Dengan landskap politik dan ekonomi dunia yang terus berubah, jangkaan ekonomi Asia kekal cerah namun rantau ini perlu mempertajamkan penilaiannya serta memperkukuh kerjasama bagi mengekalkan daya saingnya, kata Pengerusi Eksekutif SPH Media, Encik Chan Yeng Kit.

Menurut Encik Chan, keperluan itu penting sedang perubahan global yang berlaku dalam beberapa bulan lepas.

“Peraturan perdagangan global telah dan masih terus mengalami perubahan. Keselamatan negara kini semakin kerap mengatasi pertimbangan kecekapan pasaran; rantaian bekalan sedang disusun semula bagi memperkukuh daya tahan terhadap risiko geopolitik,” kata beliau.

Pada masa yang sama, kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) turut mengubah tanggapan tradisional mengenai kekuatan dan daya saing sesebuah negara atau perniagaan, menurut Encik Chan dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Masa Depan Asia (AFS) 2026 anjuran SPH Media pada 27 November.

Sidang tersebut, anjuran SPH Media, turut dibentangkan bersama oleh lima penerbitan utamanya – The Straits Times (ST), The Business Times (BT), Lianhe Zaobao (ZB), Berita Harian (BH) dan Tamil Murasu (TM) di Pusat Konvensyen dan Expo Sands di Marina Bay Sands. Ia berlangsung di tengah-tengah konflik dan persaingan kuasa besar, serta perubahan struktural dan sistemik untuk negara dan perniagaan.

OCBC merupakan penaja utama bagi Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026, dengan Marina Bay Sands sebagai rakan kongsi lokasi rasmi dan Amazon Web Services sebagai rakan kongsi awan rasmi.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Chan berkata:

“Apabila keadaan berubah dengan begitu pantas, para pemimpin memerlukan idea kreatif, tindak balas tangkas dan rakan kongsi yang boleh dipercayai.”

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Dengan menghimpunkan penggubal dasar, pelabur, pemimpin industri, dan pakar pemikir, sidang kemuncak ini bertujuan meneliti cabaran jangka panjang dan mengenal pasti langkah praktikal bagi menangani perubahan global,” tambahnya

Sejak diperkenalkan pada 2022, AFS telah berkembang menjadi platform bagi dialog dan jalinan rangkaian.

Dalam edisi kelimanya tahun ini, yang bertemakan Asia Ascendant: Shaping the Region’s Role in a New Global Order, sidang tersebut turut menampilkan tiga panel perbincangan tentang ekonomi serantau, teknologi, dan geopolitik.

Panel pertama mengetengahkan perbincangan tindak balas Asia terhadap penyusunan semula rantaian bekalan dan peningkatan nasionalisme sumber.

Peranan kecerdasan buatan (AI) dan kepentingan tadbir urus serta kepercayaan dalam penggunaannya juga dibincangkan dalam panel kedua.

Panel terakhir pula meneliti bagaimana negara kuasa pertengahan dapat mengharungi ketidaktentuan dan mengekalkan kestabilan serantau sedang kerjasama pelbagai hala semakin lemah.

Sidang tersebut turut menampilkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, yang menyampaikan ucapan pembukaan serta satu sesi dialog.

Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasir, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, turut hadir untuk sesi perkongsian dan dialog.