepada Berita Minggu (BM).
Bagi mengasah potensi tersebut, Dani mula menyertai program Bangsawan di OA pada awal 2025 semasa di Darjah 5 selepas menyertai beberapa program cuti sekolah anjuran akademi tersebut.
Beliau bermula dengan program asas ‘Tunas’ sebelum melangkah ke program intensif ‘Elite’ yang memberi lebih banyak pendedahan persembahan. Penyertaan bagi kedua-dua sesi itu menelan belanja sekitar $300 hingga $400 sebulan.
Pendedahan program Bangsawan itu memberi kesan positif terhadap penguasaan bahasa Dani di sekolah dan di rumah.
“Paling ketara adalah dari segi pertuturan. Dani kini lebih yakin berbual dalam bahasa Melayu, termasuk apabila bersembang dengan neneknya.
“Dari segi penulisan karangan pula, saya perhatikan dia mula menyelitkan frasa menarik yang dipelajarinya daripada Bangsawan.
“Untuk ujian lisan PSLE baru-baru ini pun, saya tidak perlu risau atau latih dia secara berlebihan kerana dia sudah petah meluahkan pandangannya,” kongsi Cik Atiqah.
Selain kelas Bangsawan, Dani menghadiri kelas tuisyen bahasa Melayu sebagai persediaan menghadapi peperiksaan tersebut.
Bakat lakonan Dani sebenarnya mula berputik seawal usia prasekolah pada 2020 apabila beliau mampu menghafal skrip pementasan di majlis tamat prasekolah secara berdikari.
Sepanjang 2026, Dani telah menjayakan lebih lima pementasan tempatan.
Kemuncaknya pada awal Oktober lalu apabila Dani terpilih membuat persembahan jalanan di Festival Chungjang di Korea Selatan, di mana pasukannya merangkul anugerah Harmony Award.
“Saya seronok dapat ke Korea kerana itu kali pertama saya ke sana dan membuat persembahan di luar Singapura,” kongsi murid Darjah 6 itu.
Mengulas harapannya sebagai ibu, Cik Atiqah berkata:
“Harapan saya agar Dani dapat terus mengasah minatnya dan diberi peluang menyertai produksi yang lebih besar dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Saya sendiri gemar menonton teater, jadi seronok melihat dia di atas pentas.
“Sekiranya dia mahu mencuba bidang lakonan televisyen secara lebih serius apabila meningkat remaja nanti, kami sekeluarga sedia menyokong.”
Bagi Dani pula, dorongan untuk terus melangkah di pentas seni bertitik tolak daripada niat yang ringkas:
“Saya minat Bangsawan kerana saya suka berlakon. Cita-cita saya memang mahu menjadi seorang pelakon supaya saya boleh menghiburkan lebih ramai orang,” ujarnya.
Pendekatan menyokong minat anak turut dipraktikkan kepada dua lagi anaknya, masing-masing berusia 14 dan lapan tahun yang aktif beraksi dalam Liga Belia Singapura.
Dani pula memilih untuk menumpukan perhatian kepada seni persembahan dan kelas renang.
Memandangkan minat ketiga-tiga anak yang berbeza, penyelarasan logistik harian memerlukan kerjasama utuh antara beliau dan suami, termasuk sesekali menggunakan khidmat kereta sewa privet seperti Grab untuk menghantar Dani ke sesi latihan sekiranya jadual menghantar dan mengambil anak bertembung.
Bagi Cik Atiqah, segala penat lelah dan komitmen kewangan itu berbaloi demi memberi ruang kepada anak-anak meneroka potensi diri secara seimbang.
“Bagi kami, yang penting anak-anak ada minat yang sihat dan berfaedah. Asalkan kami dapat menyelaraskan masa dan perbelanjaan secara adil antara ketiga-tiganya, kami akan beri ruang seluas-luasnya untuk mereka mencuba,” kata Cik Atiqah lagi.