Mantan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, kini memegang jawatan baru selaku zamil kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

Beliau telah memulakan tugas baharunya itu sejak awal Mac 2026.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Ustaz Hannan, 60 tahun, yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Mufti pada 2025, berkata beliau terdorong memikul tanggungjawab barunya itu kerana masih mahu menyumbang kepada masyarakat, walau dalam bentuk berbeza.

“Memberi sumbangan kepada masyarakat dan menyemai benih kehidupan beragama selalu menjadi keprihatinan saya. Ini memberi peluang untuk saya membuat kajian dan penelitian dan memberi sumbangan dalam bentuk lain.

“Setelah hampir tiga dekad dalam sektor awam dan memainkan peranan kepimpinan dan penggubal dasar awam, saya ingin menterjemahkan pengalaman ini pada bentuk lain: penelitian, penulisan dan pembangunan,” ujar beliau.

Dengan kelulusan Sarjana Undang-undang, Etika dan Pendidikan Islam di samping minat terhadap penyelidikan yang merangkumi hubungan antara agama, terutamanya hubungan Muslim-Yahudi, Ustaz Hannan berkata agama yang semakin memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti warga Singapura harus dijadikan aset yang menyatukan.

Beliau memetik dapatan kajian 2024 Institut Pengajian Dasar (IPS) yang menyatakan 97.3 peratus orang Islam; 93.9 peratus orang Kristian; dan 85.3 peratus orang Katolik menganggap agama sebagai bahagian penting dalam kehidupan beragama dan falsafah kehidupan mereka.

“Agama semakin memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti masyarakat Singapura mengikut kajian IPS 2024.

“Ini harus menjadi aset menyatukan, dan bukan sebaliknya. Inilah yang ingin saya tumpukan dalam sumbangan saya sebagai zamil kanan di RSIS - melihat kepada kehidupan beragama Singapura, dan belajar juga dari masyarakat lain di luar negara,” katanya.

Beliau menambah dalam dunia yang semakin rencam dengan kepelbagaian agama, budaya dan pandangan hidup, persoalan sebenar bukanlah bagaimana mengurus perbezaan, tetapi bagaimana menjadikannya kekuatan bersama.

“Agama mencapai tujuannya apabila ia melahirkan manusia yang lebih berakhlak, lebih berbelas ihsan dan lebih komited kepada kebaikan bersama.

“Apabila tumpuan diberikan kepada nilai sejagat yang dikongsi bersama, agama menjadi jambatan yang menghubungkan. Namun apabila ia disempitkan kepada eksklusivisme dan politik identiti semata-mata, ia berisiko menjadi tembok yang memisahkan,” tambahnya.

Sebelum di RSIS, Ustaz Hannan, berkhidmat selama 28 tahun di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), termasuk sebagai Ketua dan Penolong Pengarah Pendidikan Islam dan Madrasah, Naib Dekan Akademi Muis dari 2008 hingga 2024, dan Timbalan Mufti dari 2020 hingga 2025.