Keadaan lebih panas dan kering dijangka pada lewat 2026 berisiko mencetuskan kebakaran hutan lebih hebat serta jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara, didorong kemungkinan kitaran ‘El Nino Godzilla’.

Ini menurut Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu pada 7 Mei.

El Nino merujuk kepada pemanasan lautan yang luar biasa, melebihi purata suhu permukaan laut.

“Asia Tenggara berdepan ‘ribut sempurna’ akibat gabungan perkembangan politik global dan perubahan iklim, dengan kesan mendalam terhadap sektor komoditi pertanian,” ujar beliau pada Dialog Singapura mengenai Sumber Dunia Mampan (SWR) di Hotel One Farrer.

Beliau menambah, musim kering yang lebih terik dijangka dalam beberapa bulan akan datang, dengan kemungkinan El Nino yang luar biasa kuat.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) meramalkan fenomena ini akan menguatkan lagi kesan perubahan iklim, termasuk peningkatan risiko kemarau di Asia Tenggara.

Cik Fu menggesa negara Asean supaya lebih berwaspada pada 2026 dan meningkatkan kerjasama melalui Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan serta jawatankuasa menteri untuk memantau dan mengurus kebakaran tanah serta hutan.

Peringatan Cik Fu ini menyusul selepas Singapura mengalami beberapa minggu berjerebu pada awal 2026 akibat kebakaran tumbuhan di Johor. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam kekal sederhana, namun bau asap yang membakar jelas terhidu di banyak kawasan.

Menurut laporan Bloomberg, lebih 800 titik panas di Indonesia dan Malaysia direkodkan, angka tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

WMO turut menyatakan El Nino boleh kembali antara Mei hingga Julai, menyebabkan suhu laut meningkat dan cuaca menjadi lebih panas dan kering.

Tanda-tanda awal menunjukkan fenomena ini mungkin kuat, lantas memburukkan cuaca panas dan kering di Asia Tenggara, serta meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Pusat Meteorologi Khas Asean meramal lebih banyak titik panas apabila musim kering bermula sekitar Jun di selatan Asean, melibatkan Singapura, Malaysia, dan Indonesia.

Laman web pusat itu menyatakan risiko jerebu rentas sempadan di kawasan kering akan berpanjangan pada Jun–Julai apabila angin bertiup dari tenggara atau barat daya, dan keadaan boleh bertambah buruk jika El Nino berlaku.

Dialog itu menumpukan kepada komoditi pertanian Asean yang terjejas oleh kos tenaga, harga bekalan pertanian dan kos penghantaran yang melonjak akibat konflik Timur Tengah.

Dianjurkan oleh badan pemikir Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA), ia turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar Indonesia, Encik Arif Havas Oegroseno.

Ketika Asia Tenggara berdepan ketidaktentuan, konflik itu menekankan betapa pentingnya kemampanan sebagai tunjang daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang, kata Cik Fu, yang turut menggariskan cara rantau ini boleh menerapkan amalan mampan untuk melindungi sektor komoditinya.

Di tengah krisis tenaga dan baja akibat perang Iran, rantau ini berpotensi besar menghasilkan baja organik dan biogas daripada sisa sawit serta air buangan. Langkah ini penting agar rantau Asia Tenggara tidak terperangkap dalam pergantungan pasaran bahan api fosil, kata Cik Fu.

Produk pertanian membentuk hampir 10 peratus eksport Asean ke Kesatuan Eropah (EU) pada 2024. Amalan mampan yang mematuhi piawaian dapat meningkatkan kedudukan serta kelebihan pasaran jangka panjang produk Asean.

Misalnya, EU bakal menguatkuasakan undang-undang anti-penebangan hutan pada akhir 2026 yang mewajibkan syarikat membuktikan produk pertanian mereka dihasilkan tanpa memusnahkan hutan atau merosakkan tanah.

“Menghasilkan produk mampan bukan sekadar mematuhi peraturan, tetapi membuka laluan kepada pasaran dan modal untuk pelaburan serta perubahan,” kata beliau.

Latar politik sejagat mewujudkan risiko baru yang perlu dipantau dan diurus, termasuk perlindungan hijau, di mana halangan perdagangan berasaskan piawaian kemampanan yang berisiko “menghalang perdagangan, sekali gus menjejaskan penanam, pengeksport dan pengimport”.

Tatkala Asia Tenggara giat meneroka sumber tenaga alternatif seperti biofuel daripada tanaman atau sisa pertanian, risiko peningkatan penebangan hutan perlu diurus, kata Cik Fu.

Hampir satu perlima penebangan hutan Indonesia pada 2025 berpunca daripada pembukaan tanah bagi tanaman makanan dan bioenergi di bawah program pemerintah untuk meningkatkan kecukupan sendiri makanan dan tenaga, menurut badan pemikir Auriga Nusantara.

Pada 2024, Singapura telah mengarahkan kajian tentang kesan perubahan iklim terhadap Asia Tenggara dan sektor pertaniannya. Kajian ini dijangka siap lewat tahun ini dan hasilnya akan dikongsi dengan Asean, kata Cik Fu.

Beliau menambah cabaran dalam beberapa bulan dan tahun mendatang akan menjadi panduan bagi peranan Singapura sebagai Pengerusi Asean pada tahun hadapan.

Singapura akan mengambil alih daripada Filipina sebagai Pengerusi Asean pada 2027.