Tujuan hidup manusia bukan sekadar tertumpu kepada ibadah khusus, malah turut merangkumi imarah - usaha menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat sekeliling.

Falsafah itu menjadi pegangan asatizah muda, Ustaz Ahmad Ariffin, 29 tahun dalam mengharungi kehidupan.

Pegangan tersebut mendorongnya membangunkan kerangka keimaman Islam (Islamic chaplaincy) bagi melengkapkan Pegawai Pembangunan Belia (YDO) masjid dengan pengetahuan serta kemahiran menyantuni kesejahteraan rohani, emosi dan sosial golongan muda.

“Persoalan utama yang perlu kita ajukan ialah sama ada golongan muda kita berasa disokong, difahami dan dilengkapi keupayaan mengharungi cabaran hidup, bukan sekadar mengukur kejayaan akademik dan pengetahuan agama mereka semata-mata,” ujar beliau semasa ditemui Berita Harian (BH).

Ustaz Ahmad yang kini bertugas sebagai Penolong Imam dan Penyelaras Madrasah di City Retreat, Leicester, United Kingdom, merupakan antara empat penerima sulung Biasiswa Rangkaian Profesional dan Sukarelawan Asatizah Pergas (APVN).

Biasiswa APVN yang diberikan buat julung kalinya tahun ini bertujuan menyokong asatizah melanjutkan pengajian pascasiswazah bagi melengkapi ilmu agama dengan kemahiran profesional.

Ustaz Ahmad kini melanjutkan pengajian pascasiswazah dalam bidang keimaman dan penjagaan pastoral di Universiti St Mary’s, Twickenham.

Menerusi kajiannya dalam bidang itu, beliau berharap dapat memperkukuh peranan masjid dalam menyediakan sokongan kepada golongan belia.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.
Antara bidang yang ingin diberi tumpuan oleh Ustaz Ahmad Ariffin dalam pengajian PhD beliau ialah memastikan golongan belia mendapat sokongan yang berteraskan ilmu Islam serta prinsip keimaman Islam yang tersusun.
Antara bidang yang ingin diberi tumpuan oleh Ustaz Ahmad Ariffin dalam pengajian PhD beliau ialah memastikan golongan belia mendapat sokongan yang berteraskan ilmu Islam serta prinsip keimaman Islam yang tersusun. - Foto ihsan AHMAD ARIFFIN

Biasiswa itu disampaikan kepada beliau semasa Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Pergas 2026 pada 28 November di PARADISE@PERGAS di Changi Road. Lapan asatizah lain turut menerima Biasiswa Pascasiswazah Pergas, yang telah menyokong lebih 70 asatizah sepanjang sedekad lalu.

Menurut Ustaz Ahmad, YDO di Singapura sering menjadi tempat rujukan yang dipercayai golongan muda untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan apabila berdepan cabaran peribadi, sosial dan emosi.

Namun, sebahagian besar usaha tersebut masih bergantung kepada pengalaman peribadi dan pendekatan tidak formal, memandangkan belum ada kerangka khusus bagi membimbing YDO dalam aspek penjagaan rohani serta pastoral.

Keperluan terhadap sistem yang lebih berstruktur itu mula disedari beliau ketika berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah dan YDO di Masjid Kassim dari 2023 hingga 2025.

Sepanjang tempoh itu, beliau mengendalikan program pembangunan belia serta memberikan sokongan kepada mereka yang berdepan pelbagai cabaran.

Ustaz Ahmad Ariffin mendampingi belia dalam satu sesi di masjid.
Ustaz Ahmad Ariffin mendampingi belia dalam satu sesi di masjid. - Foto ihsan AHMAD ARIFFIN

“Golongan belia yang saya temui sering meluahkan keperluan untuk mempunyai seseorang yang boleh dipercayai, sedia mendengar tanpa menghakimi, memahami kesukaran mereka dan membimbing mereka mengharungi cabaran tersebut,” kata beliau.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk mendalami bidang ini menerusi pengajian Sarjana dalam Penjagaan Pastoral di Institut Pendidikan Tinggi Markfield (Mihe) di United Kingdom.

Disertasi sarjananya meneliti penyediaan sokongan pastoral berteraskan agama di institusi pengajian tinggi di Singapura.

“Salah satu dapatan daripada maklum balas para pelajar ialah kurangnya sokongan berteraskan agama yang tersedia dalam persekitaran pendidikan mereka.

“Ini mengukuhkan minat saya untuk memahami bagaimana penjagaan rohani boleh disediakan dengan lebih mudah dan relevan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Pengalaman Ustaz Ahmad Ariffin mengendalikan program pembangunan belia dan memberikan sokongan kepada mereka yang berdepan pelbagai cabaran di Masjid Kassim pada 2023 hingga 2025 mendorong minatnya mendalami bidang penjagaan pastoral.
Pengalaman Ustaz Ahmad Ariffin mengendalikan program pembangunan belia dan memberikan sokongan kepada mereka yang berdepan pelbagai cabaran di Masjid Kassim pada 2023 hingga 2025 mendorong minatnya mendalami bidang penjagaan pastoral. - Foto ihsan AHMAD ARIFFIN

Khususnya dalam kalangan belia Melayu, gejala kemurungan teruk mencatatkan kadar tertinggi berbanding kaum lain pada paras 23.3 peratus, menurut Kajian Kesihatan Mental Belia Nasional oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) pada 2024.

Kajian yang melibatkan 2,600 responden berusia 15 hingga 35 tahun itu turut mendapati sekitar satu daripada tiga responden mengalami gejala kemurungan, keresahan atau tekanan pada tahap teruk atau amat teruk.

“Kesejahteraan belia perlu diberikan perhatian serius. Ia juga mendorong kita untuk menilai sama ada sokongan yang tersedia kepada golongan muda mengambil kira pelbagai aspek kehidupan mereka, termasuk keperluan rohani dan berteraskan kepercayaan agama,” katanya ketika mengulas dapatan itu.

Oleh itu, Ustaz Ahmad ingin meneliti bagaimana prinsip psikologi Islam dan penjagaan pastoral boleh diterapkan dalam struktur pembangunan belia sedia ada di masjid.

Disertasi sarjana Ustaz Ahmad Ariffin di Institute Pendidikan Tinggi Markfield (Mihe), United Kingdom, meneliti penyediaan sokongan pastoral berteraskan agama di institusi pengajian tinggi di Singapura.
Disertasi sarjana Ustaz Ahmad Ariffin di Institute Pendidikan Tinggi Markfield (Mihe), United Kingdom, meneliti penyediaan sokongan pastoral berteraskan agama di institusi pengajian tinggi di Singapura. - Foto ihsan AHMAD ARIFFIN

Penjagaan pastoral merangkumi kesediaan mendengar dengan penuh empati, memberikan bimbingan serta mendampingi individu ketika melalui masa sukar. Namun, pendekatan keimaman Islam itu diharap dapat melengkapi peranan YDO, dan bukan menggantikan khidmat profesional kesihatan mental.

“Sekiranya golongan muda memerlukan bantuan khusus, rujukan kepada pihak yang sesuai serta kerjasama dengan golongan profesional yang berkaitan tetap penting,” tegas beliau.

Bagi Ustaz Ahmad, usaha ini mencerminkan pemahaman lebih luas tentang peranan seorang asatizah, yang bukan sekadar menyampaikan ilmu agama, malah membantu individu mengharungi cabaran kehidupan.

Beliau berharap untuk merealisasikan konsep imarah - dengan menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang bukan sahaja membimbing golongan muda dalam agama, bahkan turut mendampingi dan menyokong mereka ketika berdepan kesukaran hidup.