Kian ramai orang Melayu tinggal di rumah privet, bahkan rumah berhalaman, yang menunjukkan “kemajuan sangat baik”, sedang tahap pendidikan dan pendapatan masyarakat meningkat lebih tinggi hari ini berbanding lebih dua dekad lalu, kata pengasas bersama dan Pengerusi Eksekutif firma hartanah PropNex, Encik Ismail Gafoor.
Bagaimana, beliau menasihatkan orang ramai harus hidup mengikut kemampuan mereka dan tiada siapa yang harus “membebankan diri mereka sendiri”.
Meskipun generasi muda Melayu hari ini mempunyai aspirasi memiliki rumah lebih besar, Encik Ismail berkata terdapat juga golongan dalam masyarakat yang cita-citanya mungkin tidak begitu tinggi dan terus memilih untuk tinggal di flat biasa.
“Itu bukan perkara yang salah mahupun betul, kerana saya tidak ingin menjadikan langkah membeli hartanah terbesar dilihat sebagai penanda aras kejayaan. Ia tidak boleh dilihat seperti itu.
“Apa yang penting adalah bagi orang hidup secara bermakna dan mempunyai rumah yang bahagia. Jika HDB boleh melakukan demikian, mengapa tidak? Tiada yang salah pada saya.
“Tetapi sebaliknya, jika anda mampu dan mempunyai keinginan, saya fikir perkara yang betul adalah untuk beli rumah yang lebih besar,” kata beliau.
Encik Ismail berkongsi pandangannya itu semasa sesi podcast BHerbual NoTapis Berita Harian (BH) bersama Koresponden, Cik Irma Kamarudin, dan wartawan, Cik Shiqin Ramadan, baru-baru ini sempena ulang tahun ke-25 PropNex.
Dalam podcast itu, Encik Ismail telah menyingkap kembali kisah perjalanannya dalam membentuk PropNex menjadi firma hartanah terbesar di Singapura, yang mempunyai lebih 13,000 ejen hari ini, dan juga rancangan serta visi untuk syarikat itu bagi 25 tahun akan datang dan selanjutnya.
Menjelaskan lebih lanjut, Encik Ismail berkata langkah membeli rumah yang lebih besar sekiranya individu mampu boleh memberi manfaat pada kemudian hari.
Contohnya, seseorang yang membeli flat empat bilik hari ini pada harga antara $500,000 dengan $700,000 dan bersara 25 tahun kemudian, mungkin boleh menjual flatnya pada harga sekitar $1 juta.
Namun, individu itu tiada banyak pilihan dan akan perlu membeli flat tiga atau empat bilik untuk menikmati tahun-tahun persaraannya.
Sebaliknya, jika individu itu mampu dan memilih untuk membeli, contohnya, kondominium eksekutif pada harga $1.5 juta hari ini dan membiayainya melalui Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan juga pendapatannya, harga rumah itu mungkin boleh mencecah $3 juta dalam 25 tahun akan datang.
“Pada waktu itu, jika anda pilih beli flat empat bilik pada harga $1 juta atau $1.5 juta, anda tetap mempunyai banyak modal dan boleh bersara dengan selesa,” kata beliau.
Encik Ismail, bagaimanapun, menekankan bahawa keuntungan durian runtuh yang diterima selepas menjual rumah juga tidak harus disalahgunakan.
Misalnya, pada masa lalu, pernah terjadi apabila keluarga menerima keuntungan ratusan ribu dolar selepas jual rumah, mereka menggunakan wang itu untuk percutian, menanggung perbelanjaan umrah atau haji untuk seluruh keluarga besar, atau melakukan kerja ubah elok yang mahal untuk rumah baru mereka.
“Apa yang berlaku? Wang itu hanya bertahan selama dua tahun dan mereka beli rumah di luar kemampuan mereka. Kemudian, mereka tidak dapat bayar. Ada yang hilang kerja dan sebagainya. Mereka tidak merancang dengan betul.
“Itu berlaku pada masa lalu. Tetapi hari ini berbeza... Saya boleh katakan bahawa masyarakat kita lebih matang hari ini,” kata beliau.
Encik Ismail sekali lagi memberi peringatan bahawa individu harus hidup dan berbelanja mengikut kemampuan mereka.
“Janganlah beli hartanah yang pada kemudian hari buat anda makan maggi (mi segera) setiap hari… Tiada ertinya jika hidup begitu. Oleh itu, belilah ikut kemampuan.
“Hidup di flat HDB tiada salahnya pada pandangan saya kerana ia merupakan kelas aset. Namun begitu, dalam kalangan flat HDB pun, seseorang boleh berpindah dari flat tiga bilik ke flat lima bilik jika mampu. Jika pilihan itu tersedia, anda boleh sentiasa mencari rumah yang sesuai,” kata beliau.
Menyentuh tentang trend orang Melayu yang tinggal di flat sewa pula, Encik Ismail berkata terdapat banyak geran dan subsidi yang disediakan pemerintah untuk membantu golongan tersebut memiliki rumah sendiri apabila mereka bersedia.
Beliau menggalak mereka yang tinggal di flat sewa untuk memiliki rumah sendiri jika mereka mampu, walaupun jika ia rumah kecil, kerana rumah itu adalah aset mereka.
“Tidak dinafikan bahawa sewa bulanan adalah rendah (jika tinggal di rumah sewa)... Tetapi, jika anda memiliki flat dua ataupun tiga bilik sendiri, apabila rumah itu sudah dibayar sepenuhnya, harga rumah itu akan meningkat dalam 10, 15 tahun akan datang dan ini akan menjadi jaring keselamatan untuk persaraan anda.
“Saya tidak mengatakan bahawa semua orang perlu melakukan ini dengan segera, tetapi sekurang-kurangnya, harus ada keinginan untuk memulakannya secepat mungkin,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg