Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggesa negara anggota Asean supaya meratifikasikan perjanjian jaminan petroleum untuk memperkukuh daya tahan tenaga blok tersebut menghadapi kejutan luaran.

Ini juga terutamanya sedang ekonomi Asean kian pesat mendakap teknologi dan industri yang berkaitan dengannya dan memerlukan lebih banyak tenaga, kata beliau ketika berucap pada hari pertama Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina, pada 15 November.

“Apabila ekonomi kita mendakap teknologi, teknologi digital baharu dan kecerdasan buatan (AI), ekonomi kita juga akan memerlukan lebih banyak tenaga dan kuasa elektrik kerana industri-industri ini sememangnya menggunakan jauh lebih banyak tenaga.

“Justeru, kita juga perlu memperkukuh daya tahan tenaga kita, dan gangguan di Timur Tengah baru-baru ini seterusnya menekankan betapa pentingnya keselamatan tenaga.

“Oleh itu, kita perlu memperkukuh keupayaan untuk bertindak balas secara kolektif,” kata beliau, yang akur negara rantau ini juga sedang beralih ke sumber tenaga lebih hijau.

Beberapa negara di rantau ini antara yang paling teruk terjejas oleh krisis tenaga global yang dicetuskan oleh konflik di Timur Tengah dan perang yang berterusan di Ukraine.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Timur Tengah menyumbang 60 peratus daripada import minyak mentah di rantau ini, dan hampir separuh daripada produk minyak yang ditapis atau digunakan di Asia Tenggara berasal daripada minyak mentah Timur Tengah.

Perjanjian Jaminan Petroleum Asean (APSA) diratifikasi semua 10 anggota Asean pada 2009 – kecuali anggota terbaru Timor-Leste – dan antaranya mewujudkan rangka kerja perkongsian bahan api, pertukaran maklumat dan bantuan semasa krisis bekalan bahan api.

Ia diperbaharui pada Oktober 2025 untuk menyertakan gas asli dalam senarai bahan api dan pembaharuan ini memerlukan ratifikasi yang diperbaharui. Menurut maklumat di laman web Asean, hanya lima daripada 11 negara Asean telah meratifikasi APSA, iaitu Kemboja, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Dalam ucapannya, Encik Wong turut menggesa agar pembangunan Grid Kuasa Asean, yang menghubungkan rangkaian elektrik nasional negara-negara Asia Tenggara, diutamakan.

Para pemimpin Asean terdiri daripada (dari kiri) Ketua Pengarah Jabatan Ehwal Asean Myanmar, Encik Han Win Aung; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul; Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao; Perdana Menteri Vietnam, Encik Le Minh Hung; Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr; Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto; Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hangchuon Naron; dan Perdana Menteri Laos, Encik Saleumxay Kommasith, bergambar di majlis perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina pada 15 November.
Para pemimpin Asean terdiri daripada (dari kiri) Ketua Pengarah Jabatan Ehwal Asean Myanmar, Encik Han Win Aung; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul; Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao; Perdana Menteri Vietnam, Encik Le Minh Hung; Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr; Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto; Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hangchuon Naron; dan Perdana Menteri Laos, Encik Saleumxay Kommasith, bergambar di majlis perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina pada 15 November. - Foto EPA

Usaha memperkukuh daya tahan tenaga bersama itu merupakan antara tiga tonggak utama kerjasama praktikal yang ditekankan Encik Wong dalam ucapan sulung di Sidang Kemuncak Asean itu yang diadakan kurang dua bulan sebelum Singapura mengambil alih jawatan pengerusi Asean mulai 2027.

Selain itu, Encik Wong menekankan kerjasama diperdalam bagi ekonomi digital susulan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) pada 14 November dan memperluaskan rangkaian rakan di luar Asean.

DEFA – perjanjian yang dimuktamadkan selepas rundingan tiga tahun – dijangka menggandakan ekonomi digital rantau ini daripada AS$1 trilion ($1.29 trilion) kepada AS$2 trilion menjelang 2030.

Encik Wong berkata kerjasama dalam ekonomi digital harus diperdalam, dengan melancarkan pembayaran rentas sempadan di rantau ini diutamakan.

Buat masa ini, sistem pembayaran rentas sempadan telah dilaksanakan antara Singapura dengan Malaysia, dan Singapura dengan Thailand.

“Namun, kita boleh menjadikan ia sebuah rangkaian serantau bagi sistem pembayaran elektronik rentas sempadan yang lancar, yang akan memudahkan dan mengurangkan kos bagi perniagaan dan rakyat kita berurus niaga antara satu sama lain, termasuk pelancong serta mereka yang mengirimkan wang pulang ke tanah air,” kata beliau.

Kuasa AI juga harus dimanfaatkan untuk mengubah ekonomi, kata Encik Wong, dengan cara memperluaskan akses kepada alat dan keupayaan AI untuk mendorong pertumbuhan dan meningkatkan produktiviti.

Ekonomi Asean telah tumbuh pada sekitar 4 hingga 5 peratus setiap tahun sejak beberapa tahun lalu, tetapi rantau ini mempunyai potensi untuk berkembang lebih besar dan lebih cepat, kata beliau.

Encik Wong menggesa rantau ini bersama membina ekonomi digital berdaya tahan yang disokong usaha terselaras untuk menangani ancaman siber dan penipuan dalam talian.

Sehubungan itu, beliau memuji Filipina kerana menerajui Pernyataan Pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai pengukuhan kerjasama dalam menangani penipuan dalam talian serta kesalahan berkaitan.

Mengenai hubungan luar pula, Encik Wong berkata Asean harus terus menolak persaingan yang hanya menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak lain. Asean harus menjalin hubungan dengan semua kuasa besar dan memastikan mereka mempunyai kepentingan dalam rantau yang aman, terbuka dan inklusif, tambahnya.

“Asean pernah mengharungi gelora yang sukar selama berdekad-dekad sebelum ini, dan setiap kali itu kita sentiasa berjaya kekal pada haluan serta terus mara ke hadapan.

“Melangkah ke hadapan, kita boleh menjangkakan lebih banyak pergolakan dan badai, namun selagi kita kekal padu dan bersatu, saya yakin kita dapat terus mengemudi haluan ke hadapan dan bangkit dengan lebih kukuh,” kata beliau.

Hari pertama Sidang Kemuncak Asean ke-49 menyaksikan majlis perasmian yang dihadiri kesemua 11 pemimpin anggota negara Asean, termasuk Singapura; Filipina; Malaysia; Brunei Darussalam, Kemboja; Indonesia; Laos; Myanmar (diwakili Ketua Pengarah Jabatan Ehwal Asean di bawah Kementerian Ehwal Luarnya); Thailand; Vietnam; dan Timor-Leste.

Majlis turut memperkenalkan bendera dan lambang Asean yang dikemas kini, iaitu penampilan 11 tangkai padi bagi mencerminkan penyertaan Timor-Leste yang secara rasmi menyertai blok itu pada 2025.