Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu dan anak latih kawad bersama untuk NDP 2026
Ibu dan anak latih kawad bersama untuk NDP 2026
Penyertaan awam terbesar ini melibatkan lebih 1,200 peserta daripada 26 kontinjen
Ibu dan anak latih kawad bersama untuk NDP 2026
Kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang kini bertukar buat pasangan ibu dan anak.
Jika dahulu, Cik Siti Radziah Zainal Abidin, 45 tahun, dan Ari Wafiy Muhammad Mahfudz, 15 tahun, meluangkan masa bersama dengan kegiatan riadah seperti berbasikal, mereka kini lebih banyak berlatih kawad di rumah dan berkongsi tentang latihan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026.
Ini merupakan kali pertama mereka menyertai Perbarisan & Upacara (P&C) NDP 2026 bersama-sama.
Cik Siti merupakan anggota kontinjen sukarelawan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), manakala Ari merupakan anggota kontinjen belia dari Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC).
“Selalunya kami akan berlatih di depan cermin di rumah dan anak saya akan membetulkan kawad saya kerana dia lebih berpengalaman,” kongsi Cik Siti kepada Berita Harian (BH).
“Saya bangga melihat ibu saya keluar dari zon selesanya dan mencabar dirinya melakukan sesuatu yang tidak pernah beliau lakukan, iaitu berkawad,” tambah Ari, menyingkap tentang penyertaan ibunya.
Cik Siti juga berkongsi beliau dan Ari, seorang pelajar Sekolah Menengah Orchid Park, tidak pernah merancang untuk menyertai perbarisan ini bersama-sama.
“Saya terperanjat apabila mendapat tahu anak saya juga akan menyertai perbarisan ini kerana saya tidak sangka dia juga diberikan peluang yang sama,” kata Cik Siti.
Beliau mendapat e-mel undangan dari NTUC pada awal tahun ini (2026) untuk menyertai kontinjen perbarisan sukarelawan.
“Saya membuat keputusan untuk menyertainya kerana saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dan sekali gus, menyumbang kepada negara bersama rakan kontinjen yang lain,” kata suri rumah itu.
Namun, pasangan ibu dan anak itu sangat teruja apabila mendapat tahu tentang penyertaan mereka masing-masing.
Ari juga berkongsi bagaimana NDP kali ini lebih bermakna dengan kehadiran ibunya.
“Dengan adanya ibu saya dalam perbarisan kali ini, saya tahu saya bukan seorang diri dalam perbarisan ini,” kata Ari, anak kelima dalam enam beradik.
Di sebalik penyertaan mereka, ahli keluarga lain juga memainkan peranan penting.
“Saya rasa tersentuh kerana keluarga saya sangat memahami dan telah mengorbankan masa keluarga kami untuk beriadah setiap Sabtu demi menyesuaikan jadual baharu kami ini.
“Mereka selalu memberikan sokongan dan menjemput saya dan Ari pulang dari latihan dan kami akan makan malam bersama di luar,” jelas Cik Siti.
Buat Cik Siti, pengalaman menyertai NDP ini juga telah merapatkan hubungan mereka.
“Penyertaan saya kali ini telah membolehkan saya melihat ke dalam dunia anak saya sebagai seorang anggota kadet NCC dan saya juga lebih memahami apa yang dilaluinya dalam setiap latihan.
“Ini membuatkan saya rasa lebih bangga melihat anak saya berkawad dalam seragam kerana saya tahu perbarisan ini tidak mudah.
“Anak saya menjadi pembakar semangat untuk diri saya cekal dan kuat tekad semasa latihan,” ujarnya.
Cik Siti dan Ari merupakan antara lebih 1,200 peserta awam, merentasi 26 kontinjen yang akan menyertai P&C NDP 2026 di Stadium Negara, pada Ogos ini, menjadikan usaha ini penyertaan orang awam yang terbesar dalam tempoh lebih sedekad.
Ini juga merupakan NDP pertama di stadium itu sejak 2016.

