Asatizah hari ini bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu agama, tetapi juga memainkan peranan penting sebagai pemacu perubahan sosial yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman, menekankan pentingnya kerjasama antara asatizah dengan karyawan daripada bidang lain seperti psikologi, kesihatan awam dan kerja sosial.
“Kerjasama bersama badan sosial lain penting kerana kita ingin kerahkan tenaga asatizah di setiap lapisan masyarakat, tidak kira latar belakang mereka,” kata Ustazah Nurdiana semasa ditemui di Muktamar Pergas di Hotel Village Changi pada 24 Mei 2025.
Beliau turut menjelaskan bagaimana inisiatif seperti Asatizah Professional and Volunteers Network (Rangkaian Karyawan dan Relawan Asatizah) yang bakal dilancarkan oleh Pergas bertujuan membimbing asatizah yang ingin menyumbang dalam bidang di luar sektor agama seperti bidang komunikasi, keusahawanan, kesihatan mental, keselamatan negara serta teknologi dan sains.
Ustazah Nurdiana turut menyentuh tentang program Ulum Ihsan yang dijalankan bersama Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA).
Dalam program ini, Pergas melatih dan menugaskan asatizah untuk menyokong masyarakat yang memerlukan, seperti belia berisiko dan golongan kurang upaya. Mereka juga diberikan bayaran bagi sumbangan dan khidmat mereka.
“Kerjasama seperti ini membolehkan kami padankan kepakaran asatizah dengan platform yang disediakan oleh agensi lain.
“Melalui kerjasama dan perkongsian sumber antara institusi seperti ini, kesan yang dihasilkan dapat digandakan kerana setiap pihak dapat menyumbang kepakaran dan kekuatan masing-masing,” kata beliau.
Bagi Ustazah Nurdiana, kerjasama antara asatizah dengan institusi sosial mampu mewujudkan suasana yang lebih inklusif dan menyokong, khususnya bagi golongan belia dan individu berkeperluan khas.
Bagi golongan berkeperluan khas, pendekatan seperti ini menjadikan pembelajaran agama lebih selesa dan sesuai dengan keadaan mereka.
Bagi belia pula, ia membantu membina kepercayaan agar mereka berasa mudah untuk mendekati asatizah sebagai tempat mendapatkan nasihat dan tidak hanya bergantung kepada media sosial.
Dalam jangka panjang, Ustazah Nurdiana percaya belia yang disokong sebegini akan membesar menjadi pemimpin yang yakin dan berwibawa — sama ada dalam bidang agama, sosial atau kepimpinan negara.
“Apabila usaha sebegini dijalankan, belia dan golongan berkeperluan khas akan merasa lebih disokong dan dihargai kerana keperluan mereka diambil kira secara menyeluruh,” tambah beliau.
Seramai 105 orang merangkumi pemimpin agama, asatizah dan pekerja sosial hadir di Muktamar Pergas 2025 itu.
Beberapa peserta turut berkongsi pandangan mereka tentang keperluan perubahan dalam pendekatan dakwah.
Antaranya ialah Ustazah Marhamah Senewi, 30 tahun, yang setuju bahawa muktamar ini penting dalam meningkatkan kesedaran bagi pemimpin agama untuk bersedia menangani isu trend perubahan keagamaan ini.
“Muktamar ini menyedarkan kita bahawa pemimpin agama perlu lebih yakin dan tangkas dalam membimbing masyarakat kerana isu yang dihadapi bergerak pantas.
“Jika kita lambat bertindak atau kurang yakin, ia boleh menjejas keyakinan masyarakat terhadap kita sebagai rujukan utama.
“Kita mahu mereka kembali kepada asatizah yang bertauliah, bukan bergantung kepada media sosial sahaja,” ujar Ustazah Marhamah.
Seorang lagi peserta ialah pengasas dan pengarah eksekutif badan tidak meraih keuntungan, Membina Community Ltd, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, 28 tahun.
Beliau, yang membantu belia berisiko dan keluarga kurang berkemampuan di Singapura, berkata Muktamar Pergas merupakan wadah penting untuk memperhalusi pendekatan dakwah kepada golongan terpinggir.
Menurut beliau, ramai daripada golongan ini tidak mempunyai akses kepada pendidikan agama, sama ada disebabkan latar belakang sosioekonomi, trauma kehidupan yang berkait rapat dengan pengalaman agama yang negatif, atau pandangan dunia yang berbeza.
“Ini satu permulaan yang baik kerana pendakwah masa kini perlu dilengkapi dengan kemahiran asas kerja sosial dan kaunseling agar mereka mampu mendampingi golongan ini dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berharap wacana seperti ini akan mendorong lebih ramai pemimpin agama menyedari bahawa masyarakat sedemikian turut memerlukan bimbingan rohani yang sesuai dengan keperluan mereka yang unik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg