Topik diikuti
Pergi ke BHkuSrikandi angkat berat S’pura tekad ‘angkat’ martabat, perkasa atlet wanita
Pemenang Anugerah Jauhari BH 2026 kongsi harungi cabaran dan buru impian
Srikandi angkat berat S’pura tekad ‘angkat’ martabat, perkasa atlet wanita
Ketika melangkah masuk ke gimnasium di Winstedt Road, cukup jelas srikandi angkat berat Singapura, Farhanna Farid, berada dalam lingkungan yang amat dikenalinya.
Apakan tidak.
Sehingga empat kali seminggu, ruang tersebut menjadi tempat latihan buat pemegang 14 rekod dunia itu, yang tampak cukup selesa dalam kalangan wajah-wajah dikenali, khususnya atlet wanita.
Keadaan itu jauh berbeza berbanding pada 2017, ketika Farhanna mula menyertai sukan itu dan kehadiran wanita masih agak terbatas.
“Anda dapat melihatnya sendiri. Dahulu, kebanyakan wanita hanya berada di bahagian kardio dan jarang sekali mendekati ruang latihan angkat berat.
“Namun, pemikiran itu mula berubah. Tanggapan bahawa sukan ini berbahaya atau akan menjadikan wanita terlalu berotot semakin dicabar oleh wanita yang membuktikan sebaliknya.
“Apabila wanita melihat sendiri contoh-contoh ini, mereka mula sedar bahawa mereka juga mampu melakukannya.
“Sukan ini bukan lagi sekadar soal kekuatan fizikal, malah membina keyakinan dan daya tahan wanita,” kata Farhanna, anak sulung tiga beradik yang kesemuanya perempuan.
Perubahan itu cukup bermakna bagi Farhanna, 34 tahun, yang selama bertahun-tahun giat menggalakkan lebih ramai wanita menceburi sukan lasak itu melalui peranannya sebagai jurulatih sejak 2020.
Seramai 28 atlet kini berada di bawah bimbingannya, termasuk 23 yang merupakan kaum wanita.
Usaha itu berjalan seiring dengan pencapaiannya di beberapa pentas berprestij.
Sebagai contoh, pada 2018, beliau meraih tiga pingat emas dalam penampilan sulungnya di Kejohanan Angkat Berat Kuasa Klasik Asia.
Pada Jun 2022, beliau mencipta rekod dunia pertamanya menerusi angkatan ‘deadlift’ seberat 200.5 kilogram (kg) di Kejohanan Angkat Berat Kuasa Klasik Terbuka Dunia di Afrika Selatan – hampir empat kali berat badannya.
Dua tahun kemudian, pada Jun 2024, atlet setinggi 154 sentimeter itu sekali lagi mencipta rekod dunia dalam kategori wanita 52 kg menerusi angkatan ‘deadlift’ 209 kg.
Kemuncaknya, pada 14 Jun 2026 di Lithuania, Farhanna melakukan angkatan ‘deadlift’ seberat 220.5 kg dalam kategori sama, sekali gus mencatat rekod dunia ke-14 dalam kerjayanya.
Atas kecemerlangan di pentas antarabangsa serta sumbangannya dalam mengembangkan sukan itu, Farhanna muncul sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2026, dalam majlis yang diadakan di Four Seasons Hotel Singapore, pada 6 November.
Anugerah tahunan itu mengiktiraf individu dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di atas pencapaian serta sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.
Bagaimanapun, Farhanna tidak dapat hadir pada majlis itu ekoran perlu memenuhi tuntutan kerjaya dalam mengendalikan latihan di luar negara.
Sepanjang sejarahnya, Anugerah Jauhari BH telah mengiktiraf pelbagai tokoh terkemuka, termasuk mantan Presiden Halimah Yacob; tokoh perbankan, Encik Bahren Shaari; dan pemain golf profesional, Mardan Mamat.
Pada 2026, ia menandakan tahun ke-28 BH menyampaikan anugerah itu.
Anugerah Jauhari BH 2026 dianjurkan oleh BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Anugerah ini turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja bersama, manakala AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) bertindak sebagai rakan masyarakat.
Semasa diwawancara, senyuman kecil terukir di wajah Farhanna ketika pencapaiannya dibacakan.
“Saya ceburi sukan ini tanpa meletakkan harapan yang tinggi. Saya sekadar melakukan apa yang saya gemari tanpa terlalu memikirkan apakah yang akan berlaku selepas itu.
“Jadi, bagi saya, pengiktirafan ini seperti meraikan diri saya yang dahulu – seorang wanita yang pernah berasa kekok, berbeza dan tidak selalu yakin bahawa dirinya sudah cukup baik,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai perjalanan yang membawanya ke tahap itu, beliau mengimbau keputusan sukar meninggalkan kerjaya tetap sebagai ahli farmasi pada 2021 untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada sukan tersebut.
“Saya membesar pada zaman di mana menjadi doktor atau peguam dianggap ukuran kejayaan, jadi menjadi atlet sepenuh masa bukan laluan yang biasa.
“Saya perlu meyakinkan ibu bapa bahawa ini juga laluan pilihan yang boleh saya ceburi. Pada masa sama, saya dan suami perlu memastikan kami mampu menampung kehidupan kerana kos bertanding di luar negara ditanggung sendiri
“Namun, saya sampai ke satu tahap apabila saya sedar bahawa jika saya mahu melangkah lebih jauh sebagai atlet, sukar untuk melakukannya apabila perhatian saya terbahagi kepada terlalu banyak perkara,” tambah beliau.
Farhanna, yang seakan tidak mengenal penat lelah, turut menggalas peranan dalam jawatankuasa eksekutif badan induk, Powerlifting Singapore, dan mengetuai bidang pemasaran serta penajaan dalam usaha memperkukuh sokongan bagi atlet.
Siswazah bidang farmasi dari Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2015 itu berkata:
“Ketika bekerja di barisan hadapan sebagai ahli farmasi, saya mula berdepan keletihan yang melampau (burnout).
“Dalam tempoh itu juga, saya sedar bahawa menjadi jurulatih angkat berat merupakan satu lagi wadah untuk saya terus menyumbang kepada masyarakat.
“Saya tidak semestinya perlu kekal dalam bidang kesihatan untuk membantu orang lain.
“Saya sendiri meraih begitu banyak manfaat daripada sukan ini dan ingin menyalurkan kembali segala ilmu serta pengalaman yang telah saya peroleh kepada kaum wanita lain.”
Semangat itu kemudian mendorong penglibatannya dalam Lift Like a Girl, pertandingan angkat berat khas wanita yang dianjurkan buat julung-julung kalinya pada 2025.
Edisi sulung itu menarik penyertaan 41 wanita, sebelum jumlahnya meningkat kepada 49 peserta dalam edisi terkini pada Oktober 2026.
“Saya mendapati semakin ramai atlet datang kepada saya untuk mempelajari angkat berat, tetapi tidak ramai yang melangkah ke pentas pertandingan.
“Pada masa itu, saya terfikir mungkin ada halangan yang membuatkan mereka teragak-agak untuk bertanding – mungkin kerana berasa gentar dengan pertandingan yang menghimpunkan lelaki dan wanita, atau kerana skalanya yang besar.
“Jadi, perlu ada pertandingan khas untuk wanita dalam skala yang lebih kecil dan selesa – satu pertandingan yang dianjurkan oleh wanita, untuk wanita,” katanya.
Sebahagian besar kejayaannya hari ini tidak dapat dipisahkan daripada sokongan keluarga.
Ini termasuk arwah neneknya, yang dijemput Illahi pada Januari 2026.
Allahyarhamha sering mengingatkannya tentang pentingnya menjaga penampilan serta membawa diri dengan baik, kata Farhanna.
Pengaruh itu terus dibawanya hingga kini dan membentuk pandangannya bahawa kewanitaan dan penampilan tidak pernah bercanggah dengan identitinya sebagai atlet.
“Nyai memang seorang yang sangat suka bergaul. Beliau sering menerima tetamu, tetapi pada masa yang sama selalu mengingatkan saya bahawa kita tidak tahu siapa yang akan datang. Maksudnya, kita perlu sentiasa membawa diri dengan baik,” singkap Farhanna.
Beliau menambah: “Saya bersolek dan menjaga penampilan tidak bermakna saya akan mengangkat kurang berat. Saya juga tidak ‘kurang’ sebagai seorang atlet hanya kerana saya bersolek.”
Tidak kurang penting ialah sokongan suaminya yang berasal dari Filipina, James Barcelo, 34 tahun, yang menjadi antara penyokong terkuat Farhanna sepanjang perjalanannya.
Barcelo, yang juga seorang atlet angkat berat, merupakan individu yang mula memperkenalkannya kepada latihan angkat berat.
Dalam pada itu, Farhanna, yang menetap di bahagian barat Singapura, bersedia membuka lembaran baharu dalam hidupnya selepas hampir sedekad sejak menceburi sukan angkat berat.
Membina keluarga bakal menjadi antara tumpuan penting Farhanna dalam fasa seterusnya, sambil terus mengekalkan hubungannya dengan sukan yang telah membentuk sebahagian besar perjalanan hidupnya.
“Saya tidak percaya kita boleh memiliki segala-galanya pada satu-satu masa. Setiap individu melalui musim yang berbeza dalam hidup, jadi kita perlu tahu bila untuk menukar gear,” katanya.
“Langkah seterusnya adalah memberi tumpuan kepada keluarga. Itu akan menjadi keutamaan saya terlebih dahulu.
“Selepas itu, saya ingin melihat bagaimana saya dapat meneruskan perjalanan dalam sukan selepas kehamilan, sambil mengimbangi kehidupan sebagai atlet dengan tanggungjawab baharu sebagai seorang ibu,” katanya.
“
Tanggapan bahawa sukan ini berbahaya atau akan menjadikan wanita terlalu berotot semakin dicabar oleh wanita yang membuktikan sebaliknya. Apabila wanita melihat sendiri contoh-contoh ini, mereka mula sedar bahawa mereka juga mampu melakukannya. Sukan ini bukan lagi sekadar soal kekuatan fizikal, malah membina keyakinan dan daya tahan wanita.“
Saya bersolek dan menjaga penampilan tidak bermakna saya akan mengangkat kurang berat. Saya juga tidak ‘kurang’ sebagai seorang atlet hanya kerana saya bersolek.