Atlet wanita bagi sukan angkat berat, atau khususnya powerlifting, Cik Farhanna Farid, dijulang sebagai Jauhari Berita Harian 2026.

Cik Farhanna, 34 tahun, yang tidak dapat hadir di majlis penyampaian Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) pada 6 November di Four Seasons Hotel, diwakili anak didiknya, Cik Lenny Haslinda Jaffar, 47 tahun, bagi menerima anugerah daripada tetamu kehormat, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Cik Farhanna meraih anugerah tersebut atas kecemerlangannya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa – dengan mencatatkan rekod dunia ke-14 buat dirinya menerusi acara deadlift seberat 220.5 kilogram (kg) bagi kategori wanita 52kg di Kejohanan ‘Powerlifting’ Klasik Terbuka Dunia di Lithuania pada Jun 2026.

“Ia merupakan satu penghormatan yang amat bermakna untuk bukan sahaja diiktiraf, malah diraikan, dan atas sebab itu, saya amat bersyukur.

“Saya berharap anugerah ini menjadi peringatan agar kita tidak sesekali takut untuk mencabar diri sendiri, menerima siapa diri kita sebenarnya, dan mengejar apa yang benar-benar bermakna buat kita,” kata beliau, yang tidak dapat hadir kerana sedang menjalani latihan di luar negara.

Usahawan muda yang telah mencipta nama dan mengubah nasibnya melalui perniagaan ayam perap ‘Cheekies’, Encik Nabill Shukry Johary, pula dinobatkan sebagai Jauhari Harapan.

Encik Nabill, 29 tahun, yang mula berniaga dengan wang simpanan hanya $1,000 dan di sebuah rumah sewa, kini telah mengembangkan perniagaannya melalui beberapa dapur profesional dan gudang bagi menghasilkan ayam dan daging perap sebanyak 500kg setiap minggu.

Dengan kejayaan yang diraih, Encik Nabill telah memanfaatkan rezekinya untuk membantu pelajar yang sedang lalui masalah kewangan seperti yang beliau pernah lalui dahulu melalui Dermasiswa Cheekies Enterprise.

Dalam ucapannya, Encik Lee yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, berkata:

“Empat pemenang anugerah kita memperlihatkan gambaran sebenar semangat kemasyarakatan dalam tindakan mereka.

“Mereka bukan sahaja menjadi suri teladan bagi masyarakat Melayu/Islam, malah buat kita semua di Singapura.

“Apabila mereka dalam kalangan kita yang bernasib baik mengecapi kejayaan memilih untuk menyokong orang lain serta memanjangkan kebaikan, kita mewujudkan satu kitaran murni yang memperkukuh masyarakat dan negara kita.”

“Sumbangan seumpama ini amat penting demi kejayaan berterusan Singapura, memandangkan kita kini berdepan dengan pelbagai cabaran besar.

“Ia termasuklah persekitaran geopolitik yang sukar, kepantasan perubahan teknologi, masyarakat yang kian menua, serta cabaran yang semakin meningkat dalam mengekalkan mobiliti sosial seiring dengan kematangan masyarakat dan ekonomi kita.”

Buat julung-julung kalinya, Anugerah Jauhari BH edisi ke-28 telah memperkenalkan Anugerah Perkasa BH-Maybank dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.

Anugerah tersebut meraikan warga Singapura tanpa mengira kaum, dan yang telah menonjolkan semangat kental dalam memperbaiki mutu kehidupan mereka melalui pendidikan, kerjaya, perniagaan mahupun secara berdikari.

Dua pemenang pertama yang menerima anugerah tersebut ialah Cik Siti Nurhumaira Azman, 26 tahun, dan Cik Elizabeth Neo Ying Ying, 37 tahun.

Bercakap sewaktu sidang media di Hotel Four Seasons pada 5 November, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar berkata, dengan anugerah yang baharu itu dibuka kepada warga Singapura tidak kira bangsa, ia mencerminkan sokongan dan kebersamaan BH terhadap masyarakat yang berbilang kaum.

“Kami ingin menunjukkan bahawa kami menjunjung Singapura sebagai negara majmuk yang sebenar-benarnya.

“Dengan membuka anugerah perkasa ini kepada seluruh kaum di Singapura, ia mencerminkan bahawa masyarakat kita yakin, memandang ke hadapan dan bersedia berdiri teguh dengan semua pihak demi meraikan kecekalan hidup seharian,” kata beliau.

“Ke depan, mungkin kami akan lihat tumpuan yang lebih diberikan bagi meraikan kejayaan warga Singapura merentas pelbagai bidang yang lebih luas.”

Anugerah Jauhari BH 2026 dianjurkan oleh BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.

Anugerah ini turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja bersama, manakala AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) bertindak sebagai rakan masyarakat.