Masih terdapat golongan lelaki, semasa menjalani sesi perundingan berkenaan isu keganasan dalam keluarga, mengaku atas nama agama bahawa mereka berhak berbuat demikian ke atas isteri dan anak-anak mereka.
Ini dirumitkan lagi dengan unsur “pendakwah media sosial” yang dikaitkan pelaku dengan ajaran di media sosial seperti TikTok dan Instagram, berhubung perbuatan mereka.
Demikian dikongsi beberapa asatizah mengenai cabaran dihadapi masyarakat Melayu/Islam dalam menangani isu keganasan dalam rumah tangga.
Menurut mereka, budaya ‘kelelakian toksik’ – dengan kaum lelaki berasa berhak melakukan apa saja yang diingini tanpa hambatan – masih wujud dalam masyarakat dan perlu dikekang bagi menangani isu keganasan dalam keluarga.
Beberapa pengamat berkata isu ‘geng’ lelaki toksik memburukkan keadaan ini sebab selain mencari penyelesaian yang seimbang dan mengimbangi hak wanita dan anak-anak, ia membesar-besarkan ‘kuasa’ lelaki seolah-olah mereka berhak melakukan apa sahaja ke atas anggota keluarga mereka. Jika anak dan isteri tidak mematuhi perintah mereka, golongan suami itu dianggap ‘lembut’.
“Contohnya, ada yang percaya bahawa kekuasaan atau dominasi dalam hubungan adalah tanda kekuatan atau pengaruh yang wajar,” kata Ustaz Ahmad Faritz Mohamed Hairudin, Pengurus Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Falah, yang sebelum ini adalah Ketua Bimbingan Agama dan Pembangunan Masyarakat di masjid itu.
Menurutnya, antara punca keganasan dalam keluarga masih berlaku adalah pembesaran di persekitaran dengan keganasan adalah perkara biasa atau dilihat sebagai cara menyelesaikan konflik, kekurangan kecerdasan emosi dan salah pemahaman terhadap ajaran agama.
Beliau berkata dari sisi Islam, seorang suami atau ayah berhak memimpin keluarga, tetapi hak ini datang dengan tanggungjawab menjaga, melindungi dan menyediakan keperluan keluarga.
“Jika seorang lelaki gagal memenuhi tanggungjawab ini atau menyalahgunakan kuasa mereka, maka ketaatan kepada mereka tidak lagi boleh dianggap sebagai kewajipan mutlak,” jelasnya.
Pengarah Pusat, Hab Perkahwinan AMP Singapura, Cik Zaleha Ahmad, yang antara lain mengendali kes-kes kekeluargaan, berkata ramai di kalangan masyarakat Melayu/Islam masih beranggapan perbuatan mengongsi isu rumah tangga kepada pihak luar sebagai tabu.
“Ramai daripada mereka terutama kaum lelaki percaya bahawa perbuatan ganas wajar dilakukan sebagai balasan terhadap tindakan yang membuat mereka marah.
“Mereka melihatnya sebagai satu cara menerapkan disiplin kerana pemahaman agama mereka yang terhad. Huraian bagi kes seperti ini memerlukan bimbingan berteras perspektif Islam daripada asatizah bertauliah,” kata beliau.
Naib Kadi dan juga Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi, pula berkata isu salah pemahaman dan budaya kelelakian toksik ini dirumitkan lagi dengan penyebaran kandungan berunsur agama pendakwah asing di media sosial.
Beliau berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membantu kaum lelaki serupa itu dalam menangani isu tersebut.
“Kita mahu memperkasa kaum lelaki agar terdorong untuk berubah. Mereka juga memerlukan bimbingan agama yang sewajarnya.
“Antara kes-kes melibatkan keganasan ini berlaku kerana kaum lelaki berasa mereka berhak dari sudut agama melakukan apa saja terhadap ahli keluarga mereka. Ini satu tanggapan yang salah.
“Sebaiknya kita wujudkan suatu usaha dengan matlamat holistik bagi membantu kaum lelaki lebih faham mengenai peranan mereka sebagai ketua keluarga, di samping membina persekitaran yang baik dengan isteri dan anak-anak mereka tidak takut pulang ‘sebab ayah ada’.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg