Latihan dan penglibatan Cik Nurulhuda Abu Bakar, 41 tahun, dan tiga anaknya dalam segmen Perbarisan & Upacara (P&C) untuk Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024 merupakan masa untuk mengukir kenangan bersama.
Ini setelah ibu tiga anak itu dapat berkawad bersama ketiga-tiga anaknya – masing-masing berusia 14, 16 dan 18 tahun.
Mereka merupakan antara anggota yang berbaris dalam kontinjen Goodhood.sg – perusahaan sosial yang membentuk sebahagian daripada kontinjen sokongan awam.
Pekerja sosial di Club Rainbow (Singapore) itu berkongsi bahawa beliau memutuskan meredah terik mentari berkawad untuk merebut peluang membina kenangan bersama anak-anak remajanya yang kian membesar.
“Saya rasa peluang saya untuk mencipta memori bersama mereka menjadi lebih tipis sedang mereka membesar. Lantas, saya harus mencari peluang-peluang tersebut seberapa banyak yang saya boleh.
“Saya beritahu diri saya bahawa ia adalah satu peluang yang baik dan terus mengajak anak-anak saya untuk ikut serta dan mereka turut sama,” jelas Cik Nurulhuda.
Beliau menerima e-mel pendaftaran daripada GoodHood.SG pada Mac yang mencari peserta kontinjen.
Ini merupakan kali kedua beliau terlibat dalam acara NDP.
Kali pertama adalah pada 2018 dengan beliau mewakili kumpulan rakyat, khususnya pekerja sosial.
“Saya rasa tema acara NDP tahun itu berasaskan langkah meraikan pencapaian rakyat Singapura dan pekerja sosial adalah sebahagian daripada itu,” katanya.
Penglibatan beliau dengan perusahaan sosial itu tercetus apabila beliau menemui satu artikel mengenai ‘freeganism’ – ideologi penyertaan terhad dalam ekonomi konvensional dan penggunaan sumber yang minimum.
“Sebagai pekerja sosial, saya amat tertarik dengan topik tersebut dan membaca dengan lebih mendalam untuk mengetahui sama ada ia sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada klien-klien saya.”
“Dari situ, saya dapat tahu aktiviti tersebut adalah sesuatu yang dilakukan GoodHood.SG dan saya mula mengikut (perkembangan) dengan rapat dari sana,” sambung Cik Nurulhuda.
Berbanding dengan 2018, beliau berkata ia adalah lebih mencabar kali ini.
“Bagi saya, yang paling mencabar kali ini adalah bukan latihan berkawad, tetapi berdiri tegak selama 45 minit,” jelasnya.
Anak keduanya juga mengakui cabaran tersebut.
“Berada dalam keadaan berdiri dalam diam adalah lebih sukar daripada sekadar bergerak ke hadapan,” kata Aisyah Aliyah Alias, pelajar tahun keempat Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah itu.
Anak bongsu Cik Nurulhuda, Ahmed Rami Alias, mengatasi cabaran berdiri bagi tempoh masa yang panjang itu dengan memikirkan tentang sekolah, seperti mengulang kaji peperiksaan.
Kesukaran yang dilalui semasa latihan tidak melunturkan hasrat mereka untuk memupuk keakraban mereka sekeluarga, apatah lagi dalam suasana menyambut hari kemerdekaan Singapura yang ke-59.
“Kami sekeluarga telah menonton acara NDP di kaca televisyen selama ini dan sekarang, mengambil bahagian bersama sebenarnya sangat bermakna,” ujar Cik Nurulhuda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg