Perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan memburukkan bencana alam, dan usaha membina ketahanan bukan lagi satu pilihan, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.

Beliau menambah bahawa bencana sedemikian juga tidak mengenal sempadan, sekali gus menjadikan perpaduan dan usaha bersama Asean sangat penting.

Encik Tong berkata demikian semasa Dialog Dasar Strategik Asean mengenai Pengurusan Bencana (SPDDM) 2026, yang diadakan di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay, pada 19 Ogos.

Edisi ke-11 acara tersebut dianjurkan bersama oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Sekretariat Asean dan Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre).

Acara itu dihadiri kira-kira 200 pegawai pemerintah, pakar akademik dan pengamal, termasuk wakil dari negara-negara Asean, Kesatuan Eropah (EU), Canada dan New Zealand.

Dalam ucapan pembukaannya, Encik Tong berkata 2026 menandakan ulang tahun ke-10 pengisytiharan 'Satu Asean Satu Respons’.

Beliau berkata pengisytiharan tersebut telah menetapkan cita-cita jelas untuk meningkatkan kepantasan, skala dan perpaduan respons Asean terhadap sebarang bencana, serta menyedari bahawa respons yang berkesan tidak boleh bergantung pada satu institusi atau mekanisme sahaja.

“Namun, meskipun kita telah memperkukuh keupayaan kita, cabaran yang kita hadapi juga semakin bertambah.

“Malah, ia semakin meruncing. 

“Bencana alam semakin teruk dari segi skala serta kekerapan, dan dalam banyak keadaan, kadar ketidaktentuannya (turut meningkat),” kata Encik Tong.

Dalam pembukaan ucaptamanya itu, Encik Tong merakamkan ucapan takziah kepada Indonesia yang dilanda gempa bumi berukuran 7.7 magnitud di perairan Pulau Flores pada 15 Ogos.

Ribuan penduduk terpaksa berpindah, dan sekurang-kurangnya 53 mangsa terkorban.

Usaha menyelamat kini masih giat dijalankan.

Para peserta dialog turut bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa bencana berkenaan semasa ucapan oleh Timbalan Menteri Sistem dan Strategi di Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Dr Raditya Jati.

Encik Tong turut merakamkan ucapan takziah kepada Filipina yang kini berdepan kesan daripada gabungan ribut tropika Luis dan Maymay serta monsun barat daya.

Beliau turut menyebut beberapa bencana lain seperti ribut Senyar, yang membawa kemusnahan meluas di seluruh Indonesia, Thailand dan Malaysia menjelang akhir 2025.

Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan Encik Tong ialah amaran Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) awal 2026 mengenai fenomena Super El Nino, iaitu keadaan pemanasan alam sekitar yang sangat ekstrem dan melebihi purata suhu.

Encik Tong berkata fenomena tersebut boleh mengundang gelombang haba dan kemarau lebih dahsyat, seterusnya menjejas jaminan makanan serta kesihatan awam di Asia Tenggara.

“Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa bencana alam langsung tidak mengenal sempadan negara, ia merupakan cabaran serantau yang memerlukan penyelesaian serantau.

“Perubahan iklim pula terus meningkatkan kekerapan dan tahap keseriusan bencana alam di rantau kita serta di seluruh dunia.

“Oleh itu, usaha membina daya tahan dan memperkukuh keupayaan bukan lagi satu pilihan.

“Malah, saya percaya ia satu keperluan yang sangat penting.

“Ia sesuatu yang perlu dilakukan,” kata Encik Tong.

Oleh kerana Singapura akan memegang peranan sebagai Pengerusi Asean pada 2027, negara ini berhasrat memperkukuh kesiapsiagaan serta ketahanan bersama dalam beberapa aspek, jelas Encik Tong.

Ini termasuk menganjurkan Latihan Simulasi Respons Kecemasan Bencana Serantau Asean (Ardex) ke-10, yang menguji dan mengesahkan prosedur serta penyelarasan tindakan terhadap bencana serantau.

Singapura juga akan memacu agenda iklim dan alam sekitar Asean.

Negara ini telah menetapkan 2026 sebagai Tahun Adaptasi Iklim serta sedang membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan, yang disokong oleh komitmen bernilai $40 juta bagi membina negara yang siap siaga menghadapi perubahan iklim.