Meskipun telah berundur daripada jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex Limited, Encik Ismail Gafoor akan tetap memainkan peranan penting untuk memacu hala tuju strategik syarikat tersebut sebagai Pengerusi Eksekutif.
Beliau juga akan memainkan peranan untuk memperkukuh Lembaga Pengarah syarikat itu dalam peranan barunya.
Encik Ismail, 61 tahun, telah mengumumkan peralihan kepimpinan tersebut semasa sambutan ulang tahun ke-25 syarikat itu, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 15 Julai.
Presiden Tharman Shanmugaratnam turut hadir selaku tetamu terhormat acara tersebut.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi PropNex untuk meningkatkan tahap tanggungjawab dalam proses membuat keputusan syarikat.
Dalam ucapannya, Encik Ismail berkata:
“Pengunduran saya sebagai CEO merupakan satu pencapaian peribadi yang bermakna setelah 25 tahun membina asas PropNex.
“Namun, ini bukanlah satu perpisahan. Sebagai Pengerusi Eksekutif, saya akan terus membimbing syarikat secara strategik dan menyokong dengan semangat dan tumpuan yang sama seperti dahulu.
“Komitmen saya terhadap PropNex dan seluruh kakitangannya kekal utuh,” kata beliau.
Dengan pengunduran itu, Timbalan CEO, Encik Kelvin Fong, 50 tahun, akan mengambil alih tampuk kepimpinan sebagai CEO.
“Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan menggalas peranan ini dan meneruskan legasi yang telah dibina oleh Encik Ismail dan pasukan pengasas.
“Saya bertuah kerana dapat membesar bersama PropNex selama lebih dua dekad, dan saya komited untuk mengekalkan budaya kerja yang menjadi asas kejayaan kami.
“Sebagai CEO, saya akan terus memperkasa pasukan jualan kami, memacu inovasi dalam perkhidmatan, serta memperdalam keterlibatan dengan pengguna untuk meningkatkan kecekapan operasi,” tambah Encik Fong.
Berbekalkan lebih 20 tahun pengalaman, Encik Fong menyertai PropNex pada 2002 dan telah memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan syarikat tersebut hari ini.
Lantas, beliau dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada Jun 2018 dan menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan CEO sejak Ogos 2023.
Sebagai CEO, Encik Fong bakal memimpin operasi harian dan pelaksanaan strategi syarikat yang merangkumi kemajuan dalam inovasi teknologi untuk perkhidmatan teras dan berkaitan, serta terus memperkukuh kedudukan pasaran PropNex di peringkat tempatan dan serantau.
Dengan itu, Yayasan PropNex turut dilancarkan dalam acara tempoh hari, yang bertujuan memperkasa pelajar menerusi bidang pendidikan.
Dengan dana permulaan sebanyak $10 juta, yayasan itu dibina demi memperkukuh inisiatif pendidikan, membiayai pelbagai usaha kebajikan lain, serta menyokong pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan.
Dalam semangat yang sama, syarikat hartanah tersebut mengumumkan sumbangan $6 juta kepada Dana Masyarakat (ComChest).
Ini merupakan jumlah sumbangan terbesar dalam sejarah syarikat itu, ujar Encik Ismail.
Dana tersebut dikumpulkan melalui sumbangan sebahagian komisen jualan oleh ejen PropNex, selain sumbangan kakitangan dan pihak pengurusan.
Sumbangan itu merupakan tanda penghargaan kepada masyarakat yang telah menyokong pertumbuhan PropNex sepanjang perjalanan syarikat berkenaan.
Lantas, Encik Ismail turut melancarkan buku pembangunan diri bertajuk, I Am Not Good Enough.
Buku tersebut boleh didapati di kedai buku Kinokuniya, Popular dan WH Smith.
Hasil jualan buku itu akan disumbangkan kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (ST), yang memberikan bantuan wang saku kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Sempena ulang tahun kami yang ke-25, kami ingin menyumbang kembali kepada masyarakat yang telah banyak menyokong perjalanan kami selama ini,” tambah Encik Ismail.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg