Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsal usul ibarat sauh, semarak citra cinta negara
Hargai pengorbanan generasi terdahulu bina hidup baru di S’pura
Bagi Encik Sarafian Salleh, semangat kesetianegaraan bukan sekadar dirai pada Hari Kebangsaan.
Ia malah bermula dengan mengenali asal usul diri sendiri.
Baginya, seseorang yang memahami asal usul keluarganya akan lebih menghargai pengorbanan generasi terdahulu, yang sanggup meninggalkan tanah kelahiran demi membina kehidupan baru di Singapura.
“Kalau kita mengenali asal usul kita, kita akan memahami mengapa nenek moyang kita datang ke sini, apa yang mereka korbankan dan mengapa mereka memilih Singapura sebagai tempat tinggal,” katanya.
Pegangan itulah yang mendorong Encik Sarafian, 56 tahun, untuk melangkaui lebih daripada sekadar mengenali sejarah keluarganya sendiri.
Walaupun bekerja sepenuh masa sebagai jurutera mekanikal dan mengendalikan syarikat perunding kejuruteraannya sendiri, beliau menghabiskan sebahagian besar masa lapangnya menyelidik salasilah keluarga dan mendokumentasikan warisan masyarakat Bugis di Singapura.
Perjalanannya sebagai pengkaji warisan bermula sewaktu di sekolah menengah, apabila beliau mengambil gambar Masjid Temenggong Daeng Ibrahim yang terletak di Telok Blangah.
Apabila Encik Sarafian menunjukkan gambar itu kepada ibunya, ibunya hanya berkata masjid itu mempunyai kaitan dengan masyarakat Bugis.
Jawapan ringkas itu mencetuskan rasa ingin tahunya terhadap sejarah dan asal usul keluarganya.
Malah, kerjayanya sebagai jurutera secara tidak langsung membawanya lebih dekat dengan sejarah.
Ketika menjalankan pemeriksaan struktur di bangunan warisan dan deretan rumah kedai lama, termasuk di kawasan Bugis, beliau mula menemui pelbagai kisah tentang masyarakat itu, yang pernah memainkan peranan penting dalam perkembangan awal Singapura.
“Kalau orang Bugis pernah menjadi begitu hebat, kenapa yang tinggal hari ini cuma namanya?”
Persoalan itu menjadi titik tolak kepada penyelidikan yang berlanjutan selama lebih dua dekad.
Usaha yang bermula dengan menjejaki salasilah keluarganya akhirnya membuka pintu kepada sejarah masyarakat lain yang turut membentuk Singapura, termasuk masyarakat Jawa, Minangkabau, Cina, India dan Eropah.
“Bila saya menjejaki sejarah keluarga saya, secara semula jadinya saya menemukan sejarah Singapura,” katanya.
Kini ramai yang menghubunginya untuk berkongsi gambar lama, dokumen keluarga dan kisah yang selama ini hanya tersimpan dalam album atau ingatan anggota keluarga.
Daripada perkongsian itulah lahir sebuah masyarakat yang hari ini menghimpunkan ribuan individu yang ingin mengenali semula sejarah dan identiti mereka.
Encik Sarafian turut mengendalikan lawatan warisan di sekitar Kampong Gelam, Bugis dan Chinatown, bagi memperkenalkan kisah yang sering terlepas daripada perhatian masyarakat.
Setiap gambar lama, dokumen keluarga dan cerita lisan merupakan cebisan sejarah negara yang tidak wajar hilang begitu sahaja.
Bagi Encik Sarafian, memelihara warisan bukan bertujuan menghidupkan semula masa silam semata-mata.
Sebaliknya, ia merupakan langkah penting untuk membina jambatan kefahaman yang lebih kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa hari ini.
Lebih penting lagi, dalam sebuah negara majmuk seperti Singapura, beliau percaya rakyat perlu melangkaui sekadar mempunyai sikap toleransi terhadap satu sama lain.
Beliau sebaliknya lebih gemar menggunakan perkataan menghargai.
“Toleransi bermaksud kita hanya menerima. Tetapi menghargai bermaksud kita mahu belajar,” jelas beliau.
Menurutnya, daripada rasa ingin tahu itulah lahir persefahaman yang lebih mendalam.
“Patriotisme bukan sekadar mencintai negara. Ia juga bermaksud mencintai rakyat yang membentuk negara,” tambahnya.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 2026, Encik Sarafian berharap lebih ramai rakyat Singapura meluangkan masa bertanya tentang kisah keluarga masing-masing.
Baginya, kepingan gambar lama bukan sekadar kenangan, malah ia merupakan rekod kehidupan yang suatu hari nanti mungkin menjadi petunjuk penting kepada generasi akan datang memahami dan menghargai sejarah keluarga mereka.
Daripada penghargaan itulah lahir rasa cinta kepada Singapura yang lebih mendalam – satu bentuk kesetianegaraan yang bermula daripada sejarah keluarga, yang akhirnya mengukuhkan jati diri sebuah negara.
“
“Kalau kita mengenali asal usul kita, kita akan memahami mengapa nenek moyang kita datang ke sini, apa yang mereka korbankan dan mengapa mereka memilih Singapura sebagai tempat tinggal… Bila saya menjejaki sejarah keluarga saya, secara semula jadinya saya menemukan sejarah Singapura.”