Yang seorang pelajar cemerlang bukan dari segi ilmiah sahaja, bahkan keyakinan dan pembentukan diri. Seorang lagi pelajar yang berusaha mencapai kecemerlangan dengan bimbingan asatizah di samping mengamalkan nilai-nilai akhlak yang dipelajarinya.
Kededuanya pelajar di pusat pendidikan Islam Cordova.
Pelajar cemerlang itu, Cik Iffah Syafiqah Abdul Razak, yang belajar pada peringkat Kelas Bimbingan Menengah 3 (KBM3), menerima anugerah tempat pertama bagi kohort cawangan Cordova Hougang berturut-turut dari 2018 hingga 2025, serta tersenarai sebagai antara tiga pelajar terbaik bagi kohort Lembaga Penilaian dan Peperiksaan Islam (LPPI) di keseluruhan Cordova.
Di samping itu, Cik Iffah, 16 tahun, mendapat kesempatan membuat penyampaian mengenai tokoh-tokoh Islam di sebuah Majlis Haflah, yang mengajarnya menyampaikan ilmu dengan lebih berani, tersusun dan yakin di hadapan orang ramai.
Peluang itu, menurut Cik Iffah, membuatnya lebih berani bersuara dan berkongsi pandangan secara matang.
Kecemerlangan Cik Iffah antaranya adalah hasil pendekatan kurikulum Cordova yang menyeluruh dengan pengetahuan, pembangunan sahsiah (peribadi) dan bimbingan.
“Saya rasa Cordova menyediakan persekitaran selamat dan menyokong saya mendalami agama secara berperingkat, sambil membentuk keyakinan dan disiplin diri. Ia membolehkan saya sedar bahawa pembelajaran agama merupakan sesuatu yang dekat dengan kehidupan dan mudah diamalkan setiap hari,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.
Tiga adiknya juga belajar di Cordova pada peringkat Kelas Bimbingan Kanak-Kanak 4 dan 2 (KBK4 dan KBK2) serta Kelas Bimbingan Prasekolah 1 (KBPS1), manakala ibunya, Cik Siti Mardiana Mohamed Amin, pelajar Kelas Bimbingan Dewasa (KBD).
Cik Iffah menambah bahawa kurikulum tahunan Cordova yang jelas dan berstruktur banyak membantu membentuk cara beliau berfikir dan berkelakuan. Setiap topik tidak fokus pada hukum sahaja, tetapi juga cara nilai seperti amanah, sabar dan ihsan boleh diamalkan dalam situasi sebenar.
Justeru, sejak belajar di Cordova, beliau lebih sedar tentang kepentingan adab. Perkara asas seperti memberi salam, bercakap lembut kepada ibu bapa, dan mengurus masa dengan baik menjadi lebih konsisten dalam rutinnya.
Mengulas tentang asatizah di Cordova pula, Cik Iffah berkata:
“Mereka menjadikan pembelajaran menarik kerana mereka mengajar dengan cara yang relevan dan mudah dikaitkan dengan kehidupan remaja. Mereka bukan hanya bersyarah, tetapi sentiasa memberi contoh yang dekat dengan pengalaman kami, jadi setiap pelajaran terasa bermakna.”
Katanya lagi, melalui kerja berkumpulan Projek Buzz, asatizah juga memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan nilai kepimpinan, disiplin dan kerjasama secara praktikal.
“Gabungan pendekatan ini menjadikan suasana kelas dinamik, seimbang antara teori dan amalan, dan benar-benar menggalak pembelajaran secara aktif,” kata Cik Iffah.
Memberi contoh tentang pendekatan pembelajaran secara aktif di dalam kelas, seorang lagi pelajar Cordova, Auni Mardhiah Noor Sharif, 13 tahun, yang belajar pada peringkat Kelas Bimbingan Kanak-Kanak 6 (KBK6), berkata pelajar berpeluang bermain kuiz menerusi wadah digital seperti Kahoot! di dalam kelas supaya pembelajaran agama lebih menarik dan interaktif.
Auni Mardhiah, yang menduduki peperiksaan LPPI pada 2025, turut berkongsi bahawa asatizahnya meluangkan masa untuk mengadakan kelas tambahan bagi membantu pelajar membuat persiapan peperiksaan tersebut.
Menurutnya, kelas tambahan itu memberi tumpuan kepada pembelajaran subjek Jawi dan Arab, yang diadakan pada Ahad secara fizikal atau melalui wadah dalam talian Zoom.
Selain itu, asatizahnya memberi nota untuk semua subjek yang dipelajari.
“Nota tersebut banyak membantu saya kerana ia boleh dibawa ke mana-mana dan senang untuk saya mengulang kaji. Ia membuatkan saya lebih memahami dan ingat perkataan-perkataan, surah-surah pendek dan doa yang perlu difahami dan dihafal,” kata Auni Mardhiah, yang juga anak sulung daripada empat adik-beradik.
Tiga adiknya turut belajar di Cordova, pada peringkat Kelas Bimbingan Kanak-Kanak 5 dan 4 (KBK5 dan KBK4) serta Kelas Bimbingan Prasekolah 2 (KBPS2).
Auni Mardhiah menambah bahawa beliau juga boleh bertanyakan soalan kepada asatizahnya melalui wadah WhatsApp jika terdapat sembarang soalan dan asatizahnya akan menjawab walaupun sibuk.
Usaha asatizah dalam membantu pelajar membuat persiapan LPPI memberi Auni Mardhiah semangat untuk melakukan yang terbaik bagi peperiksaannya.
Justeru, beliau juga berusaha menjawab kertas-kertas ujian LPPI tahun-tahun lalu yang boleh didapati menerusi portal pelajar Cordova dan merujuk kepada tugasan E-Pendidikan semasa mengulang kaji subjeknya.
Selain itu, Auni Mardhiah mendapati pembelajaran di Cordova menarik kerana asatizah selalu bercerita tentang pengalaman mereka atau berkongsi tentang zaman sekarang dan dahulu apabila berbicara tentang sesuatu topik.
“Sebagai contoh, semasa subjek akhlak, Ustazah menerangkan bagaimana merokok boleh menjejas iman dan fokus kita terhadap ibadah. Ustazah juga selalu berpesan supaya selalu menjaga kelakuan dan adab kita di mana-mana kita berada supaya kita tidak membuat dosa.
“Beliau juga pesan bila kita buat sesuatu, kita mesti ingat Allah kerana Allah nampak apa-apa saja dan bila kita buat sesuatu perkara, kita mesti buat kerana Allah taala,” kata Auni Mardhiah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg