Ke arah memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan Islam dinamik, Andalus terus berusaha gigih menyiapkan Pelan Induk (Blueprint) Transformasi Digital menyeluruh bagi tempoh 2025 hingga 2030.
Usaha ini bukan sekadar memastikan pendidikan agama kekal relevan, malah memenuhi keperluan asatizah dan pelajar dalam dunia yang semakin berkembang pesat dan mencabar.
Menurut Ustaz Fathurrahman Dawoed selaku Pengarah Eksekutif Divisyen Pendidikan Andalus, antara inisiatif yang dirancang ialah:
1. Pembangunan Bahan Digital Interaktif: Untuk peringkat prasekolah.
2. Pembangunan Aplikasi Pintar: Untuk kegunaan waris dan pelajar.
3. Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).
4. Menaik Taraf Sofwe: Kewangan, pengurusan dan pentadbiran.
5. Pengukuhan Sistem Sekuriti: Digital dan Siber.
6. Pelaksanaan Program Latihan Peningkatan Kemahiran: Untuk warga kerja.
Ini merupakan kesinambungan transformasi digital Andalus Corporation yang telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2015, melalui inisiatif awal yang dikenali sebagai Business and IT Transformation (BIT).
Selain Andalus, inisiatif transformasi digital ini juga melibatkan syarikat kerabat, iaitu Pusat Pendidikan Cordova, Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri serta syarikat penerbitan Darul Andalus.
Andalus dan syarikat-syarikat kerabatnya telah memperkenalkan pengajian dalam talian sepenuhnya dan juga secara hibrid, dengan matlamat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar di Singapura mahupun di luar negara untuk mengikuti pengajian agama secara fleksibel bila-bila masa dan di mana sahaja.
Sebuah pasukan petugas merentasi empat syarikat iaitu Digital Transformation Taskforce (DTT) telah dibentuk sejak awal tahun 2025, melibatkan beberapa pegawai kanan syarikat-syarikat berkenaan. Beberapa penasihat pakar bersekutu atau Associate Subject Matter Experts (ASME) juga dilibatkan secara aktif.
Ustaz Fathurrahman yang juga ketua DTT menambah, Andalus dan syarikat-syarikat kerabatnya telah memperkenalkan pengajian secara dalam talian sepenuhnya dan juga secara hibrid, dengan objektif untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar di merata Singapura untuk mengikuti pengajian agama secara fleksibel bila-bila masa dan di mana sahaja.
Menerusi pengajian dalam talian, program yang ditawarkan disusun agar sesuai dengan keperluan pelajar yang bekerja dan mereka yang tidak dapat menghadiri pengajian secara fizikal atas pelbagai kekangan, jelas Ustaz Fathurrahman.
Katanya lagi, penyepaduan teknologi dalam pendidikan agama memberikan pengalaman pembelajaran lebih interaktif, melalui penggunaan video, animasi, elemen gamifikasi serta akses kendiri bagi pelajar.
Inisiatif ini juga membuka peluang pembelajaran di luar bilik darjah secara fleksibel, sejajar dengan jadual dan keperluan pelajar.
Bagi asatizah, penggunaan teknologi memudahkan mereka menyusun dan menyampaikan bahan pengajaran melalui platform Learning Management System (LMS). Platform LMS ini agak baru diperkenalkan dan akan ambil masa untuk lebih mantap.
Mereka juga dapat menyediakan latihan berstruktur, memupuk pembelajaran teman sebaya (peer learning), serta membina komuniti pengamal mantap bagi meningkatkan kompetensi dalam aspek teknologi dan digital.
Di samping itu, inisiatif ini melonjakkan inovasi dalam pendekatan instruksional dan pedagogi, serta memperkukuh penilaian tahap pembelajaran secara lebih sistematik. Secara tidak langsung, ia juga membantu mengurangkan beban tugas pentadbiran, sekali gus membolehkan asatizah memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek lebih utama, iaitu pendidikan.
Mengulas tentang potensi memanfaatkan alat digital dalam pendidikan Islam, Ustaz Fathurrahman berkata:
“Inisiatif ini diharap membolehkan pembelajaran tanpa sempadan, di mana pelajar dapat menimba ilmu agama dengan lebih mudah dan fleksibel. Ia juga menawarkan kandungan yang dipersonalisasikan, membolehkan pelajar belajar mengikut tahap dan keperluan masing-masing, dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).”
Justeru, Ustaz Fathurrahman menjelaskan bahawa dalam Islam, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR) adalah diharuskan selagi ia bertujuan membawa kebaikan dan tidak melanggar panduan ugama.
“Ketika memanfaatkan teknologi dalam pendidikan, prinsip Maqasid al-Syariah dijadikan panduan, di mana teknologi boleh digunakan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Etika Islam juga perlu dijaga dengan sebaiknya seperti memelihara tanggungjawab moral dan sosial, menjaga hubungan sesama manusia, serta memastikan keselamatan dan perlindungan data peribadi,” jelas Ustaz Fathurrahman.
Perubahan dan peningkatan secara berfasa ke arah transformasi digital ini dilihat sebagai pelaburan penting yang akan membawa manfaat besar kepada pertubuhan walaupun kos pembangunan perisian dan prasarana IT sangat tinggi.
Andalus turut memanfaatkan pengalaman dan kemahiran yang diperolehi melalui pentauliahan Business Excellence dan Singapore Quality Class (BE, SQC) sejak 2015 dan diperbaharui pada 2018 ke arah memastikan transformasi ini berjalan lancar dan berkesan.
(side box)
Tentang Andalus
Pusat pendidikan Islam Andalus menawarkan rangkaian program pendidikan komprehensif merangkumi peringkat nurseri (Kelas Bimbingan Nurseri), pratadika (Kelas Bimbingan Prasekolah), darjah rendah (Kelas Bimbingan Kanak-Kanak), menengah (Kelas Bimbingan Menengah), belia (Kelas Bimbingan Remaja) serta pelbagai program dewasa (Kelas Bimbingan Dewasa, Pra-Diploma dalam Pengajian Islam, Diploma dalam Pengajian Islam, Diploma Lanjutan dalam Pengajian Islam dan Sijil dalam Bahasa Arab).
Ia turut menawarkan program intensif Al-Quran (Program Quran Bersepadu, Klinik Quran, dan Program Quran Dewasa) serta pengajian fleksibel melalui pelbagai program dalam talian.
(insert liner)
Pendaftaran 2026 untuk Andalus sudah dibuka, sila lungsuri lelaman www.andalus.com.sg untuk maklumat lanjut dan mendaftar. Pendaftaran juga sudah dibuka untuk Cordova di www.cordova.com.sg dan untuk Al-Zuhri di www.zuhri.com.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg