Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergas gesa pendekatan agama lebih relevan untuk belia hari ini

Asatizah perlu melangkaui pendekatan tradisional, bijak sesuaikan diri dengan perubahan zaman
May 24, 2025 | 9:16 PM
Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, Pergas, Muktamar Pergas
Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, menekankan pentingnya mengubah pendekatan mengajar agama kepada golongan muda zaman sekarang semasa Muktamar Pergas yang diadakan di Hotel Village Changi pada 24 Mei. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Golongan asatizah di Singapura perlu memikirkan semula bagaimana mereka memahami dan menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat zaman sekarang di mana golongan muda mempersoal norma agama tradisional, kata Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.

Berucap di pembukaan Muktamar Pergas 2025 pada 24 Mei di Hotel Village Changi, beliau berkata:

“Kita hidup dalam zaman di mana agama sedang dibentuk semula, bukan hanya oleh ulama, tetapi dengan media sosial, keraguan dalam diri dan suara aktivisme.

“Kami prihatin terhadap soalan-soalan yang belia tanyakan, tentang peranan agama dalam masyarakat sekular dan apakah yang membentuk masa depan kita – bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk generasi seterusnya,” kata beliau.

Muktamar Pergas merupakan sidang perbincangan anjuran Pergas yang keempat sejak 2003, yang menumpukan kesinambungan usaha Pergas dalam menangani isu-isu sosial dan keagamaan yang memberi kesan kepada masyarakat Islam setempat.

Menukil data daripada Jabatan Statistik 2020, Ustaz Tarmizi berkata lebih 23 peratus belia di Singapura daripada pelbagai kaum yang berusia 18 hingga 24 tahun menyatakan mereka tidak mempunyai agama.

“Itu bukan hanya statistik, malah ia mencerminkan (bahawa) generasi (muda) mencari makna melebihi apa yang kita tawarkan secara tradisional,” kata Ustaz Tarmizi kepada sekitar 105 hadirin merangkumi asatizah, pemimpin masyarakat dan pekerja sosial di persidangan itu.

Ustaz Tarmizi turut menggariskan bahawa keagamaan merupakan kompas moral identiti Muslim Singapura di mana ia bantu membimbing nilai, keputusan, membentuk daya tahan dan memberi tujuan di tengah-tengah tekanan kehidupan moden.

“Hari ini, agama tidak lagi dianggap sebagai rangka moral yang utama secara automatik. Sebaliknya, pemikiran peribadi, suara hati dan kesejahteraan emosi kini menjadi tumpuan utama,” ujar Ustaz Tarmizi.

Beliau kemudian menjelaskan bagaimana media digital serta nilai sosial yang kian berubah turut membentuk kefahaman masyarakat terhadap agama – satu hakikat yang menurutnya tidak boleh diabaikan.

“Jika kita tidak faham apa yang mempengaruhi keagamaan orang ramai, kita mungkin akhirnya menjawab soalan tiada siapa yang bertanya, atau mengajar dengan cara yang tidak lagi sampai ke hati,” katanya.

Ustaz Tarmizi juga menekankan pentingnya bersedia menghadapi perubahan.

“Keagamaan bukan statik. Ia kerap berkembang. Justeru kita perlu bertanya bagaimana rupa agama dalam lima atau 10 tahun akan datang?

“Kita tidak boleh takut dengan soalan-soalan demikian. Sebaliknya, kita harus menyambutnya dengan terbuka,” katanya.

Beliau juga menyeru pemimpin dan institusi agama agar tidak melihat perubahan ini sebagai satu ancaman.

“Ini bukan ancaman. Ini adalah tanda. Dan tindak balas kita harus bersifat bijaksana, bukan beremosi,” jelas beliau.

Di samping itu, Ustaz Tarmizi juga menyentuh mengenai satu lagi cabaran dalam jurang masyarakat Islam iaitu sokongan agama terhadap golongan berkeperluan khas serta pengasuhnya.

Menurutnya, keluarga yang menghadapi penyakit jangka panjang, keadaan degeneratif, atau detik-detik terakhir kehidupan, masih belum ada sistem yang tersusun untuk menyediakan kaunseling agama, ketenangan rohani, atau sokongan emosi berkaitan kesedihan. 

“Ramai yang menderita dalam diam... Saya gembira berkongsi bahawa Pergas bersama beberapa rakan kongsi Melayu/Islam yang lain kini meneliti isu ini secara aktif. 

“Kepada setiap penjaga yang memikul beban yang tidak kelihatan, kami mengiktiraf anda. Kami dengar (rintihan) anda. Dan kami tekad untuk melakukan yang lebih baik,” kata Ustaz Tarmizi.

Selain itu, Pergas percaya bahawa masyarakat memerlukan pemimpin yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga bijaksana dan mampu memimpin dengan akal serta empati.

“Kita bukan sahaja perlukan suara yang lantang. Kita perlukan pandangan yang jauh ke hadapan.

“Pemimpin yang mampu menghadapi ketegangan dengan kebijaksanaan dan mengemudi kerumitan dengan kejelasan,” tambah Ustaz Tarmizi mengenai jenis kepimpinan yang ingin dipupuk oleh Pergas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg