Yang seorang pelajar cemerlang bukan dari segi ilmiah sahaja, bahkan keyakinan dan pembentukan diri. Seorang lagi pelajar yang berusaha mencapai kecemerlangan dengan bimbingan asatizah di samping mengamalkan nilai-nilai akhlak yang dipelajarinya.
Kededuanya pelajar di pusat pendidikan Islam Cordova.
Pelajar cemerlang itu, Cik Iffah Syafiqah Abdul Razak, yang belajar pada peringkat Kelas Bimbingan Menengah 3 (KBM3), menerima anugerah tempat pertama bagi kohort cawangan Cordova Hougang berturut-turut dari 2018 hingga 2025, serta tersenarai sebagai antara tiga pelajar terbaik bagi kohort Lembaga Penilaian dan Peperiksaan Islam (LPPI) di keseluruhan Cordova.
Di samping itu, Cik Iffah, 16 tahun, mendapat kesempatan membuat penyampaian mengenai tokoh-tokoh Islam di sebuah Majlis Haflah, yang mengajarnya menyampaikan ilmu dengan lebih berani, tersusun dan yakin di hadapan orang ramai.
Peluang itu, menurut Cik Iffah, membuatnya lebih berani bersuara dan berkongsi pandangan secara matang.
Kecemerlangan Cik Iffah antaranya adalah hasil pendekatan kurikulum Cordova yang menyeluruh dengan pengetahuan, pembangunan sahsiah (peribadi) dan bimbingan.
“Saya rasa Cordova menyediakan persekitaran selamat dan menyokong saya mendalami agama secara berperingkat, sambil membentuk keyakinan dan disiplin diri. Ia membolehkan saya sedar bahawa pembelajaran agama merupakan sesuatu yang dekat dengan kehidupan dan mudah diamalkan setiap hari,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.
Tiga adiknya juga belajar di Cordova pada peringkat Kelas Bimbingan Kanak-Kanak 4 dan 2 (KBK4 dan KBK2) serta Kelas Bimbingan Prasekolah 1 (KBPS1).
Cik Iffah menambah bahawa kurikulum tahunan Cordova yang jelas dan berstruktur banyak membantu membentuk cara beliau berfikir dan berkelakuan. Setiap topik tidak fokus pada hukum sahaja, tetapi juga cara nilai seperti amanah, sabar dan ihsan boleh diamalkan dalam situasi sebenar.
Justeru, sejak belajar di Cordova, beliau lebih sedar tentang kepentingan adab. Perkara asas seperti memberi salam, bercakap lembut kepada ibu bapa, dan mengurus masa dengan baik menjadi lebih konsisten dalam rutinnya.
Mengulas tentang asatizah di Cordova pula, Cik Iffah berkata:
“Mereka menjadikan pembelajaran menarik kerana mereka mengajar dengan cara yang relevan dan mudah dikaitkan dengan kehidupan remaja. Mereka bukan hanya bersyarah, tetapi sentiasa memberi contoh yang dekat dengan pengalaman kami, jadi setiap pelajaran terasa bermakna.”
Katanya lagi, melalui kerja berkumpulan Projek Buzz, asatizah juga memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan nilai kepimpinan, disiplin dan kerjasama secara praktikal.
“Gabungan pendekatan ini menjadikan suasana kelas dinamik, seimbang antara teori dan amalan, dan benar-benar menggalak pembelajaran secara aktif,” kata Cik Iffah.
Memberi contoh tentang pendekatan pembelajaran secara aktif di dalam kelas, seorang lagi pelajar Cordova, Auni Mardhiah Noor Sharif, 13 tahun, yang belajar pada peringkat Kelas Bimbingan Kanak-Kanak 6 (KBK6), berkata pelajar berpeluang bermain kuiz menerusi wadah digital seperti Kahoot! di dalam kelas supaya pembelajaran agama lebih menarik dan interaktif.
Auni Mardhiah, yang menduduki peperiksaan LPPI pada 2025, turut berkongsi bahawa asatizahnya meluangkan masa untuk mengadakan kelas tambahan bagi membantu pelajar membuat persiapan peperiksaan tersebut.
Menurutnya, kelas tambahan itu memberi tumpuan kepada pembelajaran subjek Jawi dan Arab, yang diadakan pada Ahad secara fizikal atau melalui wadah dalam talian Zoom.
Selain itu, asatizahnya memberi nota untuk semua subjek yang dipelajari.
“Nota tersebut banyak membantu saya kerana ia boleh dibawa ke mana-mana dan senang untuk saya mengulang kaji. Ia membuatkan saya lebih memahami dan ingat perkataan-perkataan, surah-surah pendek dan doa yang perlu difahami dan dihafal,” kata Auni Mardhiah, yang juga anak sulung daripada empat adik-beradik.
Tiga adiknya turut belajar di Cordova, pada peringkat Kelas Bimbingan Kanak-Kanak 5 dan 4 (KBK5 dan KBK4) serta Kelas Bimbingan Prasekolah 2 (KBPS2), manakala ibunya, Cik Siti Mardiana Mohamed Amin merupakan pelajar di Kelas Bimbingan Dewasa (KBD).
Auni Mardhiah menambah bahawa beliau juga boleh bertanyakan soalan kepada asatizahnya melalui wadah WhatsApp jika terdapat sembarang soalan dan asatizahnya akan menjawab walaupun sibuk.
Usaha asatizah dalam membantu pelajar membuat persiapan LPPI memberi Auni Mardhiah semangat untuk melakukan yang terbaik bagi peperiksaannya.
Justeru, beliau juga berusaha menjawab kertas-kertas ujian LPPI tahun-tahun lalu yang boleh didapati menerusi portal pelajar Cordova dan merujuk kepada tugasan E-Pendidikan semasa mengulang kaji subjeknya.
Selain itu, Auni Mardhiah mendapati pembelajaran di Cordova menarik kerana asatizah selalu bercerita tentang pengalaman mereka atau berkongsi tentang zaman sekarang dan dahulu apabila berbicara tentang sesuatu topik.
“Sebagai contoh, semasa subjek akhlak, Ustazah menerangkan bagaimana merokok boleh menjejas iman dan fokus kita terhadap ibadah. Ustazah juga selalu berpesan supaya selalu menjaga kelakuan dan adab kita di mana-mana kita berada supaya kita tidak membuat dosa.
“Beliau juga pesan bila kita buat sesuatu, kita mesti ingat Allah kerana Allah nampak apa-apa saja dan bila kita buat sesuatu perkara, kita mesti buat kerana Allah taala,” kata Auni Mardhiah.
Bagi mendidik pelajar memahami ilmu ugama, dua guru kanan Cordova, Ustazah Hairani Md Ludin dan Ustazah Norshahidah Mohamed Ekbal Shah, mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan harian mereka.
“Dengan itu, pelajar tidak berasa asing dengan Islam dan dapat memahami bahawa Islam sebahagian daripada hidup mereka,” kata Ustazah Hairani, yang sudah berkhidmat sejak 2009.
Beliau mengajar peringkat Kelas Bimbingan Menengah (KBM) dan Kelas Bimbingan Dewasa (KBD).
Ustazah Norshahidah, yang berkhidmat sejak 2013 dan mengajar murid prasekolah serta Kelas Bimbingan Kanak-Kanak (KBK) satu hingga empat, berkata beliau sentiasa menghubungkaitkan pembelajaran dengan kehidupan harian murid. Misalnya, beliau menjadikan situasi atau masalah yang pelajar sering alami sebagai contoh dan berbincang bersama mereka tentang apa perlu dilakukan jika berhadapan situasi atau masalah itu.
“Dari situ saya dapat membimbing mereka tentang cara kita boleh respon terhadap situasi atau masalah tersebut,” kata Ustazah Norshahidah.
Bagi menyemai ilmu dan akhlak dalam diri pelajar demi membina insan contoh, Cordova mengadakan satu projek tahunan yang dipanggil Projek Pembangunan Sahsiah bagi semua peringkat, daripada prasekolah hingga menengah, menurut Ustazah Norshahidah.
Menerusi projek itu, pelajar antaranya digalak melakukan perbuatan baik kepada jiran atau ahli keluarga; memikirkan perkara tentang diri mereka yang mereka ingin perbaiki dalam sebulan; atau melakukan puasa sunat dan menghadiri kelas agama atau syarahan. Setiap usaha pelajar itu akan mendapat pengiktirafan.
“Oleh kerana saya mengajar peringkat prasekolah dan rendah, saya akan meraikan setiap kebaikan pelajar dengan memberi pujian, tidak kira baik percakapan, perbuatan atau penambahbaikan yang mereka lakukan dalam kelas. Sebagai guru, kita tidak boleh lokek pujian kepada pelajar kerana ia boleh memberi semangat kepada mereka,” kata Ustazah Norshahidah.
Ustazah Hairani pula selalu mengingatkan pelajar bahawa Islam adalah cara hidup yang sebenar.
“Jika kita menjadi Muslim yang baik, secara tidak langsung kita akan menjadi warga negara yang baik. Ini kerana dalam Islam banyak peraturan yang membawa kebaikan dan manfaat dalam kehidupan harian kita,” kata Ustazah Hairani.
Namun, daripada setakat bersyarah untuk menyebarkan manfaat Islam dalam kehidupan kita, Ustazah Hairani lebih cenderung menggunakan Alat Bantu Mengajar (ABM), yang boleh menarik minat pelajar dalam pembelajaran. Sebagai contoh, beliau menggunakan aplikasi digital seperti Tiktok dan wadah digital seperti Kahoots!, Quizizz dan Blooket untuk mengadakan kuiz agar pelajar tidak cepat bosan.
“Ia amat membantu saya menyampaikan pembelajaran agama secara santai tetapi mudah diserap pelajar, malah membantu mereka ingat dan mempraktikkan apa yang dipelajari di madrasah,” kata Ustazah Hairani.
Walaupun kadangkala bahasa menjadi salah satu cabaran – pembelajaran di Cordova dalam bahasa Melayu atau Arab sedangkan sebahagian besar pelajarnya dari sekolah sekular yang menggunakan bahasa Inggeris – ia tidak mematahkan semangat Ustazah Hairani untuk menyampaikan ilmu agama kepada mereka.
“Yang kerap saya lakukan ialah mengulang kalimah yang agak sukar dan memberi maksudnya, lalu meminta pelajar menggunakan kalimah itu dalam ayat atau dalam pertuturan harian. Misalnya, apabila belajar nombor dalam bahasa Arab, saya minta mereka sebut umur mereka atau tulis nombor telefon mereka dalam bahasa Arab. Apabila belajar tentang doa, saya buat kaitannya dengan bacaan dalam ibadah solat,” kata beliau.
Bagi membantu pelajar memahami agama Islam dengan lebih mendalam, beliau menggalak mereka mendalami bahasa Arab.
“Bahasa Arab ada pertalian sangat kuat dengan agama Islam. Misalnya, untuk memahami Al-Quran dan hadis, kita perlu faham bahasa Arab dengan baik, dan dengan ini kita dapat menghayati ibadah seperti solat dan faham maksud doa dalam bahasa arab,” katanya.
Ustazah Norshahidah yakin pelajar akan faham perkataan atau istilah baru jika ia kerap diulang dan pelajar kerap menggunakan perkataan itu, dalam bahasa Melayu mahupun Arab.
Pusat Pendidikan Cordova mengambil pendekatan yang menekankan keseimbangan antara tradisi dan realiti moden serta keperluan dunia dan akhirat.
Menurut Pengarah Eksekutif Cordova, Ustazah A’ishah Ismail, 49 tahun, kurikulum Cordova bukan berpaksikan sumber sahih – Al-Quran, sunnah dan turath ulama (warisan intelektual dan ilmu agama yang diwarisi daripada ulama) – sahaja, bahkan disusun mengikut keperluan pelajar Islam di Singapura, termasuk cabaran sosial dan keadaan semasa.
Ini menjadikan pelajar bukan tahu apa yang dipelajari sahaja, malah mengapa ia penting dalam kehidupan harian mereka.
Di samping itu, ia menekankan pembangunan sahsiah (peribadi), dan bukan penguasaan pengetahuan sahaja. Ini selaras dengan teras pendidikan Cordova yang memberi keutamaan terhadap pembinaan akhlak, dengan pelajar bukan setakat belajar ilmu, malah dibimbing untuk beradab, menghormati, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Selain itu, Cordova menerapkan kemahiran sosial, cara berkomunikasi dengan baik, sifat empati dan keyakinan diri.
“Dengan visi masyarakat berilmu dan beradab dan bermisi, menyemai ilmu dan adab dalam membina insan contoh, Cordova bermatlamat melahirkan pelajar beradab, berfikir, dan mencintai ilmu. Kami mahu pelajar Cordova bukan cemerlang di bilik darjah sahaja, bahkan menjadi Muslim yang membawa manfaat kepada keluarga, sekolah dan masyarakat,” kata Ustazah A’ishah.
Bagi mendekati dan menarik perhatian pelajar, asatizah Cordova menggunakan pendekatan pembelajaran aktif. Pelajar bukan hanya mendengar, tetapi juga terlibat secara langsung semasa melakukan kegiatan di dalam kelas, di mana mereka menjalankan aktiviti seperti perbincangan isu semasa, main peranan, melakukan kuiz interaktif, mempunyai aktiviti luar darjah dan pembelajaran berasaskan projek.
Asatizah juga sering membincangkan perkara yang dekat dengan kehidupan pelajar, seperti media sosial, rakan sebaya, adab digital, makanan halal, dan hubungan dalam masyarakat majmuk.
Dalam pada itu, Cordova memanfaatkan teknologi bagi menyokong gaya pembelajaran pelajar masa kini, kerana ia percaya teknologi digunakan bukan sekadar untuk menarik minat pelajar, tetapi juga memantapkan pemahaman dan menyokong pembelajaran melalui kaedah lebih visual, interaktif dan praktikal, jelas Ustazah A’ishah.
Pelajar menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) bagi memudahkan mereka mengakses tugasan, bahan pembelajaran dan aktiviti secara tersusun.
Kini, Cordova sedang dalam proses merancang dan memperkenal model pembelajaran hibrid, yang menggabungkan sesi fizikal dan sesi dalam talian. Ini memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk belajar mengikut kesesuaian masa dan komitmen mereka.
Mempunyai laluan pembelajaran bagi semua peringkat – prasekolah, kanak-kanak, remaja dan dewasa serta asas hingga diploma – Cordova menyediakan pembelajaran berfasa (spiral curriculum), relevan dan berstruktur di mana pelajar memahami agama secara beransur-ansur, disesuaikan mengikut umur dan perkembangan kognitif.
Tentang Cordova
Pusat Pendidikan Cordova diasaskan oleh beberapa pengarah dengan kerjasama Andalus pada Jun 1998. Mulai 1999, Pusat Pendidikan Cordova beroperasi sepenuhnya dengan sekitar 400 pelajar pada masa itu. Hari ini, Cordova mempunyai lapan cawangan dan lebih 4,000 pelajar.
Pendaftaran 2026 untuk Cordova sudah dibuka, sila lungsuri lelaman
www.cordova.com.sg untuk maklumat lanjut dan mendaftar.
Pendaftaran juga sudah dibuka bagi Andalus di
Selain itu, pendaftaran juga boleh dibuat di Al-Zuhri di www.zuhri.com.sg
Menerusi tayangan klip video dalam kelas pengajian Islam beliau, pelajar Andalus Muhammad Aidan Yusuf Mohammad Shah Ronny, 12 tahun, semakin tertarik mendalami kisah peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah dan tamadun Islam.
Minat itu bertambah apabila gurunya mengadakan kuiz interaktif, menjadikan pembelajaran sejarah Islam lebih menarik.
Hasil daripada sesi pembelajaran tersebut, pelajar Kelas Bimbingan Kanak-Kanak 5 (KBK5) itu terdorong mencari maklumat lanjut mengenai peristiwa tersebut, antaranya menerusi laman web dan laman video YouTube.
Selain itu, Muhammad Aidan Yusuf tertarik akan kandungan digital yang terdapat menerusi wadah dalam talian E-Pendidikan Andalus.
“Permainan yang ada dalam wadah E-Pendidikan Andalus mencabar minda. Sebagai contoh, kami akan menonton video pendek atau animasi sebelum menjawab soalan seperti jumlah rukun Islam dan apakah rukun-rukun tersebut,” kata Muhammad Aidan Yusuf.
Beliau mempunyai tiga adik-beradik yang turut menyertai program pendidikan Islam di Andalus – pada peringkat Diploma Pengajian Islam (DPI), Kelas Bimbingan Kanak-kanak 1 (KBK1) dan Kelas Bimbingan Nurseri (KBN).
Muhammad Aidan Yusuf adalah antara 14,000 pelajar Andalus yang meraih manfaat daripada usaha transformasi digital menyeluruh pusat pendidikan Islam itu.
Usaha transformasi digital Andalus bermula pada 2015 di bawah inisiatif awal yang dikenali sebagai Business and IT Transformation (BIT).
Terkini dan susulan dari transformasi digital itu, asatizah di Andalus mengambil beberapa inisiatif untuk menguasai platform digital lain seperti Kahoot, Quizizz, dan Learning Management System (LMS) Andalus. Mereka kini mengintegrasikan platform ini dalam perancangan pengajaran harian, kata seorang guru kanan Andalus, Ustaz Khaniful Irsyad, 42 tahun.
“Pada dasarnya, pengajaran di Andalus menggunakan kaedah dua hala dan penggunaan teknologi memberi peluang kepada kami untuk menghasilkan pengalaman pembelajaran lebih hidup dan menarik,” ujar Ustaz Khaniful.
Sebagai contoh, aktiviti kuiz interaktif melalui Kahoot, Quizizz serta Word Wall dapat membantu pelajar memahami konsep atau topik dengan lebih pantas berbanding sekadar bersyarah, selain menjadikan kelas lebih dinamik.
Bahan visual yang terdapat dalam slaid pengajaran dan video pendek membantu meningkatkan kefahaman dan mengekalkan fokus pelajar.
Selain itu, penggunaan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) Andalus membolehkan pelajar melakukan latihan kendiri untuk mengukuhkan kefahaman yang diperolehi semasa kelas dijalankan.
Katanya lagi, pendigitalan juga bukan hanya menjadikan hubungan antara guru dan pelajar lebih interaktif, malah sesama pelajar itu sendiri.
“Transformasi digital ini menjadikan pendekatan kami dalam pengajaran lebih sistematik dan responsif terhadap keperluan pembelajaran pelajar pada era moden kini,” kata beliau.
Ini terbukti melalui inisiatif Ustaz Khaniful yang meminta para pelajar menengahnya menghasilkan projek digital simulasi pelaksanaan umrah dengan memanfaatkan aplikasi penyuntingan video dan foto seperti CapCut.
“Walaupun topik ini bukan pengalaman yang biasa mereka lalui seperti solat atau puasa, hasil projek digital mereka luar biasa. Selain pelajar mampu menjelaskan topik berkenaan dengan baik melalui video yang mereka hasilkan, saya juga nampak kerjasama di antara mereka begitu rancak dan semakin mengeratkan hubungan sesama mereka,” kata Ustaz Khaniful.
Bagaimanapun, pelajar masih berpeluang mengikuti pembelajaran di luar darjah. Misalnya, pelajar Kelas Bimbingan Remaja (KBR) Andalus cawangan Teck Whye, Choa Chu Kang dan Bukit Batok Satu telah mempelajari topik tayamum di kawasan Limbang, Bukit Panjang, pada November.
Seorang lagi guru kanan Andalus, Ustazah Aida Adriana Sabarudin, 30 tahun, melahirkan pendapat bagaimana pendigitalan membantu memelihara hubungan baik antara asatizah, pelajar dan waris melalui komunikasi lebih cepat, mudah dan interaktif.
“Asatizah boleh berkongsi tugasan, penilaian pelajar, maklum balas dan video pembelajaran melalui platform digital, manakala waris dapat memantau perkembangan anak mereka secara lebih dekat,” jelas Ustazah Aida.
Katanya lagi, secara umum, waris memberikan maklum balas positif terhadap penggunaan teknologi dalam pembelajaran agama. Ada juga yang menyatakan bahawa bahan multimedia seperti animasi, rakaman bacaan dan kuiz interaktif menjadikan pelajaran lebih menarik dan memudahkan anak mereka memahami sesuatu topik.
Selain itu, dengan sokongan dan kerjasama daripada waris pelajar, Andalus berjaya melaksanakan pengajian dalam talian melalui platform Zoom, termasuk bagi peringkat prasekolah. Inisiatif ini bertujuan mempelbagai kaedah pengajaran, jelas Ustaz Khaniful.
“Kerjasama dalam penggunaan kemudahan seperti aplikasi Zoom turut mendapat sambutan positif daripada pelajar dewasa dalam program-program Al-Quran. Mereka berpeluang terus belajar sepanjang hayat tanpa halangan usia atau kekangan fizikal,” ujar beliau.
Bagi memperkasa asatizah dengan pengetahuan berteras teknologi, mereka perlu menjalani latihan digital bagi membantu mereka menyediakan bahan multimedia dan berkomunikasi lebih efektif dengan pelajar serta waris, menurut Ustazah Aida.
“Dengan kemahiran ini juga, penyampaian menjadi lebih menarik, profesional dan relevan dengan dunia pelajar hari ini. Tanpa latihan, potensi transformasi digital tidak mungkin tercapai sepenuhnya,” tambah beliau.
Sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang sentiasa berpandangan jauh, Andalus membuktikan bahawa pendidikan tradisional boleh digabungkan dengan teknologi terkini secara harmoni.
“Masyarakat Islam dapat mengimbangi teknologi dan nilai-nilai tradisional dengan menggunakan teknologi secara beretika, memilih kandungan sahih, serta menerapkan adab dan prinsip Islam dalam setiap aspek penggunaannya. Teknologi seharusnya menjadi alat untuk memajukan ummah, sementara nilai-nilai Islam terus menjadi panduan dalam cara kita berinteraksi dan menuntut ilmu,” kata Ustazah Aida.
Ke arah memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan Islam dinamik, Andalus terus berusaha gigih menyiapkan Pelan Induk (Blueprint) Transformasi Digital menyeluruh bagi tempoh 2025 hingga 2030.
Usaha ini bukan sekadar memastikan pendidikan agama kekal relevan, malah memenuhi keperluan asatizah dan pelajar dalam dunia yang semakin berkembang pesat dan mencabar.
Menurut Ustaz Fathurrahman Dawoed selaku Pengarah Eksekutif Divisyen Pendidikan Andalus, antara inisiatif yang dirancang ialah:
1. Pembangunan Bahan Digital Interaktif: Untuk peringkat prasekolah.
2. Pembangunan Aplikasi Pintar: Untuk kegunaan waris dan pelajar.
3. Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).
4. Menaik Taraf Sofwe: Kewangan, pengurusan dan pentadbiran.
5. Pengukuhan Sistem Sekuriti: Digital dan Siber.
6. Pelaksanaan Program Latihan Peningkatan Kemahiran: Untuk warga kerja.
Ini merupakan kesinambungan transformasi digital Andalus Corporation yang telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2015, melalui inisiatif awal yang dikenali sebagai Business and IT Transformation (BIT).
Selain Andalus, inisiatif transformasi digital ini juga melibatkan syarikat kerabat, iaitu Pusat Pendidikan Cordova, Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri serta syarikat penerbitan Darul Andalus.
Andalus dan syarikat-syarikat kerabatnya telah memperkenalkan pengajian dalam talian sepenuhnya dan juga secara hibrid, dengan matlamat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar di Singapura mahupun di luar negara untuk mengikuti pengajian agama secara fleksibel bila-bila masa dan di mana sahaja.
Sebuah pasukan petugas merentasi empat syarikat iaitu Digital Transformation Taskforce (DTT) telah dibentuk sejak awal tahun 2025, melibatkan beberapa pegawai kanan syarikat-syarikat berkenaan. Beberapa penasihat pakar bersekutu atau Associate Subject Matter Experts (ASME) juga dilibatkan secara aktif.
Ustaz Fathurrahman yang juga ketua DTT menambah, Andalus dan syarikat-syarikat kerabatnya telah memperkenalkan pengajian secara dalam talian sepenuhnya dan juga secara hibrid, dengan objektif untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar di merata Singapura untuk mengikuti pengajian agama secara fleksibel bila-bila masa dan di mana sahaja.
Menerusi pengajian dalam talian, program yang ditawarkan disusun agar sesuai dengan keperluan pelajar yang bekerja dan mereka yang tidak dapat menghadiri pengajian secara fizikal atas pelbagai kekangan, jelas Ustaz Fathurrahman.
Katanya lagi, penyepaduan teknologi dalam pendidikan agama memberikan pengalaman pembelajaran lebih interaktif, melalui penggunaan video, animasi, elemen gamifikasi serta akses kendiri bagi pelajar.
Inisiatif ini juga membuka peluang pembelajaran di luar bilik darjah secara fleksibel, sejajar dengan jadual dan keperluan pelajar.
Bagi asatizah, penggunaan teknologi memudahkan mereka menyusun dan menyampaikan bahan pengajaran melalui platform Learning Management System (LMS). Platform LMS ini agak baru diperkenalkan dan akan ambil masa untuk lebih mantap.
Mereka juga dapat menyediakan latihan berstruktur, memupuk pembelajaran teman sebaya (peer learning), serta membina komuniti pengamal mantap bagi meningkatkan kompetensi dalam aspek teknologi dan digital.
Di samping itu, inisiatif ini melonjakkan inovasi dalam pendekatan instruksional dan pedagogi, serta memperkukuh penilaian tahap pembelajaran secara lebih sistematik. Secara tidak langsung, ia juga membantu mengurangkan beban tugas pentadbiran, sekali gus membolehkan asatizah memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek lebih utama, iaitu pendidikan.
Mengulas tentang potensi memanfaatkan alat digital dalam pendidikan Islam, Ustaz Fathurrahman berkata:
“Inisiatif ini diharap membolehkan pembelajaran tanpa sempadan, di mana pelajar dapat menimba ilmu agama dengan lebih mudah dan fleksibel. Ia juga menawarkan kandungan yang dipersonalisasikan, membolehkan pelajar belajar mengikut tahap dan keperluan masing-masing, dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).”
Justeru, Ustaz Fathurrahman menjelaskan bahawa dalam Islam, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR) adalah diharuskan selagi ia bertujuan membawa kebaikan dan tidak melanggar panduan ugama.
“Ketika memanfaatkan teknologi dalam pendidikan, prinsip Maqasid al-Syariah dijadikan panduan, di mana teknologi boleh digunakan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Etika Islam juga perlu dijaga dengan sebaiknya seperti memelihara tanggungjawab moral dan sosial, menjaga hubungan sesama manusia, serta memastikan keselamatan dan perlindungan data peribadi,” jelas Ustaz Fathurrahman.
Perubahan dan peningkatan secara berfasa ke arah transformasi digital ini dilihat sebagai pelaburan penting yang akan membawa manfaat besar kepada pertubuhan walaupun kos pembangunan perisian dan prasarana IT sangat tinggi.
Andalus turut memanfaatkan pengalaman dan kemahiran yang diperolehi melalui pentauliahan Business Excellence dan Singapore Quality Class (BE, SQC) sejak 2015 dan diperbaharui pada 2018 ke arah memastikan transformasi ini berjalan lancar dan berkesan.
Tentang Andalus
Pusat pendidikan Islam Andalus menawarkan rangkaian program pendidikan komprehensif merangkumi peringkat nurseri (Kelas Bimbingan Nurseri), pratadika (Kelas Bimbingan Prasekolah), darjah rendah (Kelas Bimbingan Kanak-Kanak), menengah (Kelas Bimbingan Menengah), belia (Kelas Bimbingan Remaja) serta pelbagai program dewasa (Kelas Bimbingan Dewasa, Pra-Diploma dalam Pengajian Islam, Diploma dalam Pengajian Islam, Diploma Lanjutan dalam Pengajian Islam dan Sijil dalam Bahasa Arab).
Ia turut menawarkan program intensif Al-Quran (Program Quran Bersepadu, Klinik Quran, dan Program Quran Dewasa) serta pengajian fleksibel melalui pelbagai program dalam talian.
Pendaftaran 2026 untuk Andalus sudah dibuka, sila lungsuri laman www.andalus.com.sg untuk maklumat lanjut dan mendaftar.
Pendaftaran juga sudah dibuka untuk Cordova di www.cordova.com.sg
Selain itu, pendaftaran juga boleh dibuat di Al-Zuhri di www.zuhri.com.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg