Peranan Asia dalam membentuk susunan dunia baharu, di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik sejagat, akan menjadi tumpuan Sidang Kemuncak Masa Depan Asia (AFS) 2026, yang berlangsung pada 27 November ini.

Memasuki edisi kelima, sidang kemuncak sehari itu akan menghimpunkan pemimpin pemerintah, tokoh perniagaan dan pakar industri dari rantau ini di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.

Antara tokoh yang bakal berucap ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Singapura, Encik Gan Kim Yong; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasir; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan OCBC, Encik Tan Teck Long; dan CEO Kumpulan SGX, Encik Loh Boon Chye.

Bertemakan Asia Ascendant: Shaping the Region’s Role in a New Global Order (Kebangkitan Asia: Membentuk Peranan Rantau dalam Susunan Dunia Baharu), sidang itu akan meneliti bagaimana negara Asia dapat memperkukuh kerjasama serantau, menjalin perkongsian baharu dan memainkan peranan lebih besar dalam menentukan agenda global.

AFS 2026 juga berlangsung menjelang giliran Singapura mempengerusikan Asean pada 2027, ketika pertubuhan serantau itu menyambut ulang tahun ke-60 penubuhannya.

Buat julung-julung kali, sidang anjuran SPH Media itu akan dibentangkan bersama oleh lima penerbitan utamanya – The Straits Times, The Business Times, Lianhe Zaobao, Berita Harian dan Tamil Murasu.

Kerjasama tersebut bertujuan memanfaatkan kepakaran kewartawanan dan rangkaian kelima-lima bilik berita tersebut bagi memperluas perspektif perbincangan mengenai masa depan Asia.

Perbincangan akan tertumpu kepada tiga bidang utama – ekonomi, teknologi dan geopolitik.

Dalam bidang ekonomi, peserta akan membahaskan kemungkinan berlakunya krisis sejagat, kesan kelembapan ekonomi, perubahan rantaian bekalan serta peningkatan dasar nasionalisme sumber.

Perbincangan teknologi pula akan meneliti masa depan kecerdasan buatan (AI), termasuk perdebatan mengenai model terbuka dan tertutup, serta keperluan mengimbangi inovasi dengan tadbir urus dan kepercayaan.

Dari sudut geopolitik, tumpuan diberikan kepada peranan kuasa pertengahan dalam menghadapi persaingan kuasa besar dan usaha mengekalkan kestabilan serantau.

Pengerusi Eksekutif SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, berkata sidang itu mencerminkan komitmen syarikat media tersebut untuk menyediakan wadah perbincangan bermakna mengenai isu yang mempunyai kesan meluas terhadap rantau ini.

“Dengan capaian kepada lapan daripada setiap 10 penduduk Singapura, kami mempunyai jangkauan yang luas, kepakaran kewartawanan serta hubungan berteras kepercayaan untuk menggalakkan wacana awam berasaskan maklumat mengenai isu-isu penting di peringkat nasional dan serantau.

“Sidang Kemuncak Masa Depan Asia (AFS) membolehkan kami memperkukuh peranan ini dengan menyediakan wadah bagi pertukaran pandangan yang bermakna mengenai isu-isu yang membawa implikasi besar kepada rantau ini,” kata beliau.

“Dengan menggembleng kekuatan bersama lima penerbitan utama kami, kami dapat mempertingkat keupayaan menghimpunkan tokoh-tokoh berpengaruh, mempertemukan pelbagai perspektif serta memperdalam perbincangan yang bakal mencorak masa depan rantau ini,” tambah beliau.

Pengarah Urusan SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang, pula menyifatkan AFS 2026 sebagai wadah penting menjelang kepengerusian Asean oleh Singapura.

Menurut beliau, SPH Media berupaya memainkan peranan sebagai pemudah cara dialog serantau yang dipercayai, sekali gus membantu memperdalam pemahaman mengenai peluang yang ditawarkan Asean.

AFS 2026 mendapat tajaan utama OCBC, dengan Amazon Web Services sebagai Rakan Kongsi Awan Rasmi dan Marina Bay Sands sebagai Rakan Kongsi Tempat Rasmi.

Penyertaan adalah melalui undangan sahaja. Maklumat lanjut boleh didapati di pautan, www.asiafuturesummit.com.