Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsean kekal komited perkukuh kerjasama pelbagai hala di tengah perpecahan global
Asean kekal komited perkukuh kerjasama pelbagai hala di tengah perpecahan global
Di sebalik perpecahan global yang semakin meruncing sehingga menyukarkan kerjasama antarabangsa, Asean kekal komited memperkukuh kerjasama pelbagai hala serta mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyatnya mengecapi kemakmuran, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bagi blok serantau itu, penyelesaian terhadap cabaran semasa adalah dengan memperkukuh kerjasama pelbagai hala serta menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata beliau ketika berucap di Sidang Kemuncak Asean-PBB ke-16 di Manila, Filipina pada 16 November.
“Secara paradoksnya, pada saat dunia amat memerlukan lebih banyak kerjasama antarabangsa, negara-negara kini semakin sukar mencari titik persamaan dan bertindak bersama.
“Bagi Asean, jawapannya bukanlah untuk berpaling daripada kerjasama pelbagai hala, tetapi untuk memperkukuhnya dan mengukuhkan lagi usaha PBB,” kata beliau.
Sidang tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres. Ini merupakan sidang yang terakhir bagi Encik Guterres selaku Setiausaha Agung PBB sebelum beliau mengundurkan diri daripada jawatan itu pada hujung tahun.
Mengimbas kembali kata-kata Encik Guterres di sidang kemuncaknya yang pertama pada 2017 di mana beliau menyeru agar dilakukan satu “anjakan besar” dalam kerjasama Asean-UN, Encik Wong berkata Asean telah memberi respons dengan memperdalam kerjasama tersebut.
Bahkan, baru-baru ini, Asean dan PBB telah memperdalam kerjasama menerusi pengesahan Inisiatif Kesalinglengkapan 2.0 serta penerimaan Pelan Tindakan Asean-PBB (2026–2030).
Bagi meneruskan kemajuan yang telah dibina, Encik Wong mencadangkan tiga langkah utama.
Yang pertama adalah dengan menegakkan undang-undang antarabangsa secara lisan dan perbuatan.
Menurut Encik Wong, walaupun negara anggota Asean mempunyai kepentingan dan pandangan nasional yang berbeza, kesemuanya berkongsi komitmen terhadap Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa yang menyokong keamanan dan kestabilan serantau.
“Itu sebabnya mengapa Asean mengambil pendirian tegas berhubung isu Selat Hormuz, yang mengesahkan bahawa laluan transit menerusi selat yang digunakan bagi pelayaran antarabangsa adalah satu hak, dan bukannya keistimewaan yang boleh dikenakan tol.
“Menegakkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) adalah soal prinsip, dan juga demi kepentingan bersama kita,” kata beliau.
Dalam semangat menyokong kedaulatan undang-undang itu, Encik Wong melahirkan penghargaan kepada negara anggota Asean atas sokongan terhadap pencalonan Duta Singapura, Cik Rena Lee, yang berjaya dipilih sebagai Hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Yang kedua pula adalah dengan membuktikan bahawa kerjasama pelbagai hala mampu membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat.
Encik Wong berkata agenda pembangunan Asean adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB, dan kedua-dua pihak itu harus menggabungkan kepakaran dan rangkaian global PBB dengan keupayaan Asean menterjemahkan komitmen antarabangsa menjadi kerjasama praktikal yang memenuhi keperluan rantau ini.
Ketiga, Encik Wong berkata perlu ada usaha untuk membentuk masa depan digital yang inklusif, selamat dan dipercayai.
Beliau mengalu-alukan Mekanisme Global Mengenai Keselamatan Teknologi Infokom (ICT) yang baharu, hasil daripada Kumpulan Kerja Terbuka Mengenai Keselamatan ICT yang dipengerusikan Singapura.
Tambah beliau, PBB juga boleh menyokong usaha Asean untuk merapatkan jurang digital serta menggalak penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab menerusi Kompak Digital Global dan Dialog Global Mengenai Tadbir Urus AI.
Dalam pada itu, Encik Wong turut merakamkan penghargaan kepada Encik Guterres yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean-PBB buat kali terakhir.
“Tuan Setiausaha Agung, anda telah menunjukkan keteguhan dalam mengejar matlamat-matlamat ini.
“Memandangkan ini merupakan Sidang Kemuncak Asean-PBB terakhir buat anda, izinkan saya sekali lagi menyertai rakan-rakan pemimpin Asean yang lain untuk merakamkan ucapan terima kasih atas kepimpinan, persahabatan serta komitmen peribadi anda terhadap kerjasama kita,” kata beliau.