Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Askar perkasa’ dengan sut khas sediakan pek NDP 2024

Jul 22, 2024 | 2:06 PM
Sut bantuan pergerakan, yang dibangunkan oleh NUS Biorobotic Lab dan Angkatan Tentera Singapura (SAF), boleh dipakai untuk menyokong postur dan membantu pergerakan askar ketika mengangkat barang berat.
Sut bantuan pergerakan, yang dibangunkan oleh NUS Biorobotic Lab dan Angkatan Tentera Singapura (SAF), boleh dipakai untuk menyokong postur dan membantu pergerakan askar ketika mengangkat barang berat. - Foto ST

Buat julung-julung kalinya, askar daripada unit logistik berpeluang memakai sejenis sut rangka luaran atau exoskeleton, yang boleh ‘mengubah’ mereka menjadi manusia perkasa, untuk menyediakan dan memasang pek bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024

Sut bantuan pergerakan itu, yang dipakai pada bahu dan belakang askar-askar tersebut, menyokong badan mereka ketika mengangkat kotak berat antara 10kg dengan 45kg.

“Dengan sut exoskeleton ini, rasanya seperti saya hanya membawa separuh daripada berat kotak-kotak ini,” kongsi Prebet Muhammad Noor Hyder kepada media di pusat pembungkusan di Kem Nee Soon pada 16 Julai.

“Ia menyokong belakang saya dan saya tidak perlu menggunakan tenaga yang terlalu banyak.”

Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) berusia 21 tahun itu adalah salah seorang daripada 70 anggota NSF dan Askar Tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang ditugaskan menyusun lebih 300,000 bungkusan NDP bagi sambutan tahun ini.

Dua jenis sut exoskeleton sedang digunakan, salah satunya adalah produk syarikat robotik Eropah German Bionic dan satu lagi adalah sampel yang disediakan NUS Biorobotics Lab.

Setiap exoskeleton masing-masing seberat 10kg dan 5kg.

Exoskeleton tersebut dipakai seperti abah-abah, menyokong pergerakan askar dan mengurangkan tekanan pada belakang dan sendi.

Sokongan peranti tersebut membantu memastikan postur yang selesa bagi pemakai, serta mengurangkan risiko kecederaan semasa mengangkat barang berat.

Selain sut exoskeleton, teknologi lain seperti sistem pembungkusan automatik yang dipertingkat dan robot darat juga sedang diuji, kata Mejar Desmond Lim, pengerusi jawatankuasa pek NDP.

Beliau menambah bahawa teknologi sedemikian bertujuan mengurangkan tenaga kerja diperlukan untuk menyediakan pek tersebut.

Sistem pembungkusan automatik bagi pek NDP pertama kali diuji pada 2022, dan digunakan semula pada 2024 selepas peningkatan teknologi dibuat dan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg