Satu inisiatif membaca kebangsaan selama setahun dilancarkan untuk meningkatkan kemahiran penilaian kritikal rakyat Singapura.

Ia bagi membantu mereka membezakan dengan lebih baik, antara fakta dengan maklumat palsu, yang dihasilkan kecerdasan buatan (AI). 

Langkah itu menyusuli satu tinjauan membabitkan 1,150 karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) di Singapura, yang mendapati hanya dua daripada lima melahirkan keyakinan dapat membezakan maklumat palsu janaan AI daripada kebenaran.

Tinjauan itu dijalankan pada Jun dan Julai oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan firma perakaunan KPMG.

Tinjauan sama turut mendapati hanya dua daripada lima responden akan menyemak sumber asal sesuatu perangkaan yang dipetik dalam ringkasan janaan AI, pada enjin carian atau dalam artikel berita, sebelum membentuk pendapat mengenai sesuatu topik.

Penemuan itu merupakan peringatan bahawa rakyat Singapura mungkin masih terlalu mudah menerima kandungan, walaupun mengetahui ia mungkin tidak lengkap atau dihasilkan oleh AI.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, semasa pelancaran kempen, Read to Lead: Building an AI-Ready Mind (Baca untuk Memimpin: Membina Minda untuk Bersedia dengan AI), pada 14 Julai.

Majlis itu, yang diadakan di lobi awam Asia Square di Shenton Way, menampilkan reruai ‘pop-up’ buku misteri, setiap satunya dibalut untuk menyembunyikan kulit buku, penulis dan sinopsis.

Orang ramai yang lalu-lalang di situ serta pekerja pejabat boleh mengambil buku tersebut semasa waktu makan tengah hari mereka pada 14 Julai, dan dibenarkan meminjam salinan fizikal atau menerusi aplikasi NLB.

“Inisiatif selama setahun oleh KPMG dan NLB ini menggalakkan budaya membaca di tempat kerja, dan mengukuhkan keupayaan PMET dalam AI, literasi maklumat dan literasi digital,” kata Cik Rahayu, sambil menambah bahawa membaca dapat membantu pekerja memperlahankan diri apabila terbeban dengan maklumat.

“Ia membantu kita memperoleh ilmu, meluaskan perspektif kita, dan melatih minda kita untuk fokus.”

Perbincangan panel dan kuiz interaktif turut diadakan di Asia Square, KPMG Clubhouse dan Bangunan Perpustakaan Negara dari 14 hingga 16 Julai.

Sebagai sebahagian daya usaha itu, KPMG dan NLB akan turut membangunkan bersama satu kit pendidikan mengenai AI dan strategi untuk menangani maklumat palsu bagi membantu PMET dan perniagaan.

Ceramah oleh pakar mengenai kecelikan AI dan amalan yang boleh dipercayai akan turut diadakan di perpustakaan NLB, dengan maklumat lanjut bakal diumumkan pada masa akan datang.

Membaca secara perlahan sambil merenungkan bagaimana maklumat itu berkait dengan pengalaman diri sendiri adalah kunci untuk membina kemahiran membaca secara kritikal, ujar Editor RSIS Publications di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Encik Warren Fernandez, semasa satu perbincangan yang diadakan pada majlis pelancaran itu.

Walaupun ramai selalunya membaca dengan pantas hanya untuk mendapat maklumat secara cekap, usaha perlu dibuat untuk mencabar kebenaran kandungan tersebut serta penyampai maklumat itu, kata Encik Fernandez, yang juga ketua Program Kajian Keselamatan Negara RSIS.

“Dalam proses menyoal siasat penulis itu, anda akan membentuk fikiran anda sendiri dan merenungkan perkara yang anda sendiri tahu, dan itulah yang menjadikan anda istimewa,” katanya.

“AI tidak dapat memberitahu anda apa yang perlu difikirkan. Ia tidak dapat memberitahu anda apa yang perlu dipercayai.”

“Inisiatif selama setahun oleh KPMG dan NLB ini menggalakkan budaya membaca di tempat kerja, dan mengukuhkan keupayaan PMET dalam AI, literasi maklumat dan literasi digital. Ia membantu kita memperoleh ilmu, meluaskan perspektif kita, dan melatih minda kita untuk fokus.”
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.