Bunyi alunan piano yang dimainkan anak Cik Asnida Daud tujuh tahun lalu telah membawanya kembali kepada zaman kanak-kanaknya.

Begitulah titik permulaan lagu dialek Orang Laut berjudul Aok Diko, yang ditulis Cik Asnida, apabila beliau teringat deruan ombak yang mengiringinya dan keluarga ketika sering berulang-alik ke Pulau Sudong untuk menziarahi keluarga tercinta.

Lagu tersebut bakal membuka bab ketiga persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 yang memberi penghormatan kepada sejarah dan warisan maritim Singapura.

Menurut penggiat seni dan budaya itu, frasa Aok Diko membawa maksud persetujuan dan lagu itu dijadikan sebuah pengiktirafan kepada masyarakat Orang Laut yang menjadi sebahagian daripada sejarah Singapura.

“Lagu ini ditulis sebagai satu rakaman memori saya sebagai anggota masyarakat Orang Pulau dan dijadikan dokumentasi kisah di pulau pesisir Singapura,” kongsi Cik Asnida yang menghasilkan lagu itu bersama anaknya, Qurnia Jeffrey, 17 tahun, dan suaminya, Encik Jeffrey Zauhari, 52 tahun.

Orang Laut merujuk kepada masyarakat nomad di selat dan pesisiran, manakala Orang Pulau merujuk kepada masyarakat yang sudah menetap di daratan.

Bagi Cik Asnida, kerja beliau dalam melestarikan warisan mewakili kedua-dua masyarakat itu.

Cik Asnida bersama keluarganya menghasilkan lagu itu pada 2021 untuk program infopendidikan, Hilang, terbitan Elements Pictures, yang menjejak khazanah warisan Melayu yang hampir dilupakan.

Lagu tersebut pada awalnya ditulis sebagai puisi berbentuk bebas, yang diilhamkan kisah di sekelilingnya, namun dilagukan apabila Cik Asnida mula mendeklamasikannya.

“Muzik merupakan satu wadah yang penting untuk menghidupkan puisi kerana ia mampu menarik perhatian orang dan sememangnya sebati dengan kehidupan manusia,” jelas beliau dalam menekankan kepentingan muzik dalam melestarikan dan memelihara budaya serta sejarah. 

Walaupun lagu Aok Diko akan didendangkan hanya untuk lebih dari seminit, beliau berharap ia mampu memutik sikap ingin tahu para penonton untuk mendalami sejarah Orang Laut selepas mereka pulang.

Namun, persembahan itu bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang Orang Laut.

Beliau juga berharap persembahan itu menjadi inspirasi untuk masyarakat Orang Laut mengetengahkan kisah mereka dan bangga untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat itu.

“Ini bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi satu amanah untuk mengangkat maruah dan suara komuniti pesisir Nusantara yang kini berdepan cabaran iklim serta kepupusan warisan,” jelas beliau.

Bagi Cik Asnida, lagu ini juga menampilkan kepelbagaian masyarakat untuk membina kesatuan antara satu sama lain dan lebih mencintai pulau Singapura.

“Persembahan ini menunjukkan bagaimana terdapat kepelbagaian dalam masyarakat Melayu dan masyarakat besar Singapura.

Saya berharap dengan mengiktiraf masyarakat Orang Laut, kita lebih menghargai sejarah kita yang begitu mendalam dan menguatkan jati diri kita sebagai warganegara Singapura,” kongsi Cik Asnida.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Asnida, yang telah berkecimpung dalam aktiviti pemeliharaan warisan Orang Pulau sejak 2015, turut melafaskan penghargaan beliau untuk membawa lagu ini:

“Sebagai seorang penggiat seni, peluang ini merupakan satu penghargaan tertinggi kerana kisah saya dan masyarakat saya diberi perhatian. 

“Ia juga merupakan sebuah pengiktirafan bagi diri saya dan aktivis Orang Pulau yang sedang memperjuangkan warisan kita.”

Cik Asnida akan membuat penampilan mendendangkan lagu Aok Diko sebagai pembukaan babak ketiga di persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026.
Cik Asnida akan membuat penampilan mendendangkan lagu Aok Diko sebagai pembukaan babak ketiga di persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Bagi persembahan itu, Cik Asnida juga akan mengenakan pakaian serba keemasan, hasil rekaan pereka kostum, Encik Max Tan, yang menampilkan semangat keagungan masyarakat Orang Laut serta disesuaikan dengan skala besar pentas NDP di Stadium Negara, yang dijangka bakal menampung sekitar 42,000 penonton.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk NDP 2026.