Kedua-dua sahabat akrab ini, Encik Muhammad Firdaus Zhairudin dan Encik Nizam Dardiri, membesar ‘di jalanan’ sejak usia belasan tahun dengan menyertai sebuah kongsi gelap,
Di bawah kepimpinan Encik Nizam, yang lebih dikenali sebagai ‘Dino’ dan bergelar Chong, atau ketua, zaman belia mereka dipenuhi pelbagai kegiatan sulit daripada perkara berkait dadah dan pergaduhan hingga beraneka perbuatan buruk lain.
Sementara Encik Nizam, 46 tahun, dikenakan satu hukuman berat sedekad lalu, Encik Firdaus, 36 tahun, dinasihatkan sahabatnya itu supaya berundur, atau ‘menggantung bajunya’ dan hidup seperti orang biasa-biasa.
Namun, hidup sebagai orang ‘biasa’ bagi Encik Firdaus selaku seorang suami dan ayah enam anak bukan perkara mudah.
Pernah beliau bergaduh dengan isterinya melibatkan keganasan teruk, hingga beliau menyesali perbuatannya itu.
“Kami bergaduh teruk pada waktu itu dan saya lihat diri saya ini pada ketika itu memang tak boleh dikawal lagilah. Saya mesti dapatkan bantuan,” kata Encik Firdaus.
Atas saranan seorang pekerja perkhidmatan sosial yang mengendali kesnya, Encik Firdaus menyertai sebuah program kendalian Thye Hua Kwan Moral Charities yang dipanggil Brotherhood pada 2019.
Program itu bermatlamat menawarkan bimbingan kepada lelaki yang melakukan keganasan dalam keluarga.
Antara lain, beliau menerima bantuan kaunseling dan dididik tentang cara menenangkan fikiran dan meredakan kemarahan ketika menghadapi masalah.
Pada 26 September, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) buat kali pertama mengeluarkan laporan ‘Trend Keganasan Domestik’ yang merekodkan bilangan kes penderaan terhadap ahli keluarga dari tahun ke tahun.
MSF berkata bilangan kes penderaan antara suami dengan isteri serta bilangan kanak-kanak yang mengalami penderaan pada peringkat sederhana kian meningkat.
Pada awal 2024, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, menggesa agar lebih perhatian dan bantuan turut diberi kepada pelaku keganasan dalam keluarga agar mereka dapat pulih sepenuhnya.
Ketua pekerja perkhidmatan sosial, program Brotherhood, Encik Ben Ang, berkata semakin ramai orang lelaki tampil menyertai program itu setelah mendapat tahu daripada teman mereka akan kewujudan program itu, yang disediakan khusus bagi kaum Adam.
“Kami mahu sediakan wadah yang memberi pelaku keganasan domestik ruang selamat dan tidak menghukum, supaya dengan persahabatan dan kepercayaan yang dibina antara peserta, mereka menjadi contoh teladan kepada satu sama lain untuk mengubah diri masing-masing,” katanya.
Encik Firdaus, yang menyertai kumpulan pertama program Brotherhood pada 2019, masih aktif dalam kumpulan tersebut.
Malah sepanjang hukuman panjang teman baiknya Encik Dino duduk di balik jeriji, Encik Firdaus tidak berputus asa mempengaruhinya menggantung baju juga.
Apabila beliau dibebaskan pada 2023, Encik Dino akhirnya tergerak hati menyertai Brotherhood.
Encik Firdaus berkata: “Baju (kongsi gelap) pun tak macam begini. Dalam Brotherhood (kongsi gelap) dahulu , kalau ada masalah, kita tak kan nak kongsi emosi. Macam kental.
“Sebab Gangster mesti garang. Kalau iya pun kita kongsi, mereka akan burukkan lagi keadaan, mungkin ajak lakukan perbuatan tak berapa baik, atau pun mereka kata saya lembik, perlu berkeras lagi.
“Brotherhood (THKMC) ini lain. Bila kami buat salah kami tahu kami salah tapi tak ada sesiapa yang menghukum sebab kami bantu satu sama lain,” kata Encik Firdaus.
Encik Dino ketika diwawancara pula berkata beliau memutuskan untuk berubah demi menjalin semula hubungan bersama ayah dan adik-beradiknya serta sudah tidak percaya terhadap ‘janji-janji palsu’ kongsi gelap.
Menerusi Brotherhood juga, beliau menerima peluang untuk menyertai kursus menyampaikan ucapan kepada orang umum, dan mahu mendidik remaja di institut pendidikan lanjut supaya mengelakkan diri daripada menyertai kongsi gelap.
“Nama saya Nizam. Dino dah mati,” katanya lagi merujuk kepada niatnya untuk tidak lagi meneruskan hidup dalam kongsi gelap.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg