Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet Paralimpik, Olimpik S’pura diberi penghormatan di Parlimen

Oct 16, 2024 | 6:27 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (paling kiri), berswafoto dengan atlet yang mewakili Singapura di Sukan Paralimpik dan Olimpik Paris di Parlimen pada 16 Oktober. Bersama mereka adalah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (paling kanan).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (paling kiri), berswafoto dengan atlet yang mewakili Singapura di Sukan Paralimpik dan Olimpik Paris di Parlimen pada 16 Oktober. Bersama mereka adalah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (paling kanan). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Tepukan gemuruh bergema semasa sidang Parlimen pada 16 Oktober tatkala Anggota Parlimen (AP) meraikan pencapaian atlet yang mewakili Singapura di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

Semasa mengutarakan usulnya, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia yang juga Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, bersama AP lain mengucapkan tahniah atas pencapaian yang diraih atlet-atlet itu dalam temasya sukan antarabangsa itu.

Sambil memberi penghormatan kepada atlet yang terlibat, Encik Tong berkata: “Tidak semua atlet Olimpik dan Paralimpik yang hadir hari ini memenangi pingat di Paris, tetapi mereka semua merupakan pemenang.

“Mereka telah berjuang bersungguh-sungguh dalam arena yang paling sukar, dan menjangkau kemampuan dan had sendiri.

“Mereka bukan sahaja mewakili negara – mereka telah mengatasi cabaran diri sendiri. Kami berterima kasih dan memberi penghormatan kepada atlet Team Singapore kerana menjadi sumber inspirasi dan contoh teladan kita.”

Singapura diwakili 23 atlet dalam Sukan Olimpik dari 26 Julai hingga 11 Ogos, dengan atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder, memenangi pingat gangsa untuk negara.

Pencapaian atlet berusia 18 tahun itu merupakan pingat keenam Singapura dalam temasya sukan unggul tersebut.

Sukan Paralimpik yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September turut menyaksikan sejarah tercipta setelah Singapura – yang diwakili 10 atlet – menggondol dua emas dan sebutir perak, sekali gus mencatatkan prestasi terbaik negara dalam temasya itu.

Yip Pin Xiu mengekalkan kejuaraan dalam acara renang kuak lantang S2 bagi 50 meter dan 100 meter, menjadikan jumlah kutipan pingat emasnya kepada tujuh bagi Paralimpik, manakala Jeralyn Tan memenangi pingat perak bersejarah dalam acara boccia.

Seramai 17 daripada 33 atlet yang bertanding dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris menghadiri sidang Parlimen pada 16 Oktober.

Mengulangi sokongan pemerintah terhadap atlet negara, Encik Tong menekankan kepentingan membangunkan ekosistem sukan tempatan.

Beliau berkata: “Pada pandangan saya, cara terbaik untuk menghargai kejayaan atlet kita adalah memastikan kita meneruskan kejayaan mereka.

“Kita mahu atlet hari ini menjadi ‘gergasi’, dengan atlet masa hadapan membina atas pencapaian mereka supaya kita dapat capai lebih banyak (kejayaan), dengan setiap generasi atlet Team Singapore yang berjaya.”

Usul yang diutarakan Encik Tong mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk daripada AP pembangkang dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Pada 2016, Joseph Schooling menerima tepukan gemuruh di Parlimen selepas memenangi acara renang kupu-kupu 100 meter dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro, menjadikannya pingat emas Olimpik pertama negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg